ANDAI DETIK ITU TERHENTI

Bab 11 (AKHIR)

Jiha membulatkan matanya, menutup mulutnya dengan kedua-dua telapak tangannya. Jiha mengundur ke belakang dengan laju sehingga melanggar meja yang berada di tepi dinding dan meja tersebut terbalik. Doktor dan jururawat memandang ke arah meja yang terbalik.

Jiha juga memandang meja tersebut. Macammana meja tersebut boleh terbalik sedangkan sejak tadi dia tak boleh menyentuh apa-apa barang?

Beberapa ketika kemudian, keadaan Jiha kembali seperti awal tadi. Diam terbaring. Mesin degupan jantung tersebut juga kembali berbunyi normal. Jururawat keluar dari bilik dan memanggil emak Jiha masuk ke dalam bilik berjumpa doktor.

“Macammana anak saya doktor?” tanya mak Jiha.

Doktor gelengkan kepala. “Tiada perubahan lagi. Keadaannya makin merosot. Kita hanya boleh berusaha tapi Allah yang menentukan segalanya.”

“Yang tadi tu kenapa?” tanya mak lagi.

“Peranti pada mesin ni mengesan terdapat aktiviti pada jantungnya. Aktiviti yang agak kuat tapi amat sekejap,” jelas doktor.

“Maksud doktor, dia sedar?” tanya mak lagi.

“Kami akan jalankan pemeriksaan lanjut kenapa rentak jantungnya tidak sekata sebentar tadi. Kami akan melakukan kajian elektrofisiologi iaitu cara invasif untuk melihat rentak degupan jantung. Kajian ini akan memeriksa aktiviti elektrik jantung bagi mengesan punca gangguan rentak itu dengan menggunakan satu alat yang dimasukkan ke dalam jantung menerusi saluran darah selama kira-kira dua jam. Jadi, buat masa ni, kami tak dapat beri penjelasan lanjut.” Jawab doktor lagi.

Mak tundukkan mukanya. Kelihatan sedih yang teramat, terpancar di wajahnya. Seakan tiada harapan untuk dia melihat anak sulungnya lagi.

“Jangan putus berdoa puan. Doa seorang ibu itu tiada hijab. Moga pesakit juga kuat untuk melawan keadaannya sekarang,” Pesan doktor lagi sambil melangkah keluar.

Paklong melangkah masuk ke dalam bilik rawatan. Jiha dari tadi hanya memerhati dari tepi dinding bilik. Dia masih belum dapat menerima kenyataan bahawa dirinya kini dalam keadaan koma. Macammana dia nak balik kepada emaknya, macammana dia nak masuk semula ke dalam jasadnya yang terbaring di katil?

“Macammana? Apa doktor cakap?” Paklong tanya.

Mak gelengkan kepala.

“Kuatkan semangat. Jangan risau. Najiha adalah seorang anak gadis yang kuat. Dia pasti akan buka mata dan pandang wajah kamu lagi.” Kata Paklong kepada emak Jiha. Emak Jiha tak meyahut, dia hanya diam dan memandang sayu kepada Jiha yang terbaring tenang di atas katil. Tanpa ada yang menyedari, satu lagi bahagian diri Jiha sedang menangisi dirinya yang sesat.

“Jom kita balik dulu. Tunggu doktor buat kajian yang dia cakap tadi. Esok kita tengok apa keputusannya. Percaya dengan qada dan qadar Allah, kita hanya perlu berdoa. Apa-apa nanti doktor akan beritahu kita semula. Ingat kat anak yang menunggu di rumah tu, bukan Jiha saja yang kamu perlu beri perhatian,” kata Paklong.

Emak Jiha bangun, dia mengucup dahi Jiha. Masa ni Jiha terasa dahinya panas terkena air mata emaknya yang menitis di atas jasadnya. Emak Jiha mengambil beg lalu melangkah pergi meninggalkan bilik itu bersama Paklong.

Setelah emak dan Paklong Jiha keluar, Jiha melangkah perlahan ke arah jasadnya yang terbaring. Semakin dia dekat dengan jasadnya, semakin jantungnya laju dan nafasnya sukar di tarik dan dilepaskan. Mesin pengesanan degupan jantung yang terletak di tepi katil jasad Jiha juga berbunyi kuat.

Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Seorang jururawat berlari masuk ke dalam bilik dan memeriksa keadaan Jiha. Dahinya berkerut. Dia memeriksa mesin pengesan degup jantung itu pula. Seorang lagi jururawat masuk masuk ke dalam bilik itu.

“Macammana? Dia bergerak?” jururawat yang baru masuk tadi tanya.

“Tak. Mesin ni problem kot. Kuat betul degup jantung dia tadi kan? Macam orang baru lepas berlari jauh,” kata jururawat yang masuk mula-mula tadi. Mungkin mereka dapat mengesan kelainan aktiviti jantung Jiha ketika Jiha merapati jasadnya tadi.

Jiha keluar dari pintu bilik tersebut. Dia duduk di atas kerusi yang terletak di tepi pintu biliknya. Jiha termenung di situ. Memerhati orang yang lalu lalang. Dia betul-betul bingung masa ni. Dia tak tahu apa yang perlu dilakukannya. Dia nak minta tolong siapa? Siapa yang boleh nampak dia? Jiha pejamkan matanya sambil menyandarkan belakang kepalanya ke dinding. Air mata mengalir, sejuk je air matanya.

“Ada masa, kita tak sedar bahawa kita yang menjauh. Sedang kita lupa bahawa Allah memerhati walau di mana kita berada, hidup mahupun mati, atau kita masih bergentayangan di satu alam, mati tidak, hidup pun tidak.”  Jiha terdengar satu suara yang dikenalinya. Jiha buka mata, dia mencari arah suara tersebut.

Pakcik Ahmad duduk di atas kerusi di sebelah Jiha. Bulat mata Jiha memandang Pakcik Ahmad.

“Pakcik?” Jiha memanggil. Ada rasa lega di hatinya kerana bertemu dengan seseorang yang boleh nampak dirinya.

Pakcik Ahmad pandang Jiha, dia tersenyum. “Sekarang dah tahu apa yang berlaku?” Pakcik Ahmad bertanya.

“Saya ni apa sebenarnya? Yang terbaring di dalam bilik ni siapa? Pakcik siapa? Macammana pakcik boleh nampak saya? Macammana saya nak balik? Kawan-kawan saya kat mana?” bertalu-talu soalan Jiha kepada Pakcik Ahmad.

“Kamu adalah roh yang bergentayangan di satu alam, menanti keputusan samada kamu perlu berada di alam mana satu. Kalau kamu kuat, dan dengan izin Allah, kamu boleh kembali ke dunia. Tapi kalau Allah telah menetapkan nyawa kamu hanya dipinjamkan sampai masa ini, maka kembalilah kamu ke sisi-Nya. Dari Dia kamu datang, kepada Dia kau kembali,” kata Pakcik Ahmad.

“Maksud pakcik, saya akan mati?” Jiha tanya.

“Pakcik tak tahu bila kamu mati. Cuma sekarang kamu masih berada di tengah, untuk ke alam dunia atau ke alam barzakh,” kata Pakcik Ahmad.

“Pakcik, tolong saya, saya nak balik kepada emak saya. Kalau saya mati sekarang, saya akan mati sebagai anak derhaka. Nerakalah tempat saya. Tolong saya pakcik,” Jiha merayu.

“Tiada siapa yang dapat bantu kamu dalam keadaan ini. Semua ini rahsia Allah. Kuatkan semangat, berdoalah sementara ada peluang,” kata Pakcik Ahmad.

“Kawan-kawan saya mana pakcik?” Jiha bertanya.

“Mereka dah terlebih dahulu pergi menghadap Pencipta Alam. Sebaik kapal terbang terhempas, hanya kamu yang ditemui masih bernyawa tapi keadaan kamu amat teruk,” kata Pakcik Ahmad.

“Tapi kenapa mereka masih berjalan bersama saya hinggalah saya berjumpa pakcik?” Jiha tanya.

“Pakcik tak dapat jawab. Itu semua rahsia Allah. Yang pasti, mereka adalah sahabat yang baik, In Shaa Allah, kamu akan berjumpa mereka di sana nanti. Jika ada peluang untuk kamu kembali ke dunia, doakanlah kebaikan mereka di alam sana. Doa sahabat yang baik, akan sampai kepada sahabatnya walaupun berlainan alam. In Shaa Allah,” kata Pakcik Ahmad.

Jiha menekup wajahnya, menangis semahu-mahunya. Penyesalan yang tiada gandingan. Dari hidup, dia tinggalkan emaknya. Dari mati, dia tinggalkan kawan-kawannya.

“Jangan bersedih. Tiada sesuatu yang terjadi tanpa izin Allah hatta sebatang jarum jatuh pun dengan izin Allah. Kapal terbang terhempas hanya asbab kematian, tapi sebenarnya Allah dah tetapkan kematian mereka yang berada di dalam kapal terbang itu adalah pada hari itu dan pada masa itu. Takkan terlambat sesaat atau tercepat sesaat. Berhenti menyesal pada apa yang Allah dah tentukan. Itu boleh menyebabkan kita menyesali takdir, sedangkan takdir itu kerja Allah. Sekarang kamu perlu cari arah kamu. Balik kepada emak kamu atau pergi kepada kawan-kawan kamu. Kuatkan diri pada pilihan yang kamu pilih,” kata Pakcik Ahmad.

“Saya nak balik kepada emak saya, saya nak mohon ampun. Jika ada peluang, saya nak doakan kawan-kawan saya, supaya mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang masuk syurga,” kata Jiha.

“Jadi, teruskan ke arah yang kamu pilih,” kata Pakcik Ahmad.

“Macammana?” Jiha bertanya.

“Pejamkan mata, ingat Allah ada di sisi kamu. Pasti Dia akan berikan jalannya,” kata Pakcik Ahmad sambil bangun dari kerusi.

“Sekejap. Macammana pakcik boleh nampak saya?” Jiha bertanya.

“Itupun rahsia Allah,” kata Pakcik Ahmad sambil melangkah meninggalkan Jiha dan terus tembus ke dinding. Jiha terkejut, macammana Pakcik Ahmad boleh tembus ke dinding, sama macam dirinya. Apakah Pakcik Ahmad pun…?

Belum sempat habis berfikir mencari jawapan, seorang gadis dalam usia lebih kurang sama dengan Jiha berlari keluar dari bilik yang berselang tiga pintu dari bilik rawatan Jiha. Dia menjerit memanggil jururawat yang berada di kaunter. Beberapa orang jururawat dan seorang doktor berlarian masuk ke dalam bilik gadis itu tadi. Jiha menjenguk, keadaan nampaknya seperti agak cemas. Jiha bangun dan menjenguk dari kaca pintu bilik rawatan tersebut. Gadis tadi memimpin seorang lagi wanita seusia Pakcik Ahmad,  keluar dari bilik rawatan tersebut sambil menangis.

Jiha terus memerhati. Gadis tadi memujuk wanita itu yang mungkin ibunya, memintanya bersabar.

Pintu bilik rawatan terbuka. Seorang doktor keluar dengan wajah muram. Gadis tadi bangun.

“Macammana dengan ayah saya doktor?” dia bertanya.

“Kita dah cuba sedaya upaya, tapi Allah lebih sayangkannya. Maafkan kami, ayah cik telah meninggal dunia.” Kata doktor tadi dengan tenang. Gadis tersebut terus memeluk emaknya dan mereka menangis bersama. Suasana amat sedih. Jiha pun ikut menangis.

Jiha melangkah masuk ke dalam bilik rawatan itu. Jiha melihat jururawat sedang membuka beberapa wayar dan tiub dari satu jasad di atas katil. Jiha melihat, jasad itu tak lain dan tak bukan adalah Pakcik Ahmad, lelaki yang membantunya ketika dia di alam yang tak dapat dilihat oleh mata kasar.

Jiha terduduk, dia menangis tanpa suara. Siapa yang boleh bantu dia sekarang? Macammana dia nak balik kepada jasadnya sendiri. Jiha hilang di dalam khayalannya sendiri.

Jiha tersedar bila terdengar suara Arif memanggil emaknya. Jiha buka mata. Dia berada di depan rumah emaknya. Pintu rumah tertutup rapat, seperti tak mahu dia masuk ke dalam rumah, seperti dia tak dialu-alukan untuk masuk ke dalam rumah itu lagi.

Najihah melangkah ke pintu dapur kerana terdengar suara emaknya di dapur. Kelihatan dua orang adiknya, Arif dan Faiz sedang bermain di halaman.

“Arif, bawak adik masuk, makan,”

Arif dan Faiz mengikut langkah mak masuk ke rumah. Begitu juga Jiha. Belum sempat Jiha melangkah masuk,emak Jiha dah tutup pintu. Jiha memberhentikan langkahnya di tangga teratas, betul-betul di muka pintu.

Jiha duduk di tangga, menahan kesedihan. Mak tutup pintu sebelum sempat dia masuk. Dia bersandar di pintu dan tak semena-mena dia terlentang terus masuk ke dalam rumah. Jiha terlupa bahawa dia kini seperti bayang-bayang yang boleh menembusi sebarang jisim. Dan Jiha juga seakan terlupa bahawa dia tidak boleh dilihat oleh sesiapa.

Jiha duduk di tangga dapur. Melihat mak menyediakan makan malam. Arif dan Faiz telah bersiap dengan baju malam.

Setelah selesai solat maghrib, mak menghidangkan makanan. Berebut-rebut Arif dan Faiz nak duduk di kerusi yang paling rapat dengan mak. Sesekali kena marah dengan Aqilah. Jiha tersenyum. Rindunya dia pada adik-adiknya. Rindunya dia pada emaknya yang selalu membebel. Tapi kali ini emaknya tak banyak cakap, hanya diam. Jiha rasa keadaan ini lebih sedih dari keadaan semasa dia ditinggalkan keseorangan di tempat asing tempohari.

“Mak, Bila Kak Jiha nak sedar dan balik ke rumah kita?” tanya Faiz sambil mengunyah makanan.

“Kakak Jiha tak sihat. Nanti bila Kakak Jiha sihat, Kakak Jiha balik rumah, jumpa Arif dan Faiz ye,” kata emak.

“Dah lama Kak Jiha terlantar sakit, tak sedar diri langsung. Selalunya orang sakit tak lama sangat. Adik demam pun tiga hari je dah sihat.” Kata Faiz lagi, dia tak pernah lagi melihat Jiha di hospital. Hanya Aqilah yang pernah melawat Jiha di hospital. Emak larang Faiz dan Arif melihat keadaan Jiha di hospital.

“Dah, jangan cakap masa makan. Nanti nasi sedih, nanti rezeki lari,” sahut mak, seolah dah tak mampu menelan suapan nasi yang seterusnya.

Arif dan Faiz diam. Terus menghabiskan makanan yang masih tersisa di dalam pinggan masing-masing.

Selesai makan, mak Jiha membawa adik-adik mengaji dan solat isya’.

“Lepas ni terus tidur. Esok nak sekolah,” pesan mak. Dan Arif dan Faiz akur. Mungkin kerana terlalu penat bermain di siang harinya, mereka cepat terlena. Dan semuanya dilihat oleh Jiha, tanpa diketahui oleh emak dan adik-adiknya. Manakala emaknya terlena di atas sejadah selepas solat isya dan membaca surah Yassin.

Jiha melihat semuanya. Dengan hati yang sangat sedih. Dan penyesalan yang tak sudah. Andai dia tak mengingkari arahan mak sebelum dia mengikut rombongan ke Bali tempohari, pasti dia sedang bergelak ketawa bersama adik-adik dan mak. Mak takkan susah hati begini.

Jiha merapati emaknya yang terlena dengan kain telekung dan surah Yassin masih di tangannya. Jiha cium tangan emaknya, cium pipi emaknya. “Mak, Jiha minta maaf. Jiha dah susahkan mak dan adik-adik. Allah dah balas perbuatan Jiha. Rupanya bila tak dipedulikan sebegini lebih sakit daripada bila mak ambil berat. Jiha menyesal mak,” bisik Jiha di telinga mak sambil menangis teresak-esak.

Tiba-tiba mak terjaga dari tidurnya. Mak pandang keliling dengan wajah hairan.

“Jiha, kamu dimana nak?” tanya mak membuatkan Jiha terkejut.

“Jiha kat depan mak ni,” sahut Jiha sambil merapati emak. Jiha menyentuh pipi emak. Emak seperti terperanjat, seperti merasai kehadiran Jiha.

“Jiha, mak dah maafkan Jiha. Mak dah halalkan segala makan minum Jiha. Mak halalkan susu yang emak beri kepada Jiha. Dan mak redho jika Jiha mahu pergi menemui Allah. Emak tahu, Jiha sakit. Mak izinkan Jiha pergi dulu sebelum emak,” kata emak Jiha perlahan, seakan merintih tapi tiada air mata yang mengalir. Jiha pula yang menangis tak henti.

Emak Jiha tarik nafas Panjang. Dia bangun menuju ke bilik air, mengambil wudhuk. Lalu menunaikan solat hajat.

“Ya Allah, jika anakku Jiha boleh sembuh, Kau sembuhkan dia segera. Kurangkanlah sakitnya. Tapi andainya dia tak boleh sembuh, kau ambillah dia. Mudahkanlah segala urusannya. Ya Allah, aku tak sanggup lagi melihat anakku begitu.” Doa mak dalam sujudnya.

Jiha diam, sedih melihat keadaan emak begitu.

Dalam hati Jiha memanjatkan hasrat. “Ya Allah, jika ada peluang kedua untukku, aku ingin memohon ampun daripada emak. Aku nak cium kaki emak. Aku nak tebus dosa aku kepada mak. Ya Allah, kau tunaikanlah permintaan aku Ya Allah. Selain dari ini, aku takkan minta apa-apa lagi. Namun, andai detik ini terhenti setakat ini untuk diriku, aku redho dengan ketentuan-Mu Ya Allah. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.” Doa Jiha dalam sendunya.

*************************************

“Kapten Najiha! Kau menung apa lagi kat situ? Cepatlah, masa penerbangan dah hampir,” Jiha tersentak dari lamunannya yang panjang. Dia memandang ke arah seorang gadis berpakaian lengkap pramugari yang sedang melambaikan tangan ke arahnya.

Jiha menggosok wajahnya dengan kedua telapak tangannya. Disapunya air mata yang bertakung di dalam kelopak matanya. Jiha tarik nafas panjang. Dia bangun dari duduknya lalu membetulkan uniform putihnya, tali leher hitam dan tudung putihnya. Jiha mengambil topi yang diletakkan disebelahnya tadi, lalu mengepitnya dicelah ketiaknya. Lalu dia melangkah tenang menghampiri kapal terbang bernombor UP 6440.

Jiha membuka pintu kapal terbang. Lalu duduk di dalam kokpit kapal terbang. “Kau ok ke tak ni?” Hamdan yang duduk disebelah Jiha sebagai pemandu kedua, bertanya. Dia pun pelik melihat wajah Jiha yang murung.

“Aku ok je, terkenang kisah lama,” sahut Jiha sambil tersenyum kepada temannya itu, Jiha mula menekan beberapa butang yang ada pada skrin digital di hadapannya. Jiha membetulkan batang stereng kapal terbang dan memulakan perjalanan kapal terbang yang bakal dipandunya. Perlahan-lahan kapal terbang bergerak dan mula menaiki ruang angkasa. Manakala Hamdan membuat pengumuman bahawa kapal terbang bakal berlepas.

Selepas Jiha kembali sedar dari koma, Jiha ambil masa tiga bulan untuk pulih. Doktor pun terkejut dengan kepantasan Jiha pulih. Selalunya dalam keadaan begitu, pesakit akan ambil masa paling kurang enam bulan hingga dua tahun baru boleh pulih sepenuhnya. Tapi Jiha pulih paling cepat dalam sejarah perubatan.

Dan Jiha mendapat tawaran universiti yang dimohonnya dengan biasiswa tertinggi. Tiga bulan selepas  Jiha berjaya mencapai cita-citanya, Paklong meninggal dunia. Sebelum meninggal dunia, Paklong berpesan agar Jiha membawa emak Jiha bertemu keluarganya di Sabah. Ternyata keluarga emak Jiha lebih teruja dengan kehadiran emak Jiha dan anak-anaknya, amat berbeza dengan penerimaan keluarga ayah Jiha dulu. Jiha sendiri dapat merasakan kasih sayang keluarga besar yang tak pernah dia dan adik-adiknya rasakan semasa bersama keluarga di sebelah arwah ayahnya dulu. Hanya Paklong yang begitu baik terhadap mereka.

Maka Jiha buat keputusan, untuk kembali menetap di Sabah. Dan tentu emak Jiha yang paling gembira. Dia seolah-olah mendapat hidupnya yang hilang puluhan tahun yang lalu. Dan yang penting, emak Jiha tak lagi merasakan dirinya adalah pembawa malang. Bahkan emak Jiha merestui Jiha untuk jadi seorang pemandu kapal terbang.

JIHA KINI SEORANG PILOT.

Semuanya atas semangat dari arwah ayah, arwah sahabat-sahabatnya Isma, Ikha dan Ain yang takkan pernah dia lupakan. Setiap kali terbang ke Semenanjung, tak pernah lagi dia tak menziarah kubur dan keluarga sahabat-sahabatnya. Setiap kali terbang di awan biru, Jiha akan nampak sahabat-sahabatnya sedang tersenyum kepadanya. Semangatnya berada di mana-mana, emaknya dia bumi, sahabatnya di awan, Jiha tak kesunyian lagi.  

– T A M A T –

One thought on “ANDAI DETIK ITU TERHENTI

Leave a comment