DENDAM

Bab 3

Aku tersedar dari tidur apabila terdengar suara orang batuk kat tepi aku. Aku buka mata. Dalam samar-samar tu, aku nampak satu susuk tubuh berdiri membelakangkan aku tapi menghadap katil Zaimah. Zaimah pula sedang tidur nyenyak di katilnya. Meremang bulu roma aku tapi aku cuba bertindak tenang. Aku tak bergerak, aku perhatikan saja susuk tubuh yang masih berdiri kaku di tempatnya tadi.

Aku pandang susuk tubuh tu dari atas kepala ke kaki dari kaki kepala. Susuk tubuh tu seperti Noni, kawan rumah aku. Sebab antara kami berenam dalam rumah tu, dia yang bertubuh kecil molek. Rendah je orangnya. Sering tersenyum, anak pantai timur. Lembut je tutur bicaranya. Tapi ambil kursus kejuruteraan, macammana la agaknya kalau dia perlu betulkan mesin.

Aku nampak susuk tubuh tu menundukkan badannya sehingga wajahnya hampir terkena dengan wajah Zaimah. Aku pula yang menggeletar di atas katil.

Tiba-tiba aku rasa kaki aku seperti dicengkam sesuatu yang tajam. Aku pejamkan mata, menahan rasa pedih di kaki. Dan rasa mencengkam itu naik ke atas pinggang aku. Kali ni aku cuba gerakkan kepala aku sedikit, supaya aku dapat menjeling ke arah pinggang aku. Aku pusingkan sedikit kepala aku dan aku nampak sesuatu yang bergerak di atas tubuh aku. Ada satu susuk tubuh yang kelihatan terapung di atas tubuh aku yang berbaring.

Wajah satu nenek tua, dengan hidungnya yang panjang hingga ke dagu, telinganya juga panjang seperti telinga Arnab, giginya seakan gigi anjing, dia tersenyum memandang aku.

Aku cuba menjerit tapi suara tak boleh keluar. Aku gerakkan tangan aku, cuba menggapai apa yang ada, tapi tangan aku kaku walau aku rasa aku dah gerakkan sekuat hati aku.

“Aku dah jumpa,” aku dengar suara garau dari nenek tua tersebut. Dan susuk tubuh yang sedang memerhati Zaimah tadi, turut menoleh ke arah aku. Dan aku menggeletar dua kali ganda.

Belum sempat kedua-dua makhluk tadi mengapa-apakan aku, aku dengar suara Zaimah menjerit. Sekuat-kuatnya. Dua makhluk tadi hilang seperti asap hilang bila ditiup angin kuat. Aku kuatkan diri aku, aku cuba untuk bangun. Zaiman terus menjerit sambil menarik narik rambutnya.

“Bismillahirrohmaanirrohim. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,” aku cuba bangun dan merapati Zaimah.

“Zaimah, Zaimah! Bangun. Kau mengigau ni,” kataku sambil menepuk-nepuk bahu Zaimah yang terus menjerit. Aku pandang keliling. Seram walaupun tak nampak apa-apa.

“Zaimah! Bangun la.” Aku panggil Zaimah lagi sambil menarik kuat tangannya. Tapi Zaimah masih begitu, menjerit macam orang gila. Masa ni aku dah rasa lain macam.

Aku bangun menuju ke pintu bilik. Aku buka pintu bilik dan terus ke bilik Zalikha. Belum sempat aku ketuk pintu bilik Zalikha, daun pintu terbuka dan Noni muncul dari dalam bilik dengan wajah terpinga-pinga.

“Siapa yang menjerit tu?” Noni tanya aku sebaik sahaja dia nampak aku di depan pintu biliknya.

“Zaimah. Aku pun tak tahu dia ngigau ke apa. Aku dah kejut dia, tepuk dia banyak kali, dia masih menjerit sambil Tarik rambutnya. Lidahnya terkeluar je. Cuba kau tengok pula,” kataku kepada Noni. Noni melangkah ke bilik aku. Masa ni Zalikha, Liza, Rosnah dan pun dah keluar dari bilik masing-masing. Wajah masing-masing terpinga-pinga.

Noni menjenguk masuk ke bilik aku. Aku di belakangnya. Noni berdiri di muka pintu dan memandang ke arah Zaimah yang masih menjerit. Lama dia berkeadaan begitu, seakan termenung panjang dengan wajah terkejut. Seperti baru dapat berita buruk.

“Noni?” aku panggil. Noni tak menyahut, tapi dia menoleh memandang aku. Matanya merah.

“Kenapa mata kau? Tiba-tiba merah,” aku menegur. Noni mengalih pandangannya kepada Zalikha. Dan tak semena-mena, Zalikha menjerit-jerit. Sama keadaannya seperti Zaimah tadi.

Tak lama lepas Zalikha jadi macam tu, Rosnah dan Liza turut menjerit sambil menarik-narik rambut masing-masing. Aku menggeletar. Noni menuju ke pintu rumah. Aku hanya mampu memandang. Nak larang pun aku takut. Sebab aku tak tahu apa yang sedang terjadi kepada kawan-kawan aku.

Sebaik pintu dibuka oleh Noni, dia terus keluar dari rumah kami. Aku pandang semua kawan-kawan aku kat dalam rumah tu. Zaimah, Rosnah, Liza, Zalikha, semua sedang menjerit-jerit macam kena rasuk.

Aku pandang jam dinding, pukul 3 pagi. Aku cuba kuatkan diri, melangkah ke pintu dan menjenguk ke luar. Mencari-cari susuk tubuh Noni dalam kesamaran malam yang gelita.

Tak sempat aku nampak susuk tubuh Noni, aku dengar suara siswi rumah sebelah aku pula menjerit-jerit, keadaan yang sama dengan kawan-kawan aku. Masa ni hati aku terdetik, adakah keadaan ini sama seperti yang mereka bualkan siang tadi, tentang kejadian di Blok Khadijah bilamana hampir semua penghuninya diserang histeria serentak.

Aku tak pernah tengok orang kena histeria. Selalunya aku dengar cerita, histeria ni ada kena mengena dengan masalah mental, atau masalah berat yang dihadapi oleh orang yang terkena histeria tu.

Tapi kalau dah sampai satu blok, dua blok rumah terkena histeria, takkan semua pun ada masalah mental?

“Siti Amira?” aku dengar namaku dipangil seseorang. Aku menoleh ke arah suara itu. Aku nampak Prof Mustafa berdiri di tepi tangga.

“Prof?” aku panggil Prof Mustafa tapi aku tak bergerak dari tempat aku berdiri tadi. Bunyi bingit suara orag menjerit bergema di seluruh Blok Aishah, dari tingkat bawah sampai atas.

Prof Mustafa menghampiri aku. “Kamu ok?” Prof Mustafa tanya aku. Aku hanya mengangguk. Dan seketika kemudian muncul Ustaz Alias dan beberapa orang siswa.

“Semua kena ke?” Aku dengar Ustaz Alias bertanya.

“Ya kecuali Siti Amira,” Prof Mustafa menyahut. Ustaz Alias menghampiri aku. Dia memegang kepala aku. Malu pula rasanya, sebab aku hanya sempat tarik anak tudung je sebelum aku keluar dari rumah.

“Pelik juga ni, dia memang takde apa. Takpe, kamu pergi ke surau An-Nur. Kat sana ada Ustazah Asma. Duduk di sana dulu. Jangan ke mana-mana. Zarul dan Aiman, temankan Siti Amira ke surau An-Nur. Lepas tu, panggil lagi beberapa orang kawan-kawan kamu datang sini. Cari kain rentang besar, atau jarring besar, atau apa-apa je yang besar. Kalau dapat ambil tilam sukan tu lagi elok, bentangkan kat bawah Blok Aishah. Risau ada yang melompat dari atas.” Kata Prof Mustafa.

Zarul dan Aiman anggukkan kepala. Aku turun tangga, Zarul dan Aiman ikut dari arah belakang. Sampai kat tingkat bawah sekali, aku suruh Zarul dan Aiman pergi panggil kawan-kawan, tak perlu temankan aku sampai ke surau An-Nur.

“Mana boleh, Prof suruh temankan kau sampai jumpa Ustazah Asma. Kang kau tiba-tiba menjerit tak sempat jumpa Ustazah, ha, macammana?” Aiman menyahut sambil menyuruh aku berjalan cepat.

“Tapi aku pelik, kenapa kau tak kena ek? Kau ada ilmu apa?” Zarul tanya aku. Aku hanya diam. Memang aku aku tak tahu, kenapa aku tak berjangkit.

“Jangan cakap apa-apa la sekarang ni. Cepat pergi surau. Kita kena panggil kawan-kawan. Entahlah macammana keadaan budak-budak perempuan kat Blok Aishah tu.” Kata Aiman lagi, risau sungguh suaranya.

Lima belas minit berjalan, kami belum sampai ke surau An-Nur. Zarul dan Aiman pun dah merungut. Selalunya surau tu dengan Blok Aishah Cuma lima minit je. Tapi malam tu, dah lima belas minit kat berjalan, masih tak sampai-sampai.

“Weh, dah lima belas minit kita berjalan ni, apasal tak jumpa surau lagi?” kata Zarul.

Aiman menghentikan langkahnya. Dia memerhati keliling. Aku pun ikut sekali memandang keliling. Kami seperti masih berada di Blok Aishah. Kami masih dapat dengar bunyi jeritan kawan-kawan di Blok Aishah.

“Kau tak rasa ke kita berpusing-pusing di tempat sama?” aku tanya.

“Iyelah, kita berpusing di tempat sama, tapi kenapa kita tak perasan?” Zarul tanya.

“Apa kata kita patah balik ke Blok Aishah?” aku tanya. Hati dah mula rasa lain macam. Aku pandang Zarul dan Aiman pun dah macam hantu dah.

“Jom,” Aiman setuju dengan cadangan aku. Kami melangkah laju kembali ke Blok Aishah. Kami melangkah naik tangga, suara jeritan makin jauh. Sampai kat tingkat dua, Aiman yang berjalan di hadapan aku, menghentikan langkahnya. Aku pun ikut berhenti melangkah. Begitu juga Zarul yang berjalan di belakang aku.

“Apasal?”Zarul bertanya.

“Ini bukan Blok Aishah,” Aiman bersuara sambil memandang keliling, membuatkan aku dan Zarul pun ikut memandang keliling.

Kami berada di satu bangunan usang. Tiada sesiapa di situ. Suara jeritan kawan-kawan kami pun dah tak kedengaran.

“Weh, kita dah ke mana ni?” Aku mula rasa takut.

“Ustaz! Prof!” Zarul memanggil. Suaranya agak menggigil.

– Bersambung –

One thought on “DENDAM

Leave a comment