DENDAM

Bab 8

“Sebaik bulan beralih tapak, kita langsungkan perkahwinan mereka,” kata Pak Maliki.

“Baik Pak Maliki,” sahut ayah. Dan sekali lagi pokok-pokok bergoyang seakan ditiup angin kencang. Dan ada benda yang jatuh ke atas kami bertiga. Mak melepaskan tangannya dari belakang leher aku. Aku terus bangun dan memandang ke tempat lelaki tua tadi. Tiada sesiapa di situ. Aku aku memandang keliling, melihat benda yang jatuh dari langit.

Terbeliak mata aku. Berpuluh ekor ular berselerakan di atas tanah dan masih berjatuhan dari langit menimpa kami bertiga. Aku menjerit sambil melompat-lompat sebab mahu mengelak ular-ular tersebut. Ayah terus berpaling ke belakang, dan memandang aku dengan mata yang merah. Mak aku menarik tangan aku lalu memeluk aku. Seakan melarang ayah aku memarahi aku.

“Sudah, kita balik,” kaya ayah sambil terus melangkah pergi meninggalkan tempat tu. Mak pun tarik tangan aku. Kami berjalan laju kembali ke rumah mak aku tadi. Perjalanan balik lebih cepat berbanding perjalanan masa masa kami pergi tadi.

Sampai di depan rumah, aku menarik tangan aku dari pegangan mak aku. Mak aku pandang aku. Ayah menghampiri aku dan terus menampar pipi aku. Aku jatuh tersungkur. Mak terus peluk aku.

“Sudah, jangan pukul dia. Pukul saya dulu kalau awak nak lepaskan marah. Dia anak saya, jangan sentuh dia kalau awak taknak terima akibat yang buruk. Awak tahu saya siapa,” mak aku marah ayah aku, suara mak aku menggeletar menahan marah.

Ayah aku menghentak kakinya, bergegar aku rasa tanah kat situ. Lalu ayah terus masuk ke dalam rumah. Mak aku lepaskan pelukannya. Dia berdiri lalu memandang aku.

“Itu baru sikit ayah kamu tampar. Kalau dia betul-betul tampar, kamu dah masuk ke lapisan terakhir dalam tanah.” Mak aku marah aku, matanya merah seperti biji saga, telinganya seakan memanjang, sama seperti nenek tua yang aku nampak masa Zaimah mula-mula kena rasuk kat bilik.

“Saya bukan anak mak atau ayah. Saya bukan dari tempat ni. Saya sesat di sini.” Aku bersuara sambil memegang pipi yang masih panas dan sakit akibat ditampar oleh ayah tadi.

“Mira, kalau kamu berkahwin dengan Rafi, hidup kamu akan senang. Dia kepala di sini. Tiada siapa berani susahkan dia. Dia hidup senang, disanjung dijulang oleh orang-orang di hutan,” mak cuba pujuk aku. Suaranya kembalik lembut.

“Tapi saya bukan anak orang di sini. Saya bukan anak mak atau ayah. Lepaskan saya. Hantar saya balik,” aku membentak.

“Nak hantar kamu ke mana? Kamu anak mak. Di sini tempat kita,” kata mak aku, suaranya menahan sebak.

Aku bangun. Malam kian gelap. Tapi aku tak peduli. Aku terus berlari ke arah hutan.

“Mira! Kamu nak ke mana tu? Balik sini. Nanti diganggu orang-orang di hutan,” aku dengar suara mak aku menjerit. Tapi aku tak peduli, aku terus lari.

Dengan bertemankan cahaya bulan yang semakin mengecil, aku cuba meredah hutan. Aku cuba ingat kembali jalan ke air terjun, tempat aku bertembung dengan mak aku. Aku cuba kerah otak aku, untuk ingat kembali arah air terjun tu.

Sedang aku berpusing-pusing tu, aku dengar bunyi mendengus. Dan sesekali bunyi berdesir yang kuat seperti bunyi ular besar. Aku hentikan langkah aku. Aku pandang keliling.

“Grrrrrrrr,” bunyi seperti anjing sedang kemarahan dan mahu menerkam mangsa.

“Sssssss…” dan bunyi desiran bersilang ganti, seakan dua haiwan itu sedang berbincang atau sedang menunggu masa untuk merebut sesuatu.

Aku mendongak bila terasa ada air menitis di atas kepala aku. Cahaya bulan dah tak kelihatan. Tapi aku nampak dua cahaya merah, seakan mata haiwan, sedang merenung aku dalam kegelapan. Dan aku terasa seperti tubuh aku dibelit sesuatu yang besar dan bersisik.

“Anak manusia?” aku dengar suara garau tersebut.

“Ya, sesat di sini. Lalu Uman dan Ziwa mengatakan itu anak mereka,” satu lagi suara garau kedengaran.

“Bukankah anak Uman dan Ziwa sudah lama masuk ke alam manusia?” suara garau pertama tadi membalas.

“Tapi mereka kata ini anak mereka. Bakal berkahwin dengan anak Pak Maliki.” Sahut suara garau kedua.

“Maksud kau, bakal berkahwin dengan Rafi?” suara pertama berbunyi.

“Dikatakan begitulah. Tapi aku dengar, semua ni untuk balas dendam. Sebab anak Uman dan Ziwa yang sebenar dah diambil manusia, maka, Uman dan Ziwa membalas dengan mengambil anak manusia itu,” sahut suara kedua.

“Hahahahahahaha…,” suara ketawa yang kuat dan bergema hingga hutan bergegar.

“Kenapa kau ketawa?” suara garau kedua bertanya.

“Mereka semua bodoh. Akhirnya anak manusia ini jadi milik aku,” suara garau pertama membalas.

“Lebih baik kau jangan usik. Kau bukan tak tahu kuasa si Ziwa. Uman pun tak berani melawan isterinya. Pak Maliki pun mahu bermenantukan anak Uman dan Ziwa sebab mahukan kuasa yang dimiliki oleh Ziwa. Seluruh ruang udara miliknya,” Kata suara garau pertama.

“Bukan aku yang mencarinya, tapi dia yang datang kepada aku. Jadi, itu Namanya rezeki masuk mulut,” kata suara kedua sambil ketawa.

Nafas aku semakin sesak. Aku terasa seperti badan aku dibelit kuat. Tapi sebab gelap, aku tak nampak apa-apa selain dari suara garau tersebut. Suara aku pun dah tersekat, telinga dan mata aku terasa panas, seperti ada darah mengalir.

Tiba-tiba dari arah udara, aku dengar bunyi nyaring suara burung besar seakan suara helang tapi lebih kuat. Bergema suaranya. Dan kawasan tersebut mencari terang. Aku mendongak, ternampak seekor burung besar berwarna putih terbang rendah berlegar-legar di kawasan aku diganggu. Hanya cahaya dari matanya mampu menerangi Kawasan tersebut. Waktu tu baru aku nampak jasad pemilik suara garau yang berdua tadi. Satu darinya adalah seekor anjing atau mungkin serigala, tingginya hingga sampai di pucuk pokok yang paling tinggi di situ.

Dan satu lagi adalah ular besar yang badannya saja setinggi tubuh aku yang berdiri. Dan ia sedang membelit aku! Aku nak meronta tapi tak boleh, dikunci dek belitan sang ular besar.

“Lepaskan anak aku. Atau kamu berdua akan mati malam ni,” kata burung besar itu, memandang marah ke arah ular dan serigala besar tadi.

“Rusuk, ayuh kita pergi. Lepaskan anak manusia tu,” sang serigala menegur sang ular. Tapi sang ular degil.

“Aku tak usik anak kau. Dia yang datang kepada aku. Dan ini bukan anakmu, Anakmu sudah lama mati, kerana mengkhianati kamu. Kau ingat aku tak tahu?” Sang Ular bersuara, belitannya makin kuat. Aku semakin lemah. Sakitnya Tuhan yang tahu. Terasa tulang aku dah pecah bertindan-tindan.

“Dia anak aku, tiada siapa boleh sentuh dia tanpa izin aku. Lepaskan dia sekarang!” sekali lagi burung besar itu menjerit nyaring. Kedengaran beberapa haiwan hutan berlarian ketakutan.

“Rusuk, lepaskan anak manusia tu. Tak berbaloi kau mahu melawan Ziwa,” Sang Serigala terus memujuk Sang Ular yang degil.

“Hukum rimba, setelah aku pujuk kau berdegil, aku berhak membunuhmu dengan cara apa sekalipun,” burung besar bersuara.

“Dan aku juga berhak membunuhmu,” sahut Sang Ular. Sang Serigala berundur beberapa tapak dan terus berlari masuk ke dalam hutan tebal meninggalkan dua haiwan besar tadi menuju garisan pertarungan.

Aku makin tak lemah, nafasku makin perlahan. Mataku mengalirkan air. Apakah aku akan mati di sini? Tak berpeluangkah aku untuk bertemu ibu dan ayah aku. Rakan-rakan aku. Mampukah mereka mencari aku di dalam hutan tebal ni? Atau andai aku mati di sini, akan adakah sesiapa mencari aku? Atau aku dah dilupakan? Kenapa hingga kini tiada yang mencari aku?

Tergapai-gapai aku mencari udara, otak masih mengingati syahadah. Andai takdir Tuhan aku mati di sini, aku terima. Tuhan aku hanya satu, Allah swt. Hidupku untuk-Nya dan matiku juga kerana-Nya.

Dalam samar-samar pandangan, aku nampak burung besar tadi terbang laju ke arah Sang Ular yang sedang membelit aku. Aku dapat rasakan gegaran badan Sang Ular yang sedang membelit aku.

Lama juga aku terasa badan aku bergoncang kuat, hinggalah belitan Sang Ular pada badan aku semakin longgar. Dan akhir terlerai belitan tersebut. Aku mencuba sedaya upaya untuk bangun dan bergerak mencari tempat perlindungan. Aku lihat Si Burung Besar sedang melahap tubuh Sang Ular. Darah memercik di sana sini, seperti ombak yang mengganas.

Bau hanyir darah buatkan aku termuntah berkali-kali. Aku makin lemah. Dan akhirnya aku rebah, namun kepalaku sempat disambut oleh seseorang. Aku sempat melihatnya, mak aku sedang memangku kepalaku. Dan dimulutnya masih ada darah Sang Ular. Mak aku burung besar tu? Kepala aku sakit. Akhirnya aku tewas walau cuba bertahan. Aku pengsan mungkin, tak sedarkan diri. Dunia aku gelap.

“Mira! Siti Amira! Kamu dengar suara saya tak? Kalau dengar tolong gerakkan sesuatu. Apa-apa saja yang ada dekat dengan kamu,” aku dengarsatu suara. Sayup tapi jelas. Macam suara Ustaz Alias. Dan aku juga dengar beberapa suara lain yang tenggelam timbul, sekejap dengnar sekejap hilang.

Aku buka mata, pandang keliling. Mana tahu aku boleh nampak Ustaz Alias dan kawan-kawan aku. Mungkin perkara pelik yang aku alami tadi cuma mimpi.

“Mira! Syahadah jangan lupa, zikir jangan putus. Kamu masih di sini, jangan risau. Tak lama lagi kau akan pulang ke tempat kamu. Cuba cari apa-apa saja sekitar kamu, gerakkannya. In Shaa Allah, kami akan jumpa kamu,” sekali lagi aku dengar suara Ustaz Alias. Tapi bila aku cuba muka mata, telinga aku berdengung, sakit. Aku tutup telinga. Aku terasa ada orang yang menolak belakangku perlahan-lahan, memangku aku untuk duduk.

– Bersambung –

One thought on “DENDAM

Leave a comment