AKU NAMPAK DIA 3.0

Bab 4

“Ustaz, haritu saya ke Sabah dengan Rashida. Tapi saya tak tahu Rashida sedang koma. Saya pun tak tahu saya ikut siapa masa tu,” kataku perlahan.

Ustaz Malik diam. Aku pun diam juga. Sedih sebenarnya bila kita menceritakan perkara yang benar tapi sukar dipercayai oleh orang yang kita harap akan percaya. Aku dah alami perasaan ini bila ayah aku sendiri tak percayakan aku. Apatah lagi orang lain.

“Ustaz tak boleh ke buat apa-apa? Mana tahu, Rashida nak beritahu kita sesuatu,” kata Zaiton lagi.

“Kamu berdua baliklah dulu. Nanti saya fikirkan pasal ni,” kata Ustaz Malik. Aku pandang Zaiton.

“Ustaz fikirkan ye. Kami balik ke bilik dulu. Terima kasih ustaz,” kata Zaiton sambil melangkah mengikut langkah aku keluar dari pejabat Ustaz Malik.

“Aku dah cakap kat kau, tiada siapa akan percaya apa yang aku cakap,” kataku perlahan ketika menuruni tangga.

“Kau jangan putus asa. Doa banyak-banyak. Aku yakin Ustaz Malik akan bantu kau. Kau sabar ye,” Zaiton pujuk aku. Aku diam. Kami terus melangkah balik ke bilik.

Jam 10 malam, loceng kecemasan berbunyi. Aku dan Zaiton yang pada masa tu sedang tekun buat assignment, terus capai tudung, sarung ala kadar dan berlari ke tempat perhimpunan.

“Kenapa ni?” Zaiton tanya salah seorang pelajar yang telah sedia ada di tempat perhimpunan.

“Dengar cerita ada kebakaran kecil di perpustakaan. Lepas tu blok Utarid pula ada kebakaran kecil di tingkat dua. Dan ketiga, dewan kuliah Efektif pula ada kebakaran kecil,” sahut salah seorang pelajar yang berada di situ.

“Tiga tempat yang berlainan, terbakar pada masa sama?” Zaiton tanya.

“Itulah yang saya dengar. Tak tahulah cerita sebenar. Tunggu warden bagi maklumat,” katanya lagi. Aku dan Zaiton hanya berpandangan sesama sendiri, tak tahu nak cakap apa. Hanya menanti pengumuman maklumat oleh pihak warden dan pihak kolej.

“Kenapa ni weh?” Suraya tepuk belakang aku tiba-tiba.

“Entah, aku pun tak tahu. Dengar cerita ada kebakaran,” sahutku perlahan.

“Haah, aku dengar macam tu.” Sahut Azrin.

“Assalamualaikum semua. Adakah semua dah berkumpul di sini? Setiap orang pastikan rakan sebilik kamu ada bersama kamu. Jika tiada, sila maklumkan pihak kolej segera,” aku dengar ketua warden asrama, Encik Megat bersuara dari atas pentas batu.

“Sila maklum bahawa pihak kolej menerima aduan tentang kebakaran kecil di perpustakaan, tingkat dua Blok Utarid dan Dewa Kuliah Efektif. Memandangkan keadaan kebakaran yang agak meragukan, kerana kebakaran terjadi di blok bangunan yang berjauhan tetapi terjadi pada satu masa yang sama, kita perlu pastikan puncanya bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku di blok lain. Kita dah maklumkan pihak bomba untuk buat siasatan. Jadi, sehingga pihak bomba mengesahkan tiada yang bahaya, barulah kamu boleh balik ke bilik masing-masing.” Kata Encik Megat lagi.

“Encik Megat, ada antara kami yang nampak api tu, seakan satu gumpalan api yang berterbangan di udara. Api tu bukannya datang dari mana-mana bahagian, hanya berterbangan begitu sahaja.” Aku dengar salah seorang pelajar di situ bersuara.

“Iye Encik Megat. Saya pun nampak,” sahut seorang lagi.

“Takpe, kita tunggu bomba bagi maklumat. Sehingga itu, kamu semua tunggu di sini. Kepada sesiapa yang nak ke tandas, boleh guna tandas tingkat bawah Blok Zuhal.” Kata Encik Megat lagi.

Lebih kurang sepuluh minit, dua buah jentera bomba memasuki kawasan kolej. Kami hanya memerhati. Lebih kurang dua belas orang pegawai bomba memasuki ke blok-blok yang dikatakan kelihatan api yang membakar. Kami semua menanti dengan penuh sabar.

Lebih kurang setengah jam kemudian, ahli-ahli bomba keluar dari blok yang berkenaan, berbual dengan Encik Megat dan beberapa orang pensyarah yang berada di situ. Wajah masing-masing berkerut.

Lebih kurang lima belas minit mereka berbincang, jentera boleh tadi bergerak keluar meninggalkan kawasan kolej.

“Baiklah, keadaan dah terkawal. Kamu semua boleh balik ke bilik masing-masing,” kata Encik Megat.

“Apa punca kebakaran tu Encik?” ada suara bertanya.

“Kami akan maklumkan selepas dapat surat pengesahan dari pihak bomba. Cuma setakat ini, pihak bomba dah mengesahkan kebakaran tak besar dan tidak membahayakan sebab semua punca api tak terganggu.” Kata Encik Megat.

“Api tu datang dari mana?” seorang lagi bertanya.

“Apa-apapun, kita tunggu laporan dari bomba. Kamu semua jangan risau, pihak keselamatan kolej akan memastikan semua berada dalam keadaan selamat. Baliklah ke bilik kamu. Jika ada apa-apa yang meragukan, boleh hubungi saya terus,” kata Encik Megat lagi.

Semua pelajar mula meninggalkan kawasan perhimpunan. Aku dan Zaiton pun berjalan perlahan ke blok kami. Aku mendongak ke tingkat tiga bilik kami, aku nampak seseorang berdiri disitu. Aku pegang tangan Zaiton. Zaiton berhenti melangkah.

“Siapa tu? Semua pelajar dah turun kan?” aku tanya sambil menunjukkan seseorang yang berdiri betul-betul di koridor depan pintu bilik kami.

“Mana? Aku tak nampak sesiapapun,” kata Zaiton sambil matanya melilau cuba mencari ‘seseorang’ yang aku tunjuk.

“Tu, depan bilik kita tu. Dia pandang ke kat kita,” kataku lagi.

“Aku tak nampak siapapun kat depan bilik kita tu,” kata Zaiton.

“Kau tak nampak?” aku tanya lagi.

“Haah, aku nampak bilik kita je. Tak nampak sesiapapun,” kata Zaiton lagi.

Aku diam, masih memandang ke arah orang itu. Seorang gadis, memakai baju kurung warna hijau, dengan rambut lurus dilepaskan separas bahu. Wajahnya aku tak begitu nampak sebab suasana yang tak berapa nak cerah, malam kan.

“Ton, aku rasa macam aku kenal susuk tubuh tu,” kataku kepada Zaiton.

“Siapa? Aku tak nampak sesiapapun,” kata Zaiton lagi.

“Dari susuk tubuh, aku rasa aku boleh agak siapa,” aku beritahu Zaiton.

“Kau jangan buat hal la waktu macam ni. Semua orang dah masuk bilik, kita je masih berdiri di sini. Dah la, kau jangan tengok sana lagi. Jom je kita naik. Berdiri kat sini pun tak selesaikan masalah. Kita naik, kalau betul ada orang kat sana, kita panggil Encik Megat,” kata Zaiton sambil melangkah meninggalkan aku. Aku tahu dia taknak dengar apa yang aku nak cakap.

Nak tak nak, aku mengekori langkah Zaiton. Sampai kat pintu bilik kami, ternyata tiada sesiapa di situ.

“Takde siapa. Perasaan kau je kot. Imbasan cahaya lampu je kot,” kata Zaiton sambil membuka kunci pintu bilik. Aku tak menyahut, aku pandang keliling, tiada sesiapa.

Tak sempat aku tutup pintu lagi, kedengaran suara jeritan dari bilik sebelah. Aku dan Zaiton berlari keluar bilik dan terus ke bilik sebelah. Dari tingkap yang terbuka, aku nampak segumpal api berterbangan di dalam bilik tersebut, membakar kain cadar salah satu katil di dalam bilik itu. Api tak melarat, hanya membakar di tempat gumpalan api tu berada sahaja.

Azrin dan Junaida berdiri di koridor bersama-sama aku, Zaiton dan beberapa pelajar lain yang keluar dari bilik bila terdengar mereka menjerit.

“Kenapa ni?” Encik Megat mendapatkan kami, termengah-mengah suaranya kerana berlarian menaiki tangga.

Azrin menunjukkan cadar katilnya yang terbakar.

“Api tu dari mana?” Encik Megat bertanya.

“Nampak macam dari arah tingkap belakang bilik,” kata Azrin.

“Malam ni kamu tumpang bilik sesiapa dulu, boleh?” kata Encik Megat.

“Boleh.” Azrin menyahut.

“Azrin tumpang bilik kami pun boleh. Junaida mungkin boleh tumpang bilik Damia,” kata Zaiton. Iyelah, nak masuk empat orang dalam satu bilik, agak sempit juga. Tiga orang masih ok.

“Boleh, mana-mana pun boleh,” sahut Junaida.

Malam tu masing-masing dah takde mood nak ulangkaji atau buat assignment. Semua dah baring di atas katil. Kat bilik aku, kami satukan dua katil supaya kami bertiga boleh tidur di atas katil. Azrin tak banyak cakap, dia seperti masih terkejut dengan kejadian tadi. Kami nak cakap banyak pun tak boleh, sebab tak tahu nak cakap apapun. Kami sendiri pun tak pasti entah bila api tu boleh sampai ke bilik kami. Kami tutup lampu dan tidur.

Aku terjaga jam 3 pagi bila terdengar bunyi tingkap bilik kami dibuka dan ditutup sendiri. Aku angkat kepala memandang ke arah tingkap. Aku nampak bayangan susuk tubuh seseorang di luar bilik kami. Dan tingkap bilik masih terbuka dan tertutup sendiri. Meremang bulu roma aku.

Aku goyangkan badan Zaiton dan Azrin tapi mereka tak bergerak. Aku cuba pejamkan mata aku, taknak tengok ke arah tingkap.

“Alinnnnn…,” aku dengar satu suara memanggil nama aku.

“Alinnnnn….,” sekali lagi. Aku tutup telinga aku.

“Alinnnnnnnnnnn….,” dan kali ni bunyi suara memanggil tu berada di dalam bilik kami. Aku dah berpeluh-peluh di bawah bantal yang menutupi muka aku. Aku taknak bergerak, biar apapun yang terjadi.

“Mana barang aku?” aku dengar lagi suara serak tu.

“Alin, aku nak barang aku,” kali ini aku terasa ada sesuatu yang sejuk menjalar di kaki aku. Aku masih kakukan diri.

“Alin, mana barang aku?” kali ini aku hilang sabar. Aku bangun. Aku pandang keliling, tiada sesiapa.

“Aku tak tahu siapa kau, tapi aku tahu kau ada di sini. Jangan ganggu aku, aku tak ganggu kau,” kataku berani walaupun sebenarnya aku takut.

Dan kali ini tingkap bilik aku kembali terbuka dan tertutup seperti tadi. Aku bangun dari katil. Aku melangkah ke tingkap lalu menjenguk keluar. Tiada sesiapa. Aku tolak tingkap tersebut dan menguncinya di besi tepi.

“Tok tok tok!” pintu bilik pula diketuk orang. Aku terjerit sebab terkejut. Jeritan aku membuatkan Zaiton dan Azrin tersedar lalu bangun.

“Alin, kenapa ni?” Zaiton tanya aku.

“Tok tok tok!” pintu sekali lagi diketuk.

“Siapa tu?” Azrin tanya.

“Aku tak tahu. Dari tadi dia main tingkap. Sekarang dia main ketuk pintu pulak,” kataku perlahan.

“Pasanglah lampu,” kata Zaiton.

“Jangan dulu. Aku nak tengok siapa yang nak main-main dengan kita ni,” kataku.

Zaiton dan Azrin diam. Aku menghampiri pintu yang masih diketuk dari luar.

“Alin, jangan buka pintu tu. Kita tak tahu siapa kat luar tu. Baik kita call Encik Megat dulu,” kata Azrin.

“Ya, kau cuba call Encik Megat. Aku nak intai keluar sekejap,” kataku. Azrin ambil telefon dan menghubungi Encik Megat.

Aku buka tingkap cermin bilik perlahan. Aku buka sikit je. Konon nak mengintai keluar. Tapi belum sempat aku mengintai keluar, aku nampak sepasang mata yang sedang mengintai aku dari luar. Mata hitamnya besar dan hampir menutupi mata putihnya. Meremang bulu roma aku. Aku tutup semula tingkap. Aku duduk di katil bersama-sama Zaiton dan Azrin.

“Nampak sesiapa tak?” Zaiton tanya aku.

“Kau dah call Encik Megat ke?” aku tak jawab pertanyaan Zaiton, tapi aku tanya Azrin.

“Dah, dia kata dia datang sekarang. Katanya jangan buka pintu,” kata Azrin.

“Kreeeekkkkkkk….,” tiba-tiba meja tulis aku berbunyi seakan ditarik oleh seseorang.

“Siapa tarik meja tu?” Azrin tanya.

Zaiton dah peluk aku. Aku pandang ke arah meja tu. Aku nampak seseorang berdiri di tepi meja.

“Aku nak barang aku,” aku dengar suara itu.

“Kreeeekkkkk….” Sekali lagi meja tulis aku ditolak ke tempat asalnya. Susuk tubuh tadi yang menolaknya.

“Siapa tolak meja tu Alin? Kau nampak ke?” Zaiton tanya aku sambil menekup mukanya di belakang aku. Azrin pun sama, menggeletar tangannya memegang aku.

“Tok tok tok!” Pintu bilik diketuk dari luar. Zaiton dan Azrin menjerit dan menangis ketakutan. Aku pula kaku bila lihat susuk tubuh itu berdiri di depan aku.

“Alin, Zaiton, buka pintu ni. Saya Encik Megat ni,” aku dengar suara Encik Megat dari luar bilik. Dan aku masih kaku di situ.

Azrin terus bangun dan buka pintu bila lihat aku masih kaku. Encik Megat bersama Puan Julia dan Ustaz Malik berdiri di luar pintu. Puan Julia melangkah masuk ke dalam bilik kami dan pasang lampu. Zaiton tepuk bahu aku. “Alin, kau ok?” Zaiton panggil nama aku.

Aku seperti baru tersedar dari lamunan. Aku pandang keliling, susuk tubuh tadi tiada di situ.

“Apa yang berlaku?” Encik Megat bertanya.

“Ada orang ketuk pintu. Alin kata, ada orang main-main buka tutup tingkap. Dan sekejap tadi, meja tulis tu bergerak sendiri macam ada orang seret sikit,” kata Zaiton.

Encik Megat dan Puan Julia memerhati keliling.

“Pontianakkkkkkk!!!!” tiba-tiba terdengar suara orang menjerit dari Blok Zuhal iaitu blok sebelah blok kami. Kami yang berada di dalam bilik tu masing-masing buat muka cuak.

Ustaz Malik berlari keluar dari bilik kami. Dia menjenguk ke Blok Zuhal melalui koridor blok kami. Dan masa inilah aku nampak sesuatu terbang melintasi Ustaz Malik. Ustaz Malik memegang belakang lehernya dan beristigfar panjang di situ.

Encik Megat keluar dari bilik dan mendapatkan Ustaz Malik. “Kenapa Ustaz?” Encik Malik bertanya.

“Suruh budak-budak tu masuk bilik. Kunci pintu bilik.” Kata Ustaz Malik.

“Puan Julia tunggu bersama mereka di sini. Saya dan Ustaz Malik pergi tengokkan blok sebelah,” kata Encik Megat. Puan Julia anggukkan kepala.

Belum sempat Encik Megat tutup pintu bilik kami, terdengar lagi satu jeritan. “Pocongggggg!!!!” dan sekali lagi kami buat muka cuak.

Aku terus bangun dari katil, berlari keluar bilik dan memandang ke tingkat bawah blok. Beberapa bilik dah terang benderang, mungkin mereka semua tersedar dari tidur bila terdengar suara orang menjerit.

Aku nampak bungkusan putih seakan mayat yang telah dikafankan sedang berguling-guling di atas laluan di tepi café. “Kamu pergi masuk bilik,” Encik Megat suruh aku masuk bilik.

“Kamu nampak apa-apa ke?” Ustaz Malik tanya aku.

Aku anggukkan kepala. Encik Megat pandang aku dan Ustaz Malik silih berganti.

“Nampak apa?” Encik Megat tanya.

Bersambung…

One thought on “AKU NAMPAK DIA 3.0

Leave a comment