DENDAM

Bab 12

Wanita tua itu nampak keletihan. Dia masih cuba menyerang, tapi lelaki tadi mengangkat tangan ke arahnya. “Cukup. Kau tahu kemampuan kau. Ini bukan kali pertama kita berjumpa. Dan bukan kali terakhir aku lepaskan kau. Pergilah. Aku cuma mahu mengambil orang aku dari sini,” kata lelaki itu.

“Tidak, dia milik aku. Dia akan menjadi batu galas untuk aku menebus semula apa yang telah aku kehilangan. Dia yang akan menebus janji yang telah dimungkiri. Dan hanya dia yang boleh buatkan aku dapat semula kerajaan aku, bahkan lebih besar dari dulu,” sahut wanita tua tadi.

“Tidak, dia bukan penebus sesiapa. Dia hak Penciptanya. Dia hak ibu ayahnya di dunia dia. Lepaskan dia, aku lepaskan kau,” kata lelaki itu lagi, masih mengangkat tangannya seperti tadi. Perbuatannya itu seolah-olah mengunci pergerakan wanita tua tadi.

“Aku dah berjanji dengan Pak Maliki, akan ku tebus kerajaanku melalui perkahwinan gadis ini dengan anaknya. Kalau kali ini pun aku mungkiri janji dengannya, aku pasti hilang lenyap di bumi lapisan paling bawah.” Kata wanita tua itu lagi.

“Itu masalah kau. Kenapa kau berjanji? Sedangkan kau perlu menebus orang lain?” kata lelaki tadi lagi.

“Kerana keturunan gadis ini yang membawa anak aku pergi. Maka, gadis ini perlu menjadi galang ganti kepada anak aku yang mereka ambil. Gadis ini yang akan menebus janji aku. Andai anak aku tak dapat mengembalikan kerajaan aku, maka gadis inilah yang akan menjadi gantinya,” kata wanita tua itu lagi.

“Kau sedang berdendam. Dan kau ingin membalas dendam. Hingga kau lupa, dendam itu sesungguhnya pembawa petaka,” kata lelaki itu.

“Aku simpan dendam ini. Lama. Dan kali ini aku dapat membalasnya. Jangan ganggu urusan aku,” kata wanita tua itu.

“Maaf, urusanmu adalah berurusan denganku. Anak itu akan ikut aku pulang. Aku tak peduli apa yang akan terjadi kepada kau, aku tetap akan bawa dia pergi,” kata lelaki itu lagi.

Wanita tua itu cuba melangkah tapi nampak seperti badannya terbakar. Dia menjerit dan berundur kembali ke tempat dia berdiri tadi.

“Ziwa,” aku dengar satu suara dari dalam hutan. Wanita tua tadi menoleh ke arah suara tersebut namun lelaki itu masih tak berganjak atau bergerak dari posisinya yang tadi.

“Sudahlah. Jom kita balik.” Dari satu pokok besar, aku nampak bayang seseorang melangkah keluar. Bayang seorang lelaki. Lelaki yang seusia dengan wanita tua itu. Mungkin dan berusia 100 tahun lebih dari bentuk kulitnya yang dah menggelebeh, bola matanya hampir terkeluar dari kelopak mata, hidungnya yang dah jatuh hingga ke dagu, telinganya yang memanjang seperti telinga arnab. Tapi dia masih nampak sihat bertenaga, cuma fizikalnya yang nampak menggerunkan sama seperti wanita tua tadi. Dia menghampiri wanita tua itu.

“Uman, ini saja peluang yang kita ada. Kalau terlepas juga kali ini, kau tahu apa yang Pak Maliki mampu buat kepada kita,” kata wanita tua itu.

Uman? Ziwa? Nama ni aku dengar dari perbualan serigala dan ular besar yang nak makan aku haritu. Ziwa adalah nama wanita tua itu, yang sebelum ini menyerupai mak aku. Kalau lelaki itu adalah Uman, bermakna lelaki itulah yang menyerupai ayah aku sebelum ini.

“Kita terangkan kepada Pak Maliki. Kita cakap bahawa anak kita dah pergi, atau dah mati. Moga dia akan faham,” kata lelaki tua bernama Uman itu.

“Tidak Uman. Kau kenal siapa Pak Maliki. Penjaga seluruh kerajaan gunung dan air. Andai janji dimungkiri, jarang aku lihat jasad mereka walau dah mati. Semuanya hilang tanpa kesan. Walau habuk pun masih dapat dirasa, tapi jasad orang yang memungkiri janji kepadanya menerima nasib yang lebih teruk dari habuk yang dibuang.

“Kita tiada pilihan. Dulu, Haisa tinggalkan kita. Anak sendiri tak sudi menyokong kita, macammana kita nak harap Mira yang bukan anak kita. Kita yang silap membuat janji, kita dah silap ketika janji pertama, tapi kita masih teruskan kesilapan dengan membuat janji kedua. Semua hanya kerana dendam dan tak puas hati,” kata Uman lagi.

“Uman, mereka ambil anak kita. Maka kita ambil anak mereka. Bukankah kau menyokong aku selama ini?” Ziwa memandang marah ke arah lelaki tua tadi.

“Aku sentiasa menyokongmu. Kau kesayanganku. Tapi kau juga tahu kemampuan lelaki dari dunia satu lagi ini. Aku tak mahu kau sakit. Jom kita balik, lepaskanlah gadis itu,” kata Uman.

“Tak semudah itu. Biarlah aku mati kerana mempertahankan hak aku, daripada aku mati di tangan Pak Maliki,” kata Uman itu lalu berubah bentuk menjadi burung lalu terbang ke udara.

“Jangan Ziwa!” Uman menjerit cuba Ziwa tapi tak diendahkan.

Lelaki separuh abad tadi masih berdiri dalam posisinya yang tadi. Tak bergerak walau seinci.

“Salleh, aku minta maaf bagi pihak Ziwa. Lepaskanlah dia. Kau tahu dia menderita sejak Haisa tinggalkan kami untuk hidup di dunia kau. Kau tahu akibat dari perbuatan Haisa, Ziwa dihukum dan dia kehilangan kerajaan yang selama ini dibina oleh ayahnya. Kau pun tahu dia siapa, anak raja bagi kerajaan angin. Dia dah cukup menderita. Kau maafkan dia ye,” kata Uman kepada lelaki separuh abad tadi.

“Aku tak pernah tak maafkan dia. Aku tak cari pasal dengan dia. Haisa yang ikut kami balik. Dia yang merayu nak ikut kami sebab taknak berkahwin dengan anak Maliki. Bukan kami yang bawa dia. Dia menyusup masuk melalui pintu paksi yang terbuka masa tu. Kami pun tak sedar semua tu. Hinggalah kami dah masuk ke dunia kami. Baru kami sedar, dia ada bersama kami. Dan kami sering memujuknya untuk pulang semula kepada keluarganya tapi dia yang tak mahu. Dan kau pun tahu, aku sendiri pernah berhubung dengan kau dan Ziwa, supaya memujuk anak kamu kembali kepada kamu. Tapi dia yang taknak. Apa yang terjadi kepada kau dan Ziwa, bukan sebab kami. Tapi sebab anak kamu sendiri. Dan kau pun tahu, Haisa dah gembira dunia kami. Tak bolehkah kita lepaskan perkara lampau? Dan teruskan dengan kehidupan masing-masing?” kata lelaki yang dipanggil Salleh oleh Uman tadi, dengan lembut dan tenang.

“Ya, aku tahu. Tapi Ziwa dah termakan janji Pak Maliki sebab anak Pak Maliki menyukai Amira. Janji Pak Maliki, jika Mira berkahwin dengan anaknya Rafi, maka kerajaan angin akan dikembalikan kepada Ziwa, malah mereka akan berkongsi kerajaan air sebagai kawasan jajahan mereka. Dan tanpa fikir panjang, Ziwa telah berjanji untuk mengahwinkan Mira dengan Rafi. Kalau mereka tak jadi berkahwin kali ini, aku tak tahu apa akan jadi kepada aku dan Ziwa,” kata Uman.

“Itu aku tak boleh bantu. Janji yang dia buat, takde kena mengena dengan orang aku. Anak ini tetap akan ku bawa balik ke dunia kami sebab tempatnya di sana. Tentang anakmu Haisa, dia dah lama meninggal dunia. Dia dah menjadi sebahagian dari kami. Dia pergi dalam keadaan yang sangat baik. Malah beberapa orang dari dunia kau, datang menziarahinya ketika dia dikebumikan. Aku pun menjemput kamu dan Ziwa tapi kamu berdua taknak hadir untuk melihatnya buat kali terakhir,” Kata Pak Salleh.

Uman diam dan tunduk ke tanah. Suasana sunyi seketika.

Tiba-tiba kedengaran bunyi suara burung besar memecah udara, bingit sungguh bunyi di situ. Seluruh pokok bergegar bagai ditiup puting beliung malah ada yang tumbang. Uman turut bergerak sedikit kerana menahan angin kuat yang menolaknya. Aku pun hampir terbalik kalau tak berpegang kepada pokok besar di depan aku. Tapi Pak Salleh masih kekal tenang di tempatnya tadi.

Dan dari arah udara, kelihatan burung besar terbang laju dan menjunam ke arah Pak Salleh.

“Jangan Ziwa!” Uman menjerit. Tapi jeritannya hilang dengan suara burung tersebut menjerit kuat dan menerkam ke arah Pak Salleh.

Ketika lebih kurang sedepa menghampiri Pak Salleh dengan kelajuan yang aku agak lebih kurang 150 kilometer sejam, Pak Salleh menurunkan tangannya yang diangkat sejak tadi. Dan aku nampak kepak burung besar itu terbakar. Mula-mula kepak, lepas tu api terus membakar ke seluruh badan burung tersebut. Dan akhirnya burung itu jatuh ke tanah. Api terus membakar dan aku nampak Ziwa menggelupur di dalam api yang marak.

Uman berlari mendapatkan Ziwa yang meraung kesakitan. Tapi tiada apa yang dapat dibantu. Seluruh kawasan itu dipenuhi api. Pak Salleh melangkah menghampiri aku.

“Dah, jom kita balik,” kata Pak Salleh sambil memandang aku yang masih kebingungan.

“Suraya kata kena tunggu malam esok baru cahaya tu terbuka semula,” kataku, masih mengingati pesanan Suraya.

“Jangan risau. Saya ada kuncinya. Semua dengan izin Allah. Percaya saja kepada-Nya, dia bersama kita walau di dunia mana kita berada,” kata Pak Salleh lagi.

Aku bangun dari celahan pokok. Mengikuti langkah Pak Salleh. Aku memandang ke arah Uman yang kesayuan melihat Ziwa yang masih terbakar di dalam api.

“Dia akan terbakar begitu hingga dunia berakhir. Itu pilihannya. Dia sanggup menerima akibat yang begini daripada menerima hukuman dari Maliki, raja segala kerajaan gunung dan air, raja segala kezaliman di dunia bawah ini,” kata Pak Salleh.

“Maksud Pak Salleh, dia akan terus terbakar macam ni? Menahan sakit ni sampai dunia berakhir? Kiamat?” aku bertanya.

“Ya, dengan izin Allah,” kata Pak Salleh.

“Jangan fikirkan lagi. Jom kita balik ke tempat kita. Dah kering air mata mak kamu menunggu kamu pulang,” kata Pak Salleh.

“Siapa Haisa tu?” kataku sambil mengikuti langkah Pak Salleh.

“Kamu tak pernah dengar nama tu?” Pak Salleh tanya aku.

“Tak. Macam pelik je nama tu,” sahutku.

“Nanti balik, kamu tanyalah mak dan ayah kamu. Mesti mereka tahu,” kata Pak Salleh.

“Maknanya betullah mak dan ayah saya tahu pasal tempat ni?” aku tanya lagi.

“Sudah, kita balik dulu. Kamu perlu rehat. Kamu dah berada di sini terlalu lama. Allah jaga kamu. Kalau orang yang tak kuat, kamu mungkin dah menjadi sebahagian dari mereka,” kata Pak Salleh.

“Tak lama sangat. Rasanya baru sehari atau dua hari saya kat sini,”sahutku.

“Hehehe… Tapi di tempat kita, kamu dah hilang selama tiga bulan,” kata Pak Salleh sambil ketawa kecil.

“Tiga bulan???”  aku tanya lagi.

Pak Salleh tak menyahut.

“Tempat kita? Habis tu ini tempat apa? Macammana saya boleh sampai sini? Sedangkan saya berada di hostel universiti saya di KL,” aku tanya lagi.

Pak Salleh tetap tak menyahut. Dia teruskan perjalanan membelah kegelapan malam. Hanya bertemankan cahaya bulan yang tak terang. Sepanjang perjalanan kami meranduk hutan belukar, aku perasan ada beberapa mata yang memerhatikan kami. Terdengar suara-suara aneh berbisik dan berbual di sekitar kami. Tapi Pak Salleh berjalan terus. Tiada suara langsung. Seram sejuk aku melihatnya. Maka aku buat keputusan untuk tak bertanya lagi. Otak aku pun dah tak mampu berfikir, dah terlalu penat. Badan aku pun dah lemah sangat. Jadi aku akur dengan nasihat Pak Salleh. Yang terbaik untuk aku buat masa ni ialah balik ke tempat aku dulu. Asalkan aku dapat balik ke tempat aku semula.

Kalau betul mak ayah aku tahu pasal ni, aku pasti akan korek cerita ni dari mereka.

– Bersambung –

One thought on “DENDAM

Leave a comment