DENDAM

Bab 14 (AKHIR)

Keesokan harinya, seseorang datang menemui aku di rumah mak aku. Tak berkelip mata aku memandangnya.

“Suraya?” aku tanya.

“Ya, aku Suraya, kawan kau,” sahut Suraya. Aku memandangnya sambil terbeliak mata.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?” Suraya tanya aku.

“Kau masih hidup? Kau belum mati?” aku tanya

“Hish kau ni. Aku hidup lagi la,”sahut Suraya. Aku terus bangun dan peluk Suraya. Teresak-esak aku menangis. Rasa lega nampak Suraya.

“Kau dah kenapa?” Suraya tanya aku.

“Aku ingat kau dah mati diserang burung besar,” kataku.

“Ha?” Suraya menjawab.

Ustaz Rusli yang berada di situ masa tu, ketawa kecil melihat gelagat aku dan Suraya.

“Amira, kamu tak perlu ingat lagi apa yang terjadi masa kamu hilang dulu. Itu semua khayalan kamu. Sekarang aku berada di alam nyata.” Kata Ustaz Rusli. Dan aku bagaikan baru sedar.

Lepas seminggu, barulah aku rasa keyakinan aku dah kembali seperti dulu. Kekeliruan aku makin hilang.

“Kamu ada menyimpan kunci dari alam sebelah, kan?” Ustaz Rusli bertanya aku pada satu pagi selepas dia merawat aku. Aku kerutkan dahi, terfikir macammana Ustaz Rusli tahu.

“Jangan risau, Pak Salleh dah beritahu saya semuanya. Pak Salleh suruh saya ingatkan kamu, simpan dan jaga sarung kering tu baik-baik. Jangan hilang sebab ianya hak orang lain. Bimbang kerana jika sarung keris itu hilang, kita akan digelar sebagai bangsa yang tak mengenang budi,” kata Ustaz Rusli.

“Ustaz boleh tolong simpan sarung keris tu?” aku tanya Ustaz Rusli.

Ustaz Rusli gelengkan kepala. “Tuanpunya sarung keris itu amanahkan ia kepada kamu. Tak boleh sewenang-wenangnya bertukar tangan,” kata Ustaz Rusli.

“Sarung keris je pun,” balasku.

“Pada mata kamu, ia mungkin sarung keris ‘je’. Tapi buat tuanpunya sarung keris tu, ia umpama nyawa.” Kata Ustaz Rusli.

“Bila dia nak datang ambil? Di mana? Macammana nak jumpa dia? Dan macammana nak tahu bahawa orang yang datang tuntut sarung keris ni nanti adalah betu-betul pemiliknya?” aku tanya. Segalanya dah jelas, cuma sarung keris tu masih menjadi tandatanya buat aku. Dan sejarah silam yang ingin aku singkap, pun masih aku belum ketahui butirannya.

“Jangan risau, dia akan datang ambil setelah kamu betul-betul bersedia,” kata Ustaz Rusli.

“Siapa nak datang? Ambil apa?” tiba-tiba mak aku bersuara dari pintu bilik. Aku dan Ustaz Rusli berpandangan sesama sendiri. Ustaz Rusli buat isyarat menyuruh aku tutup mulut tentang kewujudan sarung keris tu.

“Takde apa. Hari ni hari akhir saya rawat Amira. Dia nampaknya dah cukup sihat. Alhamdulillah. Dia anak gadis yang kuat,” kata Ustaz Rusli.

“Terima kasih banyak ye Ustaz. Memang nampak dia makin pulih. Dah selera makan dan boleh gaduh dengan adik-adik dia dah,” kata mak aku. Ustaz Rusli pandang aku sambil tersenyum. Aku tersipu malu bila mak aku kata aku bergaduh dengan adik-adik aku.

“Sama-sama. Segalanya dari Allah, hanya Dia yang mampu mengizinkan segalanya,” kata Ustaz Rusli sambil berlalu pergi meninggalkan rumah kami.

“Mira ok?” Mak aku tanya. Aku angguk kepala.

“Mak, Mira nak tanya sikit boleh ke?” aku tanya mak aku. Mak aku duduk kat sebelah aku. Dia masih bertelekung. Mungkin baru lepas buat solat Dhuha sebelum dia keluar dari bilik dan menegur aku dan Ustaz Rusli di ruang tamu tadi,

“Nak tanya apa Mira? Tanyalah, kalau mak tahu jawapannya, mak jawab,” kata mak aku sambil pandang aku.

“Opah atau moyang sebelah mak atau ayah, ada tak sesiapa yang pernah hilang macam Mira?” aku tanya. Mak kerutkan dahi.

“Kenapa kamu tanya macam tu?” mak aku tanya.

“Mak kenal tak perempuan yang bernama Haisa?” aku bertanya lagi. Mak aku pandang aku tanpa berkelip matanya.

“Mana kamu tahu nama tu?” mak aku tanya.

“Mak kenal ke?” aku tanya lagi.

“Entahlah, tanya ayah kamu. Untuk mak, cukuplah kamu sihat macam dulu,” mak aku tanya.

“Kenapa dengan perempuan bernama Haisa?” tiba-tiba ayah aku muncul dari luar rumah dan bertanya. Mak dan aku tersentak, terkejut ayah tiba-tiba muncul sedangkan ayah tiada di rumah tadi. Tapi aku tahu ayah aku tak pergi bekerja hari tu.

“Ayah kenal?” aku tanya. Mak dan ayah berpandangan sesama sendiri.

“Dengan apa yang dah terjadi kepadanya, abang rasa dia berhak tahu, kenapa semua ni terjadi,” kata ayah. Mak terus sandarkan tubuhnya di kerusi. Ayah duduk di depan aku. Aku menanti dengan penuh tenang. Reaksi muka mak dan ayah cukup menggambarkan bahawa mereka tahu tentang sesuatu yang berkaitan dengan kehilangan aku ke alam satu lagi.

“Kamu ingat tak, masa kamu kecil, ayah selalu mengubat orang?” ayah aku tanya. Aku anggukkan kepala.

“Kau perasan tak, sejak bila ayah boleh mengubat orang?” ayah aku tanya lagi. Aku kerutkan dahi cuba mengingat. Masa tu umur aku baru 10 tahun kot. Lalu aku gelengkan kepala.

“Ayah boleh mengubat orang setelah kematian nenek kamu,” kata ayah. Dan aku pun macam ‘haah la’. Betul, ayah aku mula mengubat orang selepas sebulan nenek aku meninggal dunia.

“Kamu ingat nenek kamu?” ayah terus bertanya. Aku anggukkan kepala. Mestilah aku ingat nenek aku. Baik dan cantik. Tapi dia tinggalkan aku pada usia aku masih terlalu kecil.

“Kamu masih terlalu kecil masa tu, mungkin kamu tak ingat apa-apa. Ayah ceritakan secara terus ye. Ayah harap kamu akan faham. Nenek kamu bukan orang biasa di kalangan kita. Dia berasal dari alam satu lagi. Dari apa yang diceritakan oleh datuk kamu kepada ayah, datuk kamu dulu, selalu memburu di hutan bersama kawan-kawannya. Hingga satu hari dia tersesat di alam satu lagi kerana dia bertembung dengan nenek kamu lalu dia mengikutnya hingga masuk ke alam sana. Ayah tak pasti macammana datuk kamu boleh masuk ke alam sana. Lama juga datuk kamu hilang. Lebih lama dari tempoh kehilangan kamu. Sama macam kehilangan kamu ni. Datuk kamu bercerita macammana dia dan nenek kamu saling jatuh cinta sesama sendiri. Tapi mereka tak boleh berkahwin kerana mereka berlainan alam dan bangsa. Lalu ibubapa nenek kamu dari alam sebelah sana, mahu menjodohkan nenek kamu dengan bangsa mereka juga. Tapi nenek kamu enggan. Sebab dia dah jatuh cinta kepada datuk kamu.

Datuk kamu kata, alam mereka di sana hidup dalam keadaan syirik. Ada yang menduakan Tuhan. Ada yang menjadi hamba Ifrit. Tapi nenek kamu lain. Dia suka melihat datuk kamu solat. Dia suka melihat keperibadian datuk kamu yang sangat lemah lembut dan sopan santun walau dilayan kasar oleh bangsa mereka di sebelah sana. Selama datuk kamu di sana, dia dah berjaya mengajak bangsa di sana untuk beribadah kepada Allah. Ada yang mengikut termasuk nenek kamu.

Satu hari, dengan izin Allah, setelah hilang selama enam bulan di alam kita, datuk kamu berjaya diseru oleh orang-orang dari alam kita. Mungkin kerana datuk kamu sendiri yang dah  bersedia untuk pulang ke alamnya semula. Tapi, nenek kamu nak mengikut datuk kamu. Puas datuk kamu melarang walau hatinya berat untuk meninggalkannya, tapi nenek kamu merayu untuk mengikutnya. Katanya dia takut andai dia tinggal lagi ditempat itu, dia akan kembali kepada kehidupannya yang dulu. Dan yang paling penting, nenek kamu tak sudi berkahwin dengan pilihan ibubapanya.

Sebelum ayah lupa, nenek kamu adalah anak kepada cucu kepada raja kerajaan angin di alam sana. Bermakna nenek kamu datang dari keluarga berkuasa di sana. Dan bakal suaminya adalah anak kepada pemilik kerajaan gunung yang menjajah kerajaan air. Nenek kamu dijanjikan untuk berkahwin dengan anak pemilik kerajaan gunung kerana kedua-dua kerajaan itu mahu bersatu supaya mereka dapat menguasai seluruh alam di sana. Andai mereka jadi berkahwin, keadaan di sana akan lebih buruk kepada bangsa-bangsa bawahan. Jadi nenek kamu tak mahu bersekongkol.

Dipendekkan cerita, datuk kamu membawa nenek kamu bersamanya kembali ke alam kita. Orang-orang dari sebelah sana ada menyampaikan berita bahawa sebaik sahaja mereka menyedari kehilangan nenek kamu pada hari perkahwinannya, bakal suami nenek kamu di sana telah mati kerana kemarahan yang amat sangat. Dia mati kerana dengan sengaja masuk ke sangkar ular dan membiarkan dirinya dipatuk bisa. Oleh kerana marah dengan kematian anaknya, raja kerajaan gunung telah menjatuhkan hukuman kepada ibu dan ayah nenek kamu, mereka kehilangan kerajaan dan dijadikan hamba abdi dalam kerajaan mereka sendiri. Hukuman itu hanya akan tertebus sekiranya nenek kamu dibawa pulang dan dikahwinkan dengan seorang lagi anak lelaki yang bakal mewarisi takhta kerajaan gunung.

Mungkin di atas dendam itu, kamu diculik ke sana untuk dijadikan galang ganti,” ayah mengakhiri ceritanya.

Aku kerutkan dahi, garu kepala yang tak gatal.

“Itu cerita tahun bila tu ayah? Nenek pun dah lama meninggal dunia.” Sahutku.

“Apa yang ayah faham, masa mereka di alam sana terkebelakang dari masa kita di alam sini. Mereka mungkin masih berada di seratus tahun kebelakang. Sebab tu bila mereka ke sini, yang mereka temui adalah kamu, iaitu cucunya. Sedangkan nenek kamu yang mereka cari dah meninggal dunia lama dah. Mereka ambil kamu untuk membalas dendam. Mereka nak orang di sini tahu apa rasanya bila anak kandung kita dibawa lari ke satu tempat yang tak dapat ditemui. Dan kebetulan masa mereka berjaya melepasi paksi sempadan alam mereka dan alam kita, kamulah yang paling layak untuk dibawa pergi.” Kata ayah lagi.

Aku tunduk. Aku masih samar-samar tapi aku rasa aku faham akar ceritanya. Kelihatan macam tak betul, tapi aku percaya sebab aku sendiri dah tengok keadaan di sana dan aku dah dengar cerita yang sama dari sana.

“Tapi kalau ikut cerita ayah, nama mereka tak sama. Sebab anak perempuan mereka yang mengikut ke alam ini bernama Haisa, tak sama dengan nama nenek,” sahutku.

“Siapa nama nenek kamu?” ayah tanya aku pula.

“Asiah,” sahutku pendek, pelik ayah tanya aku nama nenek aku.

“Asiah kalau terbalikkan jadi apa?” ayah aku tanya.

“H-a-i-s-a,” jawabku perlahan. Dan bulat mata aku bila aku perasan tentang itu. Patutlah dari dulu, bila aku tanya tentang keluarga nenek, mak dan ayah aku selalu mengelak.

“Setelah masuk ke alam ini, beberapa kali nenek kamu diganggu kerana namanya diseru dari alam sana. Jadi, datuk kamu tukarkan nama nenek kamu kepada Asiah supaya mereka di alam sana tak boleh menyeru namanya lagi,” kata ayah aku. Terangguk-angguk kepala aku bila memikirkan segala kebetulan cerita ayah aku.

“Nenek kamu ada kelebihan, dia boleh mengubat orang di sini. Kalau ada yang tersampuk, atau demam sikit-sikit, dengan izin Allah, nenek kamu boleh ubatkan hanya dengan memegang ubun-ubun kepala pesakit. Nenek kamu mengubat orang sampailah dia meninggal dunia. Dan setelah nenek kamu meninggal dunia, sebulan lepas tu, ayah ada bermimpi bertemu dengan nenek kamu. Dia kata, dia mahu ayah teruskan mengubat orang. Dia suruh ayah masuk ke hutan mengambil satu pelepah pokok buluh yang berwarna keemasan. Dia suruh ayah simpan di dalam balang kaca yang dibungkus dengan kain kuning dan hitam sebanyak tujuh lapisan masing-masing. Dan lepas ayah buat apa yang nenek kamu suruh, ayah boleh mengubat orang. Sejak kamu hilang, ayah dah berhenti mengubat orang. Ayah terkilan, ayah boleh mengubat orang, ayah boleh cari anak orang yang hilang, tapi ayah gagal mencari anak ayah sendiri, yang rupanya sesat di alam asal neneknya. Ustaz Rusli pun menasihatkan ayah untuk berhenti menggunakan kelebihan itu. Kerana risau selagi ia digunakan, selagi itu keluarga nenek kamu di alam sana dapat mencari warisnya di sini. Sebab tu mereka dapat jumpa kamu walaupun kamu di KL sana,” kata ayah.

“Mana pelepah buluh tu ayah?” aku tanya.

“Kamu nak buat apa?” ayah tanya balik.

“Kenapa ayah tak pulangkan semula ke tempat ayah mengambilnya?” aku bertanya. Aku tertarik dengan pelepas buluh itu sebab cara penyimpanannya sama seperti cara penyimpanan sarung keris yang ada pada aku sekarang ni.

“Ayah takdelah terfikir nak hantar semula ke tempatnya.” Kata ayah aku.

“Boleh Mira tengok?” aku tanya.

Ayah aku bangun dan membawa bersamanya satu bungkusan lalu diletakkan dihadapan aku. Entahlah kenapa aku tertarik sangat dengan bungkusan itu. Aku membukanya selapisan demi lapisan dan akhirnya aku nampak sebilah keris emas kecil di dalam botol kaca. Berkerut dahi ayah aku melihatnya.

“Sejak bila dia bertukar menjadi keris?” ayah aku bertanya. Aku tak jawab sebab aku tiada jawapannya.

“Mira ambil keris ni ye ayah,” aku minta izin.

“Kamu nak buat apa? Jangan main-main, ini bukan benda biasa-biasa ni. Kamu dah hilang, takkan tak serik lagi dah sesat ke alam sana. Jangan cari pasal,” mak aku yang dari tadi diam, terus bersuara.

“Ambillah, ayah tahu kamu tahu apa yang patut kamu buat. Kamu ada sarungnya, kan?” kata ayah. Aku tersentak, macammana ayah tahu.

“Kita dari keturunan yang sama. Kalau kamu mampu pulangkan semula, pulangkanlah. Ayah taknak benda ni terus-terusan mengganggu kita.” Kata ayah.

Aku membungkus semula botol tersebut dan membawanya bersama aku masuk ke dalam bilik aku. Aku letakkan botol tu di atas meja. Aku buka laci almari aku dan ambil sarung keris yang Pak Salleh bagi aku. Aku buka balutan sarung keris tu. Ternyata sarung keris yang Pak Salleh bagi aku, adalah sarung kepada keris yang ayah aku dapat dari pokok buluh tu. Lalu aku satukan keris dengan sarungnya dan aku bungkuskannya kembali dengan tujuh lapisan kain kuning dan hitam. Aku simpan kembali keris tersebut.

Setelah sebulan aku berehat di rumah, aku minta izin dari mak dan ayah untuk kembali ke universiti. Dah lama aku tinggalkan pengajian aku, empat bulan lebih kot. Aku terpaksa mengulang beberapa subjek. Kalau aku Tangguh lagi, lagi banyak subjek yang aku perlu ulang.

Selepas tiga hari aku di universiti, ketika aku sedang duduk sendirian di bawah pokok di tepi hostel, aku dengar bunyi orang batuk. Aku menoleh. Aku nampak seorang lelaki muda yang sangat menawan. Belum pernah aku menemui pemuda sekacak itu di alam aku ni. Mata aku tak berkelip memandangnya.

“Assalamualaikum.” tegur lelaki itu. Suaranya amat merdu dan beralun, macam orang baca Al-Quran dengan makhrajnya.

“Waalaikumussalam. Nak cari siapa?” aku menjawab. Memang mata aku tak lepas dari memandangnya. Tak puas mata ni menatapnya. Hati aku betul-betul cair memandangnya.

“Saya cari awak,” katanya lagi.

“Cari saya? Siapa awak ni? Saya tak kenal,” aku menyahut, masih tak berkelip mata memandangnya.

“Awak tak kenal saya, tapi saya kenal awak.” kata lelaki itu lagi. Senyumannya sangat manis. Aduhai. Aku tak pernah bercinta, inilah yang orang kata cinta pandang pertama agaknya.

“Kalau awak kenal saya, apa nama saya?” aku cuba menduga.

“Nama awak Siti Amira.” Lelaki itu menyahut. Terkejut juga aku, tepat dia sebut nama aku, takkan nak minta binti sekali, dah boleh nikah tu. Hehehe….

“Tapi saya tak kenal awak. Mungkin awak silap orang,” sahutku masih jual mahal walau hati dah tergoda. Biarlah dia silap orang, asal aku boleh mengenalinya lebih dekat. Aku terus menatap wajah lelaki itu. Aku betul-betul jatuh cinta padanya. Jantung aku laju, berdebar dan rasa berada di awangan. Hebat penangan cinta ni rupanya.

“Saya tak silap orang. Saya datang nak tuntut barang saya yang berada dalam simpanan awak.” Kata lelaki itu lagi. Aku kerutkan dahi.

“Barang? Barang apa? Kita tak pernah bertemu, macammana pula barang awak ada pada saya?” aku bertanya lagi.

“Barang yang awak dapat dari alam satu lagi,” jawab lelaki itu. Dan masa tu mulut aku terlopong. Lama juga aku terlopong begitu.

“Apa bukti barang itu milik awak?” aku bertanya nak tahu kesahihannya.

“Barang itu boleh disatukan dengan barang milik nenek awak yang bernama Haisa. Barang itu adalah kunci untuk membuka pintu paksi antara alam saya dan alam awak.” Kata lelaki itu. Dan aku terus terlopong. ‘Inikah pemilik kunci yang dikatakan oleh Pak Salleh dulu?’

“Cukupkah bukti yang saya berikan itu?” lelaki itu bertanya setelah lama aku terlopong sambil memandangnya tanpa berkelip mata. Aku termalu sendiri, lalau menutup mulut yang ternganga. Cuba mengawal perasaan.

“Maksudnya, awaklah yang baling sarung keris tu keluar dari pintu paksi masa saya tersesat di sana?” aku tanya.

“Ya, saya yang baling. Sebab saya tahu awak tak sempat masuk,” kata lelaki itu lagi.

“Jadi awaklah yang selamatkan saya?” aku tanya lagi.

“Allah yang selamatkan awak. Saya cuma menjadi pengantara sahaja,” kata lelaki itu lagi. Makin aku jatuh cinta padanya.

“Saya tiada masa yang banyak di sini. Boleh saya dapatkan barang saya semula?” lelaki itu bertanya dengan penuh sopan. Aku pula rasa malu.

“Sekejap saya ambil dari bilik saya,” kataku lalu berlari ke bilik aku dan mengambil barang tersebut. Sempat juga aku mengintai lelaki itu dari tingkap bilik. Hensem betul.

“Siapa tu Mira?” Zaimah tanya bila dia nampak aku terintai-intai dari tingkap.

“Entah, aku tak tahu.” Aku terkejut dengan kehadiran Zaimah. Dan aku pun tak tahu macammana nak jelaskan siapa lelaki itu.

“Hensem betul,” kata Zaimah. Aku tak pedulikan Zaimah. Aku terus pergi kepada lelaki itu semula.

“Nah, ini barang awak. Dan saya bagi semula barang nenek saya, Haisa,” kataku terus memandang lelaki itu.

“Terima kasih kerana menjaga barang saya baik-baik. Minta maaf juga di atas kesulitan awak ketika berada di alam saya. Harap boleh maafkan ayah saya,” kata lelaki itu sambil berlalu pergi.

“Sekejap, siapa ayah awak?” aku bertanya.

“Pak Maliki,” sahut lelaki itu.

“Dan awak?” aku kaget, hatiku makin berdebar-debar.

“Saya adalah lelaki yang awak tolak untuk dinikahi. Awak tinggalkan saya pada malam perkahwinan kita. Bahkan saya pula yang membantu awak untuk pergi,” lelaki itu berkata sambil membelakangkan aku dan melangkah untuk pergi.

“Awak Rafi?” aku tanya.

“Ya saya Rafi. Saya pergi dulu. Assalamualaikum,” kata lelaki itu lalu hilang disebalik hutan.

Dan untuk ke sekian kalinya, aku terlopong lagi. “Waalaikumussalam” sahutku perlahan masih memandang ke arah hutan dengan harapan dapat memandangnya lagi.

Aduh, sakitnya hati aku, bagai dirobek-robek sembilu. Kalaulah aku tahu Rafi itu adalah begini orangnya, mungkin aku tak balik semula ke alam aku. Atau mungkin aku pujuk Rafi balik ke alam aku.

Baru sekarang aku tahu, cinta itu apa sebenarnya. Cinta itu amat sakit bila dipaksa, amat indah bila dapat cinta orang yang kita suka, tapi rupanya paling sakit bila cinta itu adalah dengan rela tapi tak dapat bersama.

– T A M A T –

One thought on “DENDAM

Leave a comment