MERTUA

Bab 7

Sehingga Subuh, tiada perkara yang tak diigini terjadi. Ayah dan Pak Anjang pun tidur kat ruang tamu, tak tidur kat beranda.

Masa mereka bersarapan, aku dengar suara mereka berbual di dapur.

“Saya minta maaf sangat kalau dah kecilkan hati Cik Yah. Saya terpaksa bawa Mirza balik berpantang kat rumah saya. Sebab sekarang dia tak kuat, semangat masih lemah. Nanti dah selesai semua masalah keluarga Cik Yah, kami hantar Mirza balik semula ke sini sekali dengan Izzuddin ya,” kata mak aku dengan nada serba salah sebab terpaksa bawa aku balik ke rumah mak aku.

“Eh, takpe. Jangan minta maaf, takde salah apapun. Saya pun patut minta maaf sebab semua keadaan ni berpunca dari keluarga saya. Bawalah Mirza dan Izzuddin balik dulu, itulah yang terbaik. Saya pun tak tahu apa akan berlaku seterusnya kat rumah ni. Harap-harap dapatlah diselesaikan. Nanti saya panggil anak-anak lelaki saya balik, kami bincang untuk selesaikan perkara ni,” kata mak mertua aku pula, sebak.

“In Shaa Allah, boleh diselesaikan kalau betul caranya. Takde yang kekal selain Allah,” kata Pak Anjang perlahan.

Maka, aku pun dengan hati yang tenang, ikut mak ayah aku balik kampung. Mak mertua aku tak putus-putus menasihatkan aku jaga diri, jaga pantang, jaga Izzuddin. Menitis juga air mata tuanya, namun cuba dikawal. Azhar pun macam tu, dia janji akan selesaikan hal berkaitan keluarganya secepat mungkin. Dia minta maaf sebab tak banyak masa bersama aku ketika aku sarat nak melahirkan.

Perjalanan dari rumah mak mertua aku ke rumah mak aku ambil masa tiga jam. Mujurlah Izzuddin tak banyak ragam. Sesekali dia merengek, disuap susu, diamlah dia. Mak dan ayah pun tak banyak cakap semasa dalam kereta. Kalau bercakap pun, tiada yang berkaitan dengan kejadian di rumah mak mertua aku. Mula-mula mak aku nak tanya juga, tapi ayah aku berdehem sebagai isyarat jangan dibuka kisah tersebut. Maka hasrat mak aku terus terbantut.

Sampai kat rumah mak aku, dah pukul 5 petang. Hari mendung nak hujan.

“Cepat masuk rumah. Kamu tak boleh kena hujan, nanti bentan,” kata mak sambil dukung Izzuddin dan bawanya masuk ke dalam rumah. Ayah aku pula angkat semua barang-barang aku.

Aisyah dan Amir berlarian keluar dari rumah sebaik sahaja kereta ayah aku masuk ke perkarangan rumah. Excited nak tengok anak saudara yang baru berusia dua hari.

“Eh, jangan dikerumun Izzuddin tu. Tak elok. Dia kecil sangat lagi.” Mak aku tegur adik-adik aku. Aisyah sedang praktikal di sebuah klinik swasta, dia ambil jurusan jururawat. Amir pula masih belajar di tahun kedua jurusan kejuruteraan teknikal di sebuah universiti awam. Sekarang sedang cuti semester.

“Mak kata pergi tengok Kak Lang je, tak bawa balik.” Kata Amir. Iyelah, bukan dalam perancangan pun aku balik ke rumah mak aku.

Memang kami adik beradik diajar memanggil ikut pangkat. Abanglong, KakNgah, aku Kak Lang, Aisyah Kak Chik dan Amir yang bongsu kami panggil Acu.

“Adalah halnya. Biar mak je jaga Kak Lang. Ini kan anak sulung dia,” sahut mak aku, masih membetulkan tempat baring aku dan Izzuddin.

“Biarlah Kak Lang kat sini. Seronok sikit. Lagipun lama dah Kak Lang tak balik sini, sekali balik, bawa anak,” kata Aisyah.

“Aisyah, pergi jerang air. Kak Lang nak mandi. Dia kena mandi air panas,” kata mak aku.

“Wah, layanan VVIP,” Aisyah mengusik aku. Aku jelirkan lidah kat dia. Sesekali dapat layanan VVIP, apa salahnya.

Menjelang maghrib, ayah dan Amir ke masjid untuk berjemaah. Aisyah bersiap sebab dia bekerja di syif malam. Lepas solat nanti dia keluar la. Mak aku pula, tadi dia dah mandikan anak aku, siapkan semua keperluan aku. Lepas tu dia pun bersiap untuk solat maghrib. Aku dan Izzuddin berada di dalam bilik tetamu.

Tengah aku bertungku, pintu bilik ditolak dari luar. Aku tunggu juga nak tengok siapa yang tolak pintu bilik aku. Tiada siapa masuk.

“Mak?” tiada sahutan. Aku pun diam.

Sekali lagi pintu bilik aku ditarik dan ditolak dari luar. Takkan angin kot.

“Kak Chik?” aku panggil Aisyah. Pun tiada sahutan. Aku mula rasa lain macam.

Aku letakkan batu tungku di tepi tilam. Aku bangun perlahan-lahan menuju ke pintu. Tiada siapa di muka pintu. Aku jenguk keluar bilik, kosong. Tiada sesiapa. Mak aku dan Aisyah sedang solat maghrib di bilik masing-masing, aku rasa.

Aku melangkah kembali ke katil aku dan duduk. Belum sempat aku berbaring, pintu bilik tu kembali ditolak. Dan aku menoleh, aku nampak seseorang yang amat aku kenali.

“Mak?” aku terkejut bila nampak mak mertua aku berdiri di tengah pintu bilik. Badan aku mula rasa lain macam, kaki aku menggeletar. Aku mula berpeluh dingin.

Mak mertua aku bergerak perlahan menuju ke arah aku yang kaku. Aku hanya mampu melihat, tak mampu menjerit. Susuk tubuh dan rupa itu, memang saling tak tumpah adalah mak mertua aku. Tapi aku tahu, itu bukan dia. Itu bukan dia. Macammana mak mertua aku boleh sampai ke rumah mak aku kalau tiada siapa yang membawanya.

“Dia milik aku. Dia milik aku,” kata mak mertua aku tapi itu bukan suaranya suara itu agak garau. Jelmaan itu berjalan mengelilingi aku dengan matanya menjeling ke arah aku, seakan marah pun ada.

Aku masih kaku. Berat kaki aku nak diangkat. Masa ni memang perut aku seperti berpusing-pusing, seakan di ramas dengan sesuatu yang tajam. Penglihatan aku berbayang-bayang, tak boleh melihat dengan tepat. Tapi aku nampak jelmaan mak mertua aku bergerak ke arah Izzuddin yang sedang tidur, menciumnya berkali-kali dengan bunyi air liur yang dihirup.

Aku kuatkan semangat. Baca Al-Fatihah walau tunggang langgang. Aku angkat kaki walaupun berat. Aku merapati Izzuddin. Aku angkat anak aku. Jelmaan mak mertua aku memandang. Aku perasan, setelah banyak kali aku bertemu dengan jelmaan tu, dia tak berani sentuh aku. Dia hanya memandang dan menjeling yang membuatkan aku takut.

Demi anak, aku kuatkan hati. Jelmaan itu tak mampu berbuat apa-apa kepada aku. Tapi aku tak pasti jika dia mampu lakukan apa-apa kepada Izzuddin.

Aku angkat Izzuddin, lalu melangkah keluar bilik. Jelmaan mak mertua aku merangkak di belakang aku, mengikuti langkah aku. Ya Allah! Aku betul-betul rasa tak mampu. Tapi kuatkan hati. Aku pegang Izzuddin dengan kuat. Aku cuba melangkah. Jelmaan itu terus merangkak mengikut setiap langkah aku yang perlahan tak berdaya.

Belum sempat aku sampai ke pintu, daun pintu terbuka sendiri dan masa ni tangan aku lemah longlai. Izzuddin terlepas dari tangan aku. Mujur mak aku sempat sambut.

“Ya Allah, Mirza. Kamu buat apa ni? Kenapa kamu lepaskan anak kamu ni? Kamu nak ke mana? Kan mak dah cakap, duduk saja di sini. Nak apa-apa, panggil mak atau adik-adik kamu,” mak aku membebel sambil membelek Izzuddin. Aku masih tergamam, hanya mampu melihat mak aku dengan mata terbeliak. Aku menggeletar, menoleh ke belakang tetapi tiada siapa di situ.

Aku tunjukkan ke arah tempat mak mertua aku menjelma tadi, tapi aku tak mampu bersuara. Hanya keluar angin dari kerongkong. Mak aku jerit memanggil Aisyah, dia belum pergi kerja agaknya.

“Aisyah, tengok Kak Lang kamu ni kejap. Dia macam tak berapa sihat ni. Tadi dia jatuhkan anak dia.” Kata mak aku yang masih memangku Izzuddin di tangannya.

Aisyah yang telah lengkap berpakaian jururawat memegang aku, dia papah aku dan duduk semula di katil. “Kak Lang, kenapa ni?” Aisyah tanya aku sambil memegang nadi di tangan. Dia mengelap dahi aku yang berpeluh.

“Ya Allah, bahaya ni. Dia dalam pantang, risau bentan nanti jadi meroyan,” kata mak dengan wajah risau.

“Mak jangan risau mak. Mak bawa Izzuddin keluar dulu. Mak jangan cakap macam tu, doa yang baik-baik. Kak Lang takde apa ni,” kata Aisyah tak begitu gemar bila mak aku bercakap macam tu.


Mak aku keluar dari bilik, tapi dia masih berdiri di pintu bilik menjenguk aku. Dia sangat risau.

“Kak Lang, kenapa ni? Jantung berdegup laju ni. Kak Lang rasa nak pitam ke? Atau ada rasa nak muntah?” Aisyah tanya aku. Entahlah kenapa mulut aku macam terkunci. Setiap aku aku nak bercakap, hanya angin yang keluar dari kerongkong aku. Tiada suara.

“Kak Lang, kita pergi hospital ye. Mungkin ada silap kat mana-mana,” kata Aisyah. Aku gelengkan kepala.

“Kak Lang makan tak ubat yang hospital bagi?” Aisyah tanya aku. Aku anggukkan kepala.

“Kak Lang jangan makan apa-apa ubat herba lagi. Makan ubat doktor je. Ubat lain-lain tu, tunggu sampai sebulan ke atas. Sebab takut badan Kak Lang tak tahan. Ubat herba ni panas,” kata Aisyah lagi, membebel sambil mengelap dahi dan tangan aku dengan tuala panas.

Seketika kemudian, aku dengar ayah aku bagi salam. Dan dengar juga suara mak aku tergopoh-gopoh bercerita dengan ayah aku. Ayah aku menjenguk ke dalam bilik, Amir pun begitu.

“Kenapa ni?” ayah aku tanya.

“Jantungnya laju. Dia nak bercakap tapi suara tak keluar. Badannya sejuk tapi dia berpeluh.” Kata Aisyah mengadu.

Ayah aku merapati aku, lalu memegang dahi aku. Lepas tu ayah pandang keliling.


“Tadi dia sendirian ke?” ayah aku bertanya. Mak dan Aisyah angguk kepala.

“Sebelum ditinggalkan sendirian, dia ok ke?” ayah aku tanya lagi.

“Tadi ok je. Saya pun pergilah solat maghrib, Aisyah pula dia nak bersiap, nak masuk kerja syif malam,” mak aku menjawab sambil mengendoi Izzuddin yang mula merengek di dalam dukungannya.

“Dia bukan kena sawan ke?” ayah aku tanya Aisyah.

“Takde tanda sawan sebab urat dia takde yang tegang atau bersimpul. Tapi tu lah, kena jumpa doktor macam ni.” Kata Aisyah risau.

Ayah membacakan Al-FAtihah, lalu mengusapkan ke muka aku dari kepala turun ke dagu. Masa ni baru aku rasa dapat bernafas dengan elok. Dan aku macam rasa baru terlepas dari sesuatu yang mengikat aku. Aku boleh gerakkan tubuh aku seperti biasa. Aku bangun duduk. Mak aku nak masuk ke bilik, tapi ayah aku tahan, suruh mak aku bawa Izzuddin keluar dari bilik.

Ayah aku pegang kelopak mata aku lalu ditarik ke bawah. Dah macam doktor aku tengok. Lepas tengok kelopak mata bawah, ayah aku tengok kelopak mata atas pula. Wajah tuanya berubah sedikit.

“Kamu nampak apa tadi?” Ayah aku tanya seperti mengesyaki sesuatu.

– Bersambung –

2 thoughts on “MERTUA

Leave a comment