DENDAM

Bab 13

Aku terus mengikut langkah Pak Salleh. Kami berjalan melalui beberapa anak sungai. Sesekali aku pandang keliling. Kenapa macam jauh sangat kami berjalan sedangkan pintu paksi yang Suraya tunjuk kat aku tadi takdelah jauh sangat.

“Memanglah terasa jauh sebab masa dengan Suraya kamu berjalan atas angin. Tapi sekarang kamu berjalan di atas tanah,” tiba-tiba Pak Salleh bersuara seperti menjawab persoalan di dalam hati aku. Aku tersentak, macammana dia boleh dengar apa yang berbisik dalam hati aku.

“Boleh ke orang jalan atas angin?” aku tanya.

“Kalau Allah izinkan, semuanya boleh,” sahut Pak Salleh.

“Saya tanya sikit boleh?” aku tanya.

“Apa dia? Tanyalah,” kata Pak Salleh terus berjalan di hadapan aku.

“Pakcik ni siapa? Macammana boleh cari saya di sini?” terluah soalan yang aku ingin tanya sejak mula tadi.

“Mak ayah kamu minta tolong pakcik carikan kamu. Sebab kamu hilang di hostel masa pelajar lain sedang histeria,” kata Pak Salleh.

“Mak ayah saya datang cari saya di hostel?” aku tanya.

“Iyelah, dah kamu hilang. Pihak universiti hubungilah mak ayah kamu. Mereka dah buat report polis semua. Tapi tak jumpa kesan. Lepas tiga bulan, semua orang dah mula putus asa. Solat ghaib pun dah dibuat untuk kamu. Tapi mak ayah kamu tak putus asa. Mereka minta pakcik tolong. Masa pakcik tengok-tengokkan kamu di dalam hutan belakang hostel kamu, ada kawan lama pakcik dari tempat ni bagitahu pakcik, ada orang dari tempat pakcik sesat kat sini. Itu yang pakcik cuba cari kat sini. Alhamdulillah, pakcik jumpa kamu kat sini,” kata Pak Salleh bercerita tanpa selindung.

“Kawan lama?” aku tanya.

“Iye, kawan lama pakcik tinggal kat sini,” sahut Pak Salleh.

“Tapi pakcik, tempat ni lain macam sikit. Macam zaman purbakala. Lepas tu entah lah, binatang besar-besar, boleh bercakap. Orang jadi burung. Nak keluar dari sini pun ada waktunya, tak boleh keluar macam tu je. Kadang saya rasa macam saya dah gila. Saya gila ke pakcik?” aku tanya.

“Takdelah kamu gila. Kamu dah masuk salah tempat ni.” Kata Pak Salleh.

“Tapi bukan saya yang nak masuk sini. Ada kejadian kat hostel. Entahlah macammana saya boleh sampai sini. Nak ceritakan pun, saya tak berapa faham. Lagi pulak pakcik kata saya dah hilang 3 bulan sedangkan saya baru je berada di sini 3 hari kot,” aku masih kurang pasti dan kurang faham dengan situasi sekarang.

“Tempat ni alam satu lagi. Bukan alam kita. Ada banyak alam yang kita tak nampak dengan mata kasar. Salah satunya alam jin. Keturunan kamu yang terdahulu ada berhubungan dengan makhluk dari alam sini. Dan sesuatu yang buruk telah berlaku, lalu menjadi dendam. Di tempat kita, kisah ni mungkin dah beratus tahun berlalu tapi di sini perkara tersebut mungkin baru setahun berlaku.” Kata Pak Salleh.

“Saya tak faham,” aku menjawab sambil mengerutkan dahi.

“Alhamdulillah, kita dah sampai tempat kita,” kata Pak Salleh. Masa ni baru aku perasan, aku berada di dalam hutan belakang hostel.

“Eh, bila masa kita sampai sini? Bukan ke tadi kita kat sana. Maknanya selama ni saya berada di dalam hutan ni je la ye? Kat mana air terjun tu?” aku tanya sambil memandang keliling. Hari cerah sedangkan tadi kami dalam kegelapan. Seperti malam dah bertukar menjadi siang. Aku terlalu asyik bertanya sambil memikir segala cerita Pak Salleh, sampai aku tak sedar kami dah sampai situ, dan tak perasan malam dan jadi siang.

“Di mata kasar orang di sini, kamu berada di dalam hutan ni tapi mereka tak nampak kamu. Bagi mata halus orang sebelah sana, kamu berada di alam mereka.” Kata Pak Salleh.

“Tadi bukan malam ke?” aku tanya lagi tak puas hati.

“Di alam sana malam, di alam kita siang. Begitulah sebaliknya,” kata Pak Salleh tersenyum memandang aku.

“Mana pintu paksi tu?” aku tanya lagi.

“Pakcik dah tutup. Tiada siapa akan melaluinya selain dari orang yang memberi pakcik kunci pintu paksi tu,” kata Pak Salleh.

“Siapa?” aku tanya.

“Jangan risau, dia akan cari kamu untuk ambil kunci tu,” kata Pak Salleh.

“Saya tak pegang apa-apa kunci pun. Saya tak kenal siapa tuan kunci tu,” sahutku.

“Ini kuncinya. Kamu simpan baik-baik. Akan sampai satu masa yang sesuai, dia akan datang menuntut kunci ni dari kamu,” kata Pak Salleh sambil menghulurkan kepada aku satu sarung kering berwarna perak.

“Pakcik je la simpan. Pakcik je serahkan kepada dia nanti. Saya taknak terlibat dah. Lagipun saya tak kenal sesiapa dari sana. Semuanya nampak keliru,” kataku.

“Jangan risau, walau kamu tak kenal dia, tapi dia kenal kamu. Dia hanya akan cari kamu untuk ambil kunci ni. Dia dah selamatkan nyawa kamu. Dia tahu pintu paksi tu akan tertutup sebelum kamu sempat masuk ke dalamnya. Maka dia membaling kunci ini melalui pintu itu supaya pakcik boleh masuk melaluinya walaupun bukan di masa paksi dua alam bertembung. Kamu perlu berterima kasih kepadanya,” kata Pak Salleh.

Aku diam. Baru aku ingat, memang aku ada nampak seperti sesuatu dibaling masuk ke dalam pintu paksi tu sebelum pintu paksi tu tertutup. Tapi aku tak perasan apa objek itu dan tak nampak siapa yang membalingnya, sebab aku masih melihat Suraya yang terkulai lemah di dalam cengkaman burung besar. Tiba-tiba hati aku sebak. Suraya mati sebab nak selamatkan aku. Dia berkorban untuk aku.

“Ambil sarung keris ni. Bungkuskan ia dengan kain kuning dan hitam tujuh lapisan masing-masing, Simpan di tempat yang tertutup. Jangan bagi hilang sebab ia hak orang lain. Berikan kepadanya apabila dia datang menuntut kelak,” kata Pak Salleh sambil menyerahkan sarung keris itu kepada aku.

“Dan paling penting, jangan bagi sesiapa tahu tentang sarung keris ni walaupun keluarga kamu,” Kata Pak Salleh.

Aku ambil sarung keris itu sambil mengerutkan dahi dan menggaru kepala yang tak gatal. Sarung keris tu kecil je. Aku masukkan ke dalam poket seluar yang sedang aku pakai. Masa ni baru aku dapat hidu bau baju dan badan aku yang hamis. Busuk dan kotor. Dan perut aku tak semena-mena rasa tak selesa.

Uwekkkkk! Aku muntah di situ. Melompat aku bila melihat apa yang keluar dari mulut aku. Cacing dan serangga yang masih bergerak dan hidup bersama dengan lendir berwarna hitam pekat yang berbau busuk.

“Saya muntahkan apa ni?” aku tanya sambil menahan geli melihat muntah aku sendiri.

“Badan kamu dah mula menolak benda asing yang tak sepatutnya berada dalam tubuh kamu. Itu petanda baik. Terlalu banyak makanan kotor yang kamu makan sepanjang berada di alam sana.” Kata Pak Salleh.

“Tapi saya tak makan benda kotor. Saya makan makanan yang sama macam selalu kita makan kat sini. Nasi, gulai, ayam, ikan, pisang, buah. Takde benda kotor pun,” kataku sambil masih menahan sisa-sisa mual di mulut dan perut.

“Itu apa yang kamu nampak, bukan apa yang sebenarnya. Mata dan minda kamu dah dimanipulasi,” kata Pak Salleh.

Aku diam. Ada betulnya juga apa yang Pak Salleh cakap. Kalau tak, takkanlah aku nampak mak ayah dan adik-adik aku kat sana.

“Dah, jangan fikirkan sangat. Makin fikir, makin kusut jadinya nanti. Bersyukurlah banyak-banyak sebab Allah izinkan kamu balik ke sini semula. Jom kita ke hostel kamu, mak dan ayah kamu menunggu di sana,” kata Pak Salleh.

Aku menurut. Lebih kurang lima minit berjalan, kami sampai di hostel. Sebaik aku keluar dari hutan belakang hostel, tak sempat lagi aku melihat keadaan keliling, aku dengar suara jeritan seorang wanita yang amat aku kenali. Suara mak aku! Aku nampak mak aku berlari sambil menangis dan menjerit memanggil nama aku. Sampai terjatuh-jatuh mak aku tapi masih teruskan berlari mendapatkan aku. Aku pula masih terbayang-bayangkan ‘mak’ aku menjadi burung besar dan terperangkap di dalam api yang membara.

Mak aku terus peluk aku. Aku tolak sikit mak aku sebab badan aku kotor. Mak aku terus peluk aku sambil menangis mendayu-dayu. “Allahu Akbar. Alhamdulillah syukur ya Allah,” aku dengar suara ayah aku dan aku nampak ayah aku bersujud syukur tak jauh dari tempat aku berdiri.

Suasana hiba tapi aku tak menangis. Mak aku pandang aku. Aku pun pandang mak aku. Aku rasa lain macam. Sebab aku masih tak boleh lupakan ‘mak’ aku yang satu lagi.

“Mira, ni mak. Kamu tak ingat mak ke?” Mak aku tanya. Aku hanya anggukkan kepala dan menoleh memandang Pak Salleh. Antara nak percaya dengan tak percaya.

“Dia dah lama di sana. Kena pulihkan semangat dan tubuhnya, rohani dan jasmani. Bawa dia balik ke rumah, banyakkan bacaan Al-Quran. Dia tak apa-apa, In Shaa Allah. Cuma perlukan masa untuk dia kembali sihat dalaman dan luaran,” kata Pak Salleh.

Mak dan ayah aku memimpin tangan aku. Kami berjalan ke hostel.

“Mira, syukurlah kau selamat. Kami risaukan kau,” aku nampak Zaimah, Rosnah, Zalikha, Liza, Noni dan beberapa siswa lain. Aku juga nampak Ustaz Alias, Ustazah Asma dan beberapa pensyarah universiti, masing-masing mengucap syukur.

Aku macam kehilangan kata-kata. Sekarang baru aku rasa macam dah lama aku tinggalkan mereka. Rasa malu mereka melihat aku dalam keadaan comot dan busuk begitu walaupun Pak Salleh dah beri aku sehelai kain besar untuk menutup tubuh aku.

“Encik dan Puan boleh bawa Siti Amira balik dulu. Setelah dia pulih semula, dia boleh masuk ke universiti ini, bila-bila masa sahaja. Pihak universiti mengalu-alukan kehadiran Siti Amira ke universiti ini semula,” kata Prof Mustafa kepada ayah aku.

Dua jam lebih diambil untuk aku sampai ke rumah aku. Aku tak banyak bercakap, hanya memandang keluar. Beberapa kali mak tanya soalan kepada aku, aku jawab acuh tak acuh je. Sebab aku rasa masih keliru, aku di dunia nyata atau aku masih di dunia lain?

Sampai di rumah, Farid, Firdaus dan Azimah berlarian memeluk aku. Aku cuba tepis mereka tapi hati aku tak kuat. Aku rasa rindu kepada mereka walaupun aku masih keliru. Azimah menangis tersedu sedan.

“Kami yakin, kakak masih hidup. Kami berdoa siang malam agar dapat berjumpa kakak semula.” Kata Firdaus. Aku hanya memandang mereka. Wajah ‘adik-adik’ aku di alam sana saling tak tumpah dengan adik-adik aku di sini. Membuatkan aku risau untuk percayakan semua ni.

“Bagi kakak rehat dulu. Kakak penat tu. Esok ustaz Rusli datang tengokkan kakak. Nanti kakak dah betul-betul sembuh, barulah boleh ajak kakak sembang ye. Sabar, bagi kakak ruang.” Kata mak memujuk adik-adik aku.

Adik-adik aku akur. Mereka meleraikan pelukan mereka dan bergerak jauh sedikit dari aku. Mak bawa aku masuk bilik air. Mak dudukkan aku di atas kerusi. Ada satu besen besar dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga berwarna warni direndam di dalam besen besar tu. Mak aku menjirus aku perlahan-lahan bermula dari hujung jari kaki hingga ke atas kepala. Aku dengar mak aku berselawat di sepanjang masa dia menjirus aku dengan air bunga tersebut.

Selesai mandi, aku dengar bunyi azan. Lama dah rasanya aku tak dengar bunyi azan. Aku macam tercari-cari bunyi azan itu datang dari mana.

“Dah masuk waktu Asar. Jom kita solat. Mira dah mandi, dah wangi, dah bersih. Ambillah wudhu, kita solat sama-sama ye,” kata mak aku. Dan masa ni, hati aku rasa tenang, betul-betul tenang. Aku pandang muka mak aku. Mak aku senyum tapi ada riak sedih dalam matanya, menahan air yang bertakung dalam kelopak mata.

Aku peluk mak aku. “Mak!” aku panggil. Mak aku dah tak dapat tahan air matanya dari tumpah sekali lagi. Ayah aku muncul dari pintu dapur, menghampiri aku dan mak aku yang sedang berpelukan dan bertangisan.

Aku lepaskan pelukan mak aku. Aku peluk ayah aku. “Ayah!” dan gugur juga air mata lelaki dari kelopak mata ayah aku.

“Alhamdulillah, kamu dipelihara Allah sebaik-baiknya.” Aku dengar suara ayah aku dalam getarnya. Aku diam. Aku bersyukur, aku dah balik ke tempat yang sepatutnya aku berada.

– Bersambung –

One thought on “DENDAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s