DENDAM

Bab 10

“Mira, ini aku. Suraya.” Aku dengar suara Suraya dari sebalik dinding buluh.

“Ya, Sue. Kau nak apa?” aku tanya.

“Mira, aku boleh tolong kau balik ke tempat asal kau. Tapi kau kena cepat.” Aku dengar lagi suara Suraya. Aku berdiri, agak terperanjat dengan kata-kata Suraya tu.

“Jadi, kau percaya aku sesat di sini? Kau percaya kata-kata aku bahawa mereka ni bukan keluarga aku?” aku tanya lagi. Bukannya apa, aku takut aku diperdaya.

“Aku tahu. Kau dari tempat yang siangnya gelap dan malamnya cerah.” Sekali lagi Suraya cakap macam tu. Aku betul-betul tak faham apa maksud dia.

“Macammana kau nak tolong aku balik ke tempat asal aku?” aku tanya Suraya.

“Aku boleh tunjukkan jalan untuk ke tempat asal kau. Tapi kau kena lalu pintu di mana paksi dunia kau dan dunia aku berselisih bertukar siang dan malam. Dan paksi itu akan bertembung ketika bulan beralih alam. Masa tu, tempat kau menjadi siang dan tempat aku menjadi malam. Kalau kau tak pergi malam ni, kau kena tunggu malam esok pula. Dan aku tak pasti apa akan jadi untuk tempoh sehingga malam esok. Sebab aku dengar persiapan untuk perkahwinan kau dengan Rafi dah mula disediakan. Sebaik bulan beralih tapak di tempat kami, kamu berdua akan dikahwinkan. Selepas itu, kau takkan dapat balik ke tempat asal kau,” Panjang lebar Suraya menerangkan kepada aku. Tapi aku hanya faham bahagian aku akan dipaksa berkahwin tu je. Yang lain aku tak faham. Berkerut dahi aku memikirkannya.

“Mira?” Suraya panggil aku bila aku diam tak menyahut kata-katanya.

“Ya, Sue. Aku kat sini lagi. Cuma aku tak faham kau cakap apa,” sahutku.

“Dah, tak payah fikir. Kalau kau nak balik ke tempat asal kau, kau kena cepat,” kata Suraya.

“Apa aku perlu buat?” aku menyahut.

“Kau kena usaha untuk keluar dari rumah ni, sebab yang ni aku tak boleh bantu.” Sahut Suraya.

“Macammana? Aku nak keluar bilik ni pun aku tak tahu macammana. Apatah lagi aku nak keluar dari rumah ni,” sahutku sambil memandang keliling.

“Aku minta maaf bab ni, Aku tak boleh tolong untuk kau keluar dari rumah ni. Aku cuma boleh bantu kau, setelah kau keluar dari rumah ni. Itupun dalam masa yang terhad. Kalau kau lambat, aku tak mampu bantu kau. Aku pun bertaruh nyawa untuk bantu kau,” kata Suraya.

“Kau pergilah cakap kat mak aku tu, kau nak jumpa aku. Lepas tu kita lari keluar,” sahutku.

“Tak boleh Mira. Mak kau tu bukan sebarangan makhluk di dunia kami ni. Dia ada kuasa yang amat tinggi, Dan kedudukan dia pun tinggi. Kau je nampak rumah ni macam rumah buluh, tapi di mata orang-orang di sini, mak kau tinggal dalam istana. Sebab tu aku tahu kau bukan dari dunia kami,” kata Suraya masih tak berputus asa cuba menjelaskan kepada aku, yang masih tak faham.

Aku pandang keliling. Macam ni Suraya kata istana? Yang aku nampak cuma rumah buluh berlantaikan tanah.

“Mira, aku tunggu kat kat hutan seberang padang depan rumah ni. Ada satu pokok paling tinggi, dipangkal pokok itu ada terikat kain berwarna putih di salah satu rantingnya. Kedudukannya tegak dari pintu utama rumah ni. Aku tunggu di situ. Kalau kau tak datang dalam kiraan seribu, aku akan balik rumah aku. Sebab masa tu, hari sudah malam di sini. Dan pintu paksi ke dunia kau dah tertutup.” Kata Suraya.

Aku tetap tak faham. Tapi aku tahu Suraya bersungguh-sungguh nak bantu aku. Aku dapat dengar kesungguhan suaranya. Dan walau aku tak faham macammana dia nak bantu aku, tapi aku tahu Suraya dah tahu tempat asal aku. Tapi sekarang ni, aku perlu fikir, macammana aku nak keluar dari rumah ni?

Aku melangkah ke pintu bilik, Aku cuba buka tapi keadaannya sama seperti masa aku mula-mula datang ke rumah ini. Aku tak dapat pegang pun pintu bilik tu, seperti pintu tu cuma bayangan. Atau adakah aku yang merupakan bayangan di situ? Sebab aku bukan penghuni di situ. Dunia apa ni? Dari semalam Suraya asyik cakap pasal dunia aku dan dunia dia. Ada dunia lain selain dunia yang aku sedang tinggal ke?

Ahhhhh… Pening juga nak fikir ni, Takpe, nanti kemudian aku fikir. Itupun kalau aku berjaya keluar dari rumah ni. Tapi itulah, macammana nak keluar?

“Farid! Azimah! Firdaus!” aku melaung memanggil nama adik-adik aku. Itu je la yang aku boleh buat. Bukannya ada peralatan pun kat dalam bilik ni untuk aku ketuk atau bagi isyarat.

“Mak!” aku panggil lagi. Tiada sahutan.

“Ayah!” aku terus memanggil. Tiada sahutan.

Aku cuba ketuk pintu macam Suraya buat tadi. Tetapi aku seperti mengetuk bayangan. Tak berbunyi apatah lagi nak menembusi.

“Farid! Azimah! Firdaus!” aku tak putus asa. Panggil sampai sakit tekak aku.

Aku pejamkan mata. Apa aku nak buat ni? Masa berjalan. Nanti Suraya dah balik rumah dia, siapa nak tunjuk kat aku jalan pulang ke tempat aku? Aku istighfar beberapa kali. Hasbunallah wani’mal wakeel. Waman yattaqilllah ha yaj ‘allahu makhroja. Wayarzuq hu min hai sulaa yah taseeb. Waman yatawakkal alallahi fahuwa hasbuh. Innallaha baa lighu amrih. Qod ja’alallahu likullishai in qodro. Sodaqallahul ‘Azeem.

Tak semena-mena, pintu bilik terbuka. Terkejut jugak aku sekejap. Aku memandang ke pintu, menunggu siapa yang akan masuk ke bilik tu.

“Kak Mira, keluar cepat.” Aku dengar suara Farid. Tapi aku tak nampak dia.

“Farid?” aku panggil.

“Akak keluar je dari bilik tu cepat. Jangan cakap apa-apa lagi. Farid tak punya banyak masa. Mak sedang tidur, Tidur mak sepintas lalu, sekali tarikan nafas sang helang. Jadi akak tak punya banyak masa. Kak Suraya menanti. Kiraanya sudah tujuh ratus lima puluh, Bersisa dua ratus lima puluh saja lagi. Cepat,” suara Farid memberi arahan, walau aku tak nampak di mana dia.

Aku terus keluar dari bilik. Ada banyak pintu. Ah sudah. Aku nak ikut pintu mana ni?

Satu pintu dari tujuh pintu di situ, terbuka dengan sendirinya. Aku tak fikir panjang. Mungkin tu isyarat Farid untuk aku melalui pintu tersebut. Aku berlari masuk melalui pintu-pintu yang terbuka sendiri setiap kali aku masuk ke ruangan yang penuh dengan pintu. Aku tawakkal. Kalau salah juga pilihan aku, aku tahu aku dah usaha.

Akhirnya aku sampai di ruang rumah depan sekali. Dan pintu utama sedang terbuka untuk aku berlari keluar. Aku memandang keliling, cuba mencari susuk tubuh Farid atau mak aku, atau sesiapa sahaja yang berada dalam rumah tu. Namun tiada sesiapa. Cuma aku dengar bunyi nafas yang kuat dan berombak.

“Farid?” aku panggil perlahan, seakan berbisik. Tiada sahutan.

Aku terus berlari keluar. Seperti yang Suraya katakan tadi aku perlu berlari tegak dari pintu utama rumah aku. Pergi ke bawah pokok yang paling tinggi di situ, di mana terdapat kain putih yang terikat di salah satu ranting pokok tersebut. Aku tak tahulah berapa laju aku berlari, sampailah aku berjaya bertemu dengan Suraya di bawah pokok tersebut.

“Su, Terima kasih sebab percayakan aku,” aku menegur Suraya.

“Cepat, takde masa dah. Pegang bahu aku. Jangan lepas,” kata Suraya dengan wajah cemas, tak peduli dengan kata-kata aku. Aku pun menurut, dan kami mula bergerak meninggalkan tempat tu.

Aku nampak Suraya berlari seperti di atas angin, laju. Dan di bawah sedar, aku pun berlari selaju dia. Aku pun tak tahu macammana itu terjadi, tapi aku pasti, tapi dari cara angin memukul pipi aku, aku yakin kelajuan itu macam seekor kuda yang berlari pantas.

Suraya berhenti di satu tempat, di mana aku dengar bunyi air terjun. Masa ni keadaan dah makin gelap. Macam nak senja. Aku pun tak tahu dah, bila malam dan siang di tempat tu. Entahlah, makin fikir, makin pening. Aku pandang keliling, itu adalah tempat di mana aku mula-mula bertemu dengan mak aku haritu.

“Dengar cakap aku baik-baik. Atas batu besar tu nanti, akan ada satu cahaya terang. Kau masuk melalui cahaya tu.” Kata Suraya sambil menunjukkan ke arah batu besar di tengah-tengah air terjun tu.

“Kenapa aku kena ikut cahaya tu? Kau tak cuba mainkan aku kan? Selalu aku dengar masuk ikut cahaya ni, dalam cerita-cerita dongeng je,” kataku masih ragu-ragu.

“Cerita dongeng apa pula. Sebab tempat ni dah gelap, hari dah malam. Tempat kau hari nak masuk siang, mestilah cerah. Dan cahaya tu ialah cahaya matahari. Kan aku dah cakap kat kau, tempat kau malamnya cerah, sebab masa malam di tempat kau adalah siang di tempat aku. Begitu juga sebaliknya.” kata Suraya. Aku pandang dia, entah berapa kali dia dah ulang ayat tu dan aku masih tak faham.

“Kau pergi tunggu di sana dulu. Nanti cahaya tu muncul dalam kiraan tiga sahaja. Kalau kau tak sempat masuk, kau kena tunggu malam esok. Masa tu aku tak jamin aku boleh tolong kau lagi,” kata Suraya.

“Lepas aku pergi ni, aku dapat jumpa kau lagi tak?” aku bertanya.

“Kalau ada pilihan, janganlah kita berjumpa lagi,” kata Suraya.

“Kenapa?” aku tanya.

“Dah, kau pergi cepat. Masanya dah sampai,” kata Suraya sambil berpusing meninggalkan aku. Sekelip mata je dia hilang dari pandangan.

Aku terus melangkah ke arah batu besar yang berada di tengah-tengah air terjun tu. Sebaik sampai di situ, seperti yang dikatakan oleh Suraya, ada satu cahaya yang bermula dari kecil, dan menjadi semakin besar.

“Lari cepat Mira! Masuk cahaya tu!” aku dengar suara Suraya sayup. Aku menoleh. Aku nampak Suraya sedang dicengkam dan dibawa terbang oleh seekor burung helang putih yang besar yang berlegar rendah. Aku jadi serba salah. Rasa tak patut kalau aku tak bantu Suraya. Tapi peluang aku hanya ada sekarang, tak lewat sesaat, tak cepat sesaat. Kalau aku tolong Suraya, aku tak dapat balik ke tempat aku. Tak berbaloi pengorbanan Suraya.

Aku nampak seperti ada satu benda dibaling ke arah cahaya tu. Dan cahaya tu terus tertutup. Aku tak sempat masuk. Ah sudah.

– Bersambung –

One thought on “DENDAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s