ANDAI DETIK ITU TERHENTI

Bab 3

Ketika penerbangan nak bermula, seorang pramugari memberi beberapa arahan termasuk pemakaian tali pinggang dan tindakan ketika kecemasan. Cantik-cantik pramugari di dalam kapal terbang.

“Jiha, pakai tali pinggang tu. Kita nak nak terbang ni,” Isma menegur Jiha. Lalu cepat-cepat Jiha menarik tali pinggang di sisi kanan kerusinya dan menguncinya. Kapal terbang mula bergerak. Jiha memandang keluar dengan penuh teruja. Itu kali pertama dia keluar jauh dari ibunya dan itu kali pertama dia naik kapal terbang. Terlupa seketika dia kepada ibu dan adik-adiknya di rumah.

Cantik ciptaan Ilahi. Masa mula-mula kapal terbang naik ke udara, Jiha terasa juga gayatnya. Tapi sebab ini kali pertama, dia tetap memandang keluar tingkap. Dia taknak lepaskan peluang yang entah bila dia akan perolehi lagi. Telinganya terasa berdengung dan kelam seketika. Pekak rasanya. Dia teruja melihat daratan yang makin lama makin jauh hingga akhirnya yang tak nampak langsung. Jiha terus melihat ke luar tingkap kapal terbang. Nampak lautan, pantai, kawasan perumahan yang mengecil.

Telinga Jiha masih pekak. Dia memandang Isma yang duduk di sebelahnya. Kapal terbang bergoyang sikit, Jiha rasa mual. Dia menepuk peha Isma.

“Kau ok tak ni Jiha?” Isma menggosok belakang Jiha. Jiha bagi isyarat rasa dia nak muntah. Cepat-cepat Isma mengambil plastik kertas yang diletakkan di dalam poket di belakang kerusi yang dibekalkan oleh pihak syarikat penerbangan, lalu diberikan kepada Jiha. Jiha terus muntah ke dalam plastik kertas tu.

“Pejamkan mata kau sekejap. Bagi hilang pening tu dulu,” kata Ikha yang duduk di sebelah Isma. Isma menggosok-gosok belakang Jiha perlahan-lahan. Dia pun risau melihat Jiha.

“Telinga aku pekak,” Jiha bersuara perlahan.

“Ya, semua orang pun macam tu. Tekanan darah kita sebab kita naik ke tempat yang tinggi,” kata Ikha memberi semangat kepada Jiha.

“Kau minum air ni. Nanti bila kau telan air ni, telinga kau ok balik,” kata Isma sambil memberi sebotol air kosong yang dibekalkan oleh syarikat penerbangan kepada semua penumpang.

Jiha akur. Dia meneguk air dari botol minuman tersebut. Betullah apa yang Isma cakap, telinganya kembali seperti sediakala selepas dia menelan air minuman. Pening kepalanya juga makin berkurangan.

“Kau gementar sangat ni. Tadi makan ke tak sebelum datang sini?” Ikha bertanya.

“Aku tak lalu nak makan. Aku gemuruh sangat. Mana dengan fikir pasal mak aku lagi, pasal penipuan aku lagi,” sahut Jiha.

“Jiha, kau tak menipu mak kau. Kau cuma tak dapat keizinan sahaja. Selagi kau fikir macam ni, selagi tu hati kau tak tenang. Kau dah buat keputusan untuk bertindak macam ni. Teruskan dengan gerak hati kau. Kita dah terbang di awan biru. Doa yang baik-baik, minta Allah jagakan mak dan adik-adik kau selama kau tiada di sana.” Kata Isma memberi kata semangat kepada Jiha.

“Maafkan aku tau. Sebab aku korang jadi kelam kabut dan serba salah pulak. Aku yang buat keputusan untuk buat macam ni, sekarang aku susahkan hati korang pulak,” kata Jiha terasa bersalah.

“Takde apa nak minta maaf. Kami pun nak kau keluar dari keselesaan kampung. Kau perlu keluar. Tengok tempat orang, niat musafir kerana Allah. Nanti balik kau boleh ceritakan kepada adik-adik kau. Mak kau cuma risaukan kau. Dia takut pisang berbuah dua kali. Jadi, kau perlu buktikan bahawa semua tu takdir Allah, bukan sebab mak kau bawa mala petaka atau apa-apa. Kalau Allah mahukan sesuatu itu terjadi, kau kat depan mata mak kau pun boleh terjadi.” Kata Ikha.

“Dah, kau jangan fikir lagi. Kita dah kat atas awan ni. Kau pernah terfikir tak kau akan berada di paras atas awan?” Isma tanya. Jiha senyum. Lalu dia memandang semula keluar tingkap.

“Kau jangan pandang bawah. Kau pandang atas, tengok awan-awan tu,” kata Isma. Jiha akur. Dia pandang keliling. Seronok, mata terasa sejuk memandang awan.

Tiba-tiba kapal terbang bergoyang. Jiha terus pegang tangan Isma dengan muka cuak.

“Kadang-kadang, kapal terbang melanggar awan. Sebab tu kapal bergoyang sikit. Takde apa, jangan risau, ok,” sahut Isma sambil menggenggam tangan Jiha. Jiha anggukkan kepala, sambil kembali melihat keluar tingkap.

Sedang Jiha asyik memandang keluar tingkap, datang dua orang pramugari menolak troli yang penuh dengan makanan. Jiha melihat dengan penuh kekaguman. Di atas awan pun ada orang jual makanan. Betullah kata orang, kalau duit banyak, kat atas awan pun boleh makan. Hahaha.

Jiha memandang semula keluar tingkap. Dia lapar tapi dia tak bawa wang yang banyak. Jadi, belanjanya agak terhad. Di masa kawan-kawannya sedang menyebut nama menu yang mereka nak makan, Jiha terus memandang keluar. Nanti sampai sana, dia belilah roti untuk alas perut. Ain beritahu dia haritu, penerbangan akan ambil masa antara 60 ke 70 minit untuk sampai ke Bali. Sekarang pun dah 15 minit. Tak lama je lagi.

“Nah, ini kau punya,” Isma meletakkan sebungkus makanan di atas meja yang ditarik dari belakang kerusi penumpang di hadapan Jiha. Jiha terkejut, memandang Isma dan makan tu silih berganti.

“Apa yang kau pandang? Makanlah. Bukan selalu dapat makan kat atas awan ni.” Kata Isma sambil membuka plastik yang menyimpan sudu dan garfu plastik lalu menyerahkannya kepada Jiha.

“Aku takde order pun. Korang makanlah, aku kenyang lagi,” sahut Jiha.

“Kami dah order siap-siap online sebelum naik kapal terbang lagi. Kau jangan biar perut kosong, nanti masuk angin, sampai tempat orang, sakit pulak. Dah, makan je. Jangan risau, jangan fikir lagi,” kata Ikha sambil membuka makanannya.

Sebak dada Jiha. Dia membuka bungkusan makanan di hadapannya. Nasi putih bersama ayam kicap dan beberapa potong timun. Jiha pandang Isma dan Ikha yang sedang makan. Manakala Ain yang duduk di kerusi barisan sebelah mereka memandangnya sambil senyum dan bagi isyarat menyuruhnya makan nasi tersebut.

Jiha menjamah nasi di hadapannya. Sedap. Maklumlah, perutnya lapar. Habis dimakannya.

Lebih kurang dua puluh minit selepas itu, dua orang pramugari tadi berjalan membawa troli dengan tong yang pada firasat Jiha adalah tong sampah. Pramugari tersebut berjalan sambil mengambil bekas makan yang telah kosong. “Kau dah habis makan ke Jiha? Boleh buang bekas ni,” kata Isma.

“Haah, dah habis.” Sahut Jiha lalu Ikha mengambil bekas makanan Jiha yang telah kosong lalu dibuang ke dalam tong di atas troli yang ditolak oleh pramugari tadi.

Jiha terus memandang dengan penuh kagum. Seronok rupanya. Makan orang hiding, sampah orang kutip.

“Kau tidur le sekejap. Kot nak merasa tidur atas awan. Panjang perjalanan kita. Rehatkan diri. Lagi setengah jam kita sampai la,” kata Isma memberitahu Jiha. Jiha hanya anggukkan kepala.

Mata Jiha tak mengantuk. Dia mahu melihat awan sepuas-puasnya. Dia akan ceritakan semua kegembiraan ini kepada emak dan adik-adiknya sebaik dia balik nanti. Jiha terus leka memandang keluar tingkap. Sesekali kapal terbang bergoncang, tapi Jiha dah tak takut sebab Ikha dah beritahu tentang perlanggaran awan tadi. Banyak yang Jiha belajar hari ini.

Lebih kurang sepuluh minit kemudian, Jiha ternampak seperti ada sesuatu yang berwarna hitam bertenggek di atas sayap kapal terbang. Jiha mengecilkan matanya cuba melihat apakah gerangan yang duduk di atas sayap kapal terbang. Dan macammana benda tu boleh berada di luar kapal terbang yang beratus meter berada di atas tanah.

Sedang Jiha memerhati objek hitam tersebut, tiba-tiba kapal terbang bergoncang agak kuat membuatkan Jiha memejamkan matanya kerana berasa cuak. Goncangan itu agak kuat dan berpanjangan. Jiha membuka matanya dan memandang kembali ke arah sayap kapal terbang tetapi objek hitam tadi dah tiada di situ.

Jiha memandang Isma, Ikha dan Ain yang sedang lena. Dia terdengar bunyi suara-suara beberapa orang penumpang lain yang sama sepertinya menjenguk keliling. Goncangan makin kuat, dan tak lama kemudian ada siren berbunyi.

“Ikha! Isma! Ain! Bangun. Kenapa ni? Kapal bergoncang kuat ni?” Jiha menggoncang badan Isma. Isma, Ain dan Ikha bangun serentak.

“Sila pakai tali pinggang keselamatan dan teruskan bertenang. Terdapat sedikit masalah teknikal yang kami akan atasi secepat mungkin.” Kedengaran pengumuman suara seorang lelaki. Jiha memandang keliling mencari empunya suara tersebut. Tadi semua pramugari adalah perempuan, kenapa tiba-tiba ada suara lelaki pula.

“Itu pilot yang bagi pengumuman,” kata Isma yang mengerti gerak mata Jiha yang sedang mencari suara siapa yang memberi pengumuman.

“Kenapa ni? Kapal terbang rosak ke?” Jiha bertanya, terasa cuak.

“Takde apa kot. Katanya masalah teknikal.” Sahut Ikha.

“Duduk diam kat tempat kau. Pakai tali pinggang. Takde apa, biasa je ni,” kata Isma sambil menggenggam tangan Jiha. Jiha dah menggeletar. Sesekali dia memandang ke arah sayap kapal terbang, kerana hatinya terlalu ingin tahu apakah objek yang bertenggek di sayap kapal terbang tadi.

Goncangan makin kuat. Dan kali ini terdengar suara-suara penumpang mula menjerit ketakutan. Jiha dah mula rasa cuak. Kalau naik bas, dah tentu nampak apa yang terjadi pada bas atau keliling di luar. Tapi sebab mereka berada di dalam kapal terbang, mereka tak tahu apa yang sedang terjadi.

Jiha memandang keluar. Kapal terbang kelihatan terhuyung hayang seperti ada kerosakan berlaku. Genggaman Isma makin kuat. Jiha memandang Isma.

“Kenapa ni Isma?” Jiha bertanya. Isma gelengkan kepala sambil pejamkan mata. Jiha pandang Ain dan Ikha, masing-masing pucat.

“Terdapat kebocoran di tangki minyak kapal terbang. Diminta semua penumpang terus berada di tempat masing-masing sementara menunggu jawapan dari lapangan terbang berhampiran.” Kedengaran pengumuman dari suara lelaki tadi.

Masa ni, kedengaran suara menyebut nama Allah, yang menjerit minta bantuan, yang menangis dan bermacam-macam lagi. Isma, Ikha dan Ain pejamkan mata. Dalam tak sedar, Jiha menitiskan air mata. Inilah agaknya akibat tak dengar cakap emaknya. Sekarang dia hadapi kesukaran.

Kapal terbang terus meluncur laju dengan keadaan yang agak senget. Bunyi jeritan makin kuat. Beberapa pramugari sedang berlarian terhuyung hayang di dalam kapal terbang.

“Tak dapat bantuan ke?” terdengar satu suara bertanya.

“Signal kapal terbang hilang dari radar. Pihak lapangan terbang tak dapat mengesan kita. Tuan duduk dulu, pihak kami sedang membetulkan keadaan,” aku dengar pramugari tadi memberi penjelasan, suaranya masih tenang walaupun semua penumpang tahu keadaan dah makin meruncing.

“Kapal terbang ni akan terhempas. Ucaplah syahadah jika kamu seorang muslim,” Jiha dengar suara dari kalangan penumpang. Jiha bersandar di kerusinya. Masa ni tiada siapa dapat membantu walaupun pramugari, walaupun sahabat rapat. Segalanya diserahkan kepada Allah yang Maha Penentu segalanya,

– Bersambung –

One thought on “ANDAI DETIK ITU TERHENTI

Leave a comment