DENDAM

Bab 11

Berkali-kali aku pandang ke arah cahaya tadi, memang dah takde. Tak tahulah rasa nak nangis ke apa. Aku dengar bunyi suara burung bergema di udara. Aku mendongak. Suraya masih berada di dalam cengkaman kaki burung helang yang besar tu. Agaknya itulah burung garuda yang selalu aku baca dalam buku hikayat dongeng dulu-dulu. Bila burung garuda lalu di satu kawasan, terus gelap Kawasan tu. Ha, samalah.

Aku dengar suara Suraya menjerit. Makin tinggi burung tu terbang, makin sayup suara Suraya tapi bunyi gema suara burung tu masih mampu menggegar kawasan air terjun.

Dan belum sempat aku berfikir apa-apa lagi, ada benda jatuh dari udara. Aku berlari ke arah objek yang jatuh ke dalam hutan tu. Semakin aku menghampiri objek tersebut, makin jelas ia adalah susuk tubuh Suraya. Suraya terpaku dengan mata yang terbuka. Darah mengalir dari hidung, mulut dan telinganya. Aku menggigil. Bukan takut yang aku rasakan sekarang, tapi sedih dan penyesalan yang tak terhingga.

Suraya berkorban untuk aku balik ke tempat asal aku tapi aku sia-siakan. Suraya, maafkan aku. Aku memang lembab. Aku memang bodoh. Aku memang tak tahu menghargai pengorbanan kau. Aku menjerit menangis kuat di situ. Dah hilang segala semangat aku.

Peluang untuk aku balik ke tempat aku dah terlepas. Suraya yang baik hati mahu membantu aku, dah tiada. Apa lagi peluang yang aku ada untuk balik ke tempat asal aku?

“Kau nak ke mana? Tempat kau di sini. Kenapa kau buat macam ni? Kau dah korbankan kawan baik kau. Suraya mati kerana kau.” Aku dengar satu suara dari arah belakang. Aku menoleh, nampak mak aku sedang berjalan berjalan, tapi tangannya masih berbentuk sayap burung, yang menghilang sedikit demi sedikit.

“Jadi, betullah kau adalah burung besar tu,” aku tanya. Tak mampu dah mulut aku nak berlakon panggil dia mak, sedangkan aku memang tahu dia bukan mak aku.

“Aku mak kau Mira. Aku mak kau. Kenapa susah sangat kau nak mengerti? Sampai kawan kau mati pun, kau masih nak berkeras hati?” mak aku mula meninggi suara.

“Suraya mati sebab dibunuh oleh kau. Bukan aku yang bunuh dia,” aku membalas. Entahlah dari mana datangnya keberanian aku itu. Mungkin kerana bisikan Farid kepada aku semalam. Dia ada cakap, mak takkan apa-apakan aku sehingga aku dikahwinkan dengan Rafi, anak Pak Maliki. Kiranya aku sekarang adalah aset penting untuk mak aku.

“Mira, jom kita balik nak. Sebelum terjadi apa-apa yang lebih buruk,” suara mak aku mula perlahan, memujuk aku.

“Tak, aku takkan balik lagi ke rumah itu. Tinggalkan aku di sini,” aku menyahut. Tangan Suraya makin sejuk. Dan jasadnya bertukar warna. Tubuhnya ditumbuhi bulu-bulu kecil berwarna keperang-perangan. Tangan dan kakinya juga makin mengecil dan akhirnya dia menjadi seakan seekor kuda. Aku berundur beberapa langkah ke belakang, panik dengan pertukaran jasad Suraya. Dia menjadi seekor kuda yang dah mati.

Aku rasa macam bermimpi. Aku tengok tubuh aku sendiri, mana tahu kot aku pun jadi kuda. Tapi aku masih bertubuh manusia. Aku kat mana ni? Dunia apa yang begini?

Tiba-tiba tangan aku ditarik kasar. Mak aku menarik tangan aku dan membawa aku berjalan pantas masuk ke dalam hutan. Aku melawan. Mak aku menjegilkan matanya kepada aku dan masa ni aku nampak paruh burung di wajahnya, dengan mata yang besar dan merah.

“Kalau kau taknak mendapat nasib yang sama seperti Suraya, lebih baik kau ikut saja apa yang aku katakan. Jangan sesekali cuba melawan, apatah lagi cuba lari dari aku. Aku dah berjanji dengan Pak Maliki, kau akan berkahwin dengan Rafi malam ni. Itu dah tetap, takkan berubah.” Kata mak aku.

“Tak, aku takkan berkahwin dengan sesiapapun di sini. Kenapa kau ganggu aku? Siapa kau sebenarnya?” aku beranikan diri melawan, malam kian gelap, hutan kian menggerunkan.

Mak aku berhenti melangkah. Dia menoleh ke arah aku. Dari matanya keluar cahaya yang cukup menerangi kawasan hutan tebal itu.

“Kau tanya aku siapa? Aku mak kau,” dia menjawab.

“Tak. Untuk kali terakhir aku tetapkan katakan, kau bukan mak aku. Tapi kau syaitan,” entahlah dari mana aku dapat skrip tu. Marah sangat agaknya.

“Oh! Sekarang kau kata aku syaitan? Baik. Aku tanya kau, seorang anak tinggalkan mak dia begitu saja, tak pedulikan akibat yang mak dia tanggung akibat perbuatannya. Anaknya tinggalkan mak dia, untuk ikut lelaki pilihannya. Sebab janji yang dimungkiri, si mak dihukum menjadi hamba abdi dalam kerajaannya sendiri, sedangkan sebelumnya itu, si mak adalah anak kepada raja kerajaan. Si mak digulingkan oleh kerajaannya sendiri. Si mak cuba hidup walaupun dengan memakan najisnya sendiri. Mana anaknya? Lari mengikut lelaki idamannya. Lebih kejam, si anak mengikut lelaki yang berada di paksi dunia yang lain. Lelaki yang telah diberi kuasa sakti oleh raja kerajaan si mak. Mana anak? Mana sifat belas si anak kepada maknya? Mana????” mak aku menjerit garang. Bergema suara jeritannya. Berterbangan unggas dan haiwan rimba lari menyelamatkan diri. Wajah mak aku berkali-kali berubah menjadi wajah burung, tangannya bila diletak ke sisi menjadi tangan manusia tapi bila diangkat lebih dari paras dada, akan menjadi seakan sayap burung.

Aku diam, terkesima. Tak tahu terkesima dengan ceritanya atau dengan perubahan tubuhnya.

“Sekarang kau cakap kat aku, maknya syaitan atau anaknya yang syaitan,” mak aku tanya lagi, masih menjegilkan matanya kepada aku. Memandang tepat ke dalam mata aku.

“Apa kena mengena saya dengan kisah tu? Kenapa saya yang menjadi mangsa?” aku masih berani bertanya.

“Kerana akulah mak itu, dan keturunan kamu yang terdahulu adalah lelaki yang membawa anak aku lari. Jenis manusia angkuh yang tak tahu mengenang budi,” mak aku masih marah.

“Keturunan saya? Siapa? Tiada lagi keturunan saya yang berkahwin dengan makhluk pelik macam kau ni,” sahutku mencabar manusia separuh burung di depan aku.

Mak aku hilang sabar. Dia mencengkam leher aku dan mengangkat ke udara hingga kaki aku tergapai-gapai. Aku lemas. Meronta-ronta mencari nafas. Mata hitam aku makin tenggelam dalam kelopak mata bahagian atas.

“Lepaskan dia,” masa ni aku dengar satu suara lelaki. Perlahan dan tenang.

Dan cengkaman mak aku di leher aku terlepas. Aku jatuh gedebuk ke tanah. Aku mengesot ke tepi sambil mengurut leher aku yang masih panas dan perit. Kepala aku berpusing mencari suara lelaki tadi.

“Siapa tu?” mak aku bertanya, dengan matanya ikut turut memerhati keliling.

“Bukankah kau raja kerajaan burung yang termasyhur, semua kerajaan hutan yang melata di tanah, kau boleh nampak. Takkanlah kau tak nampak aku?” suara lelaki tadi masih tenang.

“Tunjukkan diri kau, kalau setakat berdiri di sebalik pokok, itu pengecut namanya,” kata mak aku, masih memerhati keliling.

“Aku pengecut atau kau yang dah kecut?” suara lelaki tadi terus mencabar mak aku. Mak aku tak bersuara tapi tubuhnya semakin bertukar menjadi burung besar yang membunuh ular besar dan membaling tubuh Suraya dari udara ke tanah.

Baru je burung besar tu nak terbang, dia seperti tersangkut kepada sesuatu di tanah. Aku hanya memerhati dari celahan pokok.

“Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Laa ilaa ha ilallah! Muhammadar Rasulullah!” aku dengar laungan takbir. Dari cahaya yang samar-samar, aku nampak seorang lelaki sedang memegang salah satu jari jelmaan burung besar, yang menyebabkan burung tersebut tak boleh terbang.

Lalu lelaki tadi dengan tenang, menarik jari burung tersebut dan menghempasnya ke tanah, dengan amat mudah. Dan burung tadi berubah rupa menjadi seorang wanita tua yang aku nampak masa Zaimah dirasuk dalam bilik hostel, bukan lagi dengan rupa mak aku.

“Akhirnya kau tunjuk rupa sebenar kau?” lelaki itu bertanya sambil memandang tepat ke arah wanita tua itu.

“Kau???? Macammana kau boleh masuk ke sini? Pintu paksi dah tertutup,” wanita tua itu bertanya dengan wajah keliru.

“Ziwa, berapa kali kau dikhianati oleh rakyatmu sendiri? Tapi kau masih tak mengerti. Kau patut sedar, tiada yang mahu jujur denganmu, bahkan anakmu sendiri,” lelaki itu masih bercakap dengan tenang.

Wanita tua tadi berdiri dengan kaki berpasak ke bumi, seperti srikandi yang mahu memulakan peperangan di medan besar. Untuk rupanya, usianya mungkin 90 atau 100 tahun, tapi bentuk fizikal dan tekstur tubuhnya seakan wanita berusia 30 tahun, masih tegap dan bertenaga.

“Mereka tak khianati aku, tapi manusia di kalangan kau yang menggunakan mereka untuk memusuhi aku. Orang kau boleh ambil anak aku, kenapa aku tak boleh ambil anak dari kalangan orang kau? Siapa yang khianati siapa sekarang ni?” wanita tua tadi bertanya, masih dalam kedudukannya yang tadi.

“Ada beza ketika anakmu mengikut orang-orang aku, dengan anak orang-orang aku mengikutmu,” kata lelaki tadi lagi.

“Sama, tiada bezanya. Kau bukan seorang mak, kau takkan tahu apa rasanya bila dikhianati oleh anak sendiri, hanya dikaburi oleh kata-kata manis dari manusia jahanam. Aku tak pernah ganggu kerajaan kau, tapi kerajaan kau datang ganggu aku. Ayah aku beri kuasa sakti kepada orang kau tapi orang kau bawa pergi anak aku,” kata wanita tua tadi.

“Orang aku tak bawa anak kau pergi, tapi anak kau yang mengikut mereka pergi. Itulah bezanya dengan anak orang-orang aku yang kau bawa ke dunia kau. Anak orang aku tak sudi mengikutmu. Dia tak rela mengikutmu, sebab tu dia nak lari balik. Nampak tak beza tu? Jadi tiada siapa dari dunia aku yang mengkhianatimu tapi orang-orang kau sendiri yang mengkhianati kau. Masih tak sedar?” lelaki separuh abad itu terus berdialog.

“Tidak, manusia di dunia kau yang mengkhianati aku. Bukan orang-orang aku,” wanita tua tadi masih taknak mengalah.

“Siapa yang tunjukkan jalan untuk anak manusia tu kembali ke tempat asalnya? Orang kau. Siapa yang memberi jalan agar aku masih dapat masuk ke dunia kau walaupun pintu paksi dah tertutup? Orang kau. Kau sendiri tahu, kedudukan pintu paksi tu, hanya boleh dilihat dari dunia kau, bukan dunia aku. Jadi siapa yang khianati kau?” lelaki tadi masih berteka teki.

“Mati kau manusia!” wanita tua tadi terus menerkam ke arah lelaki itu. Mereka berlawan seakan pentas silat. Tapi aku nampak, lelaki itu lebih banyak mengelak dan wanita tua itu yang banyak menyerang.

Lama juga mereka bertempur. Hampir sejam kot, aku pun tak pasti. Keadaan di situ dah macam baru lepas kena letup. Sekejap cerah dan sekejap gelap. Aku masih kekal di kedudukan tadi, memerhati setiap yang terjadi. Iyelah, aku nak ke mana. Dalam hati aku, aku harap lelaki itu yang menang dalam pertempuran itu. Dialah harapan aku buat masa ni, walau aku tak tahu siapa dia. Dari cara perbualan mereka berdua tadi, seakan ada perkara lampau yang terjadi antara mereka berdua. Dan hati aku kuat mengatakan bahawa wanita tua itu ada kena mengena dengan datuk nenek aku. Ada sejarah yang perlu disingkap.

– Bersambung –

2 thoughts on “DENDAM

Leave a comment