DENDAM

Bab 9

“Mira? Kamu dah sedar. Bangun nak. Minum air ni,” aku nampak mak aku. Aku masih di rumah buluh dalam hutan. Aku hampa. Kenapa aku masih kat sini? Aku yakin sangat, suara yang aku dengar tadi adalah suara Ustaz Alias.

“Hmmm…. Dah sedar? Kononnya kuat sangat nak lari masuk hutan sendirian? Ini Paksi Keluli, tak biasa, jangan tunjuk berani,” aku dengar suara ayah merungut. Tapi aku tak nampak ayah.

“Dia baru sedar, tak payah la nak marah dia.” Mak tegur ayah. Ayah diam dan terus keluar rumah.

“Tadi saya nampak burung besar bunuh ular besar,” kataku mengadu.

“Dah, lupakan saja. Semua tu tak penting,” kata mak.

“Semua tu memang tak penting, yang penting ialah soalan saya ni.” Aku memandang tepat ke arah mak aku.

“Apa soalan kamu?” mak aku tanya, turut memandang tepat ke dalam mata aku. Entahlah kenapa tiap kali aku bertentangan mata dengan mak aku, aku terasa seperti dejavu. Aku rasa macam aku pernah datang ke tempat ni. Aku rasa macam aku pernah lalui suasana ni.

“Kenapa saya rasa burung besar itu ialah mak?” aku tanya.

“Mira, kamu masih tak kenal mak kamu ke?” mak aku tanya. Aku geleng kepala.

“Kan mak menggantikan datuk kamu yang dah meninggal dunia. Mak pegang tongkat putih kuasa sakti helang mas dari kerajaan angin,” mak aku cakap. Melopong mulut aku mendengar kata-kata mak. Haaaaa????

“Dan selepas kematian mak, kamulah pewarisnya. Sebab tu mak nak kahwinkan kamu dengan anak Pak Maliki. Rafi tu bakal mewarisi kerajaan gunung dari Pak Maliki. Kerajaan gunung berkahwin dengan kerajaan angin, seluruh kerajaan hutan akan hormat,” mak bercerita penuh semangat. Sementara aku masih melopong.

Kerajaan angin? Kerajaan gunung? Kerajaan hutan? Apa semua ni? Aku dah gila ke?

“Kak Mira, jom makan pisang rebus,” tiba-tiba Farid memanggil dari arah dapur. Aku dan mak serentak menoleh ke arah Farid yang tersenyum kelat di tepi pintu.

Aku kerutkan dahi, Nak tengok jam, jam aku dah mati. Tadi masa aku keluar rumah dengan mak dan ayah nak ke rumah Pak Maliki, hari memang dah malam. Lepas tu macam-macam dah jadi. Takkanlah sekarang masih malam?

Aku bangun dan melangkah ke arah tingkap. “Kamu nak ke mana tu?” Mak aku tanya.

“Nak tengok kat luar.” Aku jawab.

“Nak tengok apa?” Mak aku tanya lagi.

“Sekarang pukul berapa?” aku bertanya. Mak dan Farid berpandangan sesama sendiri.

Farid menghampiri aku sambil membawa pinggan yang berisi pisang muda rebus di dalamnya. Farid pegang tangan aku, “Jom kak, kita ke dapur. Kita makan pisang rebus ye,” Farid tarik tangan aku lembut. Aku pun macam terpukau, ikut saja langkahnya, dan mak menjeling setiap langkah aku hingga aku dah tak nampak mak.

Kat dapur, aku duduk di atas lantai. Azimah sedang makan tanpa pedulikan aku dan Farid yang baru datang.

“Kak, kau jangan banyak tanya dengan mak. Kau takkan faham apa-apa,” Farid cakap kat aku. Terhenti suapan pisang rebus aku, aku pandang dia, memohon penjelasan lanjut.

“Percayalah cakap aku, makin kau tanya, kau makin takkan faham. Dan lepas tu kau tanya lagi, dan lagi, sampai mak naik angin. Bila mak dah naik angin, semua kerajaan akan susah, sebab mak kawal udara,” kata Farid.

“Eh, kau Farid kan? Betul ke kau adik aku? Betul ke aku akak kau? Sebab kehidupan aku yang lepas, takde pun macam ni. Kerajaan-kerajaan bagai. Kalau mengundi, baru muncul nama-nama kerajaan ni,” kataku.

“Saya pun sebenarnya masih fikir, akak ni betul ke kakak saya? Semua tak ingat,” kata Farid.

“Tak, aku bukan kakak kau. Aku sesat kat dalam hutan ni. Mungkin kakak kau tersesat kat tempat aku. Kira macam tertukar tempat ni,” kataku.

“Tempat akak macammana?” Azimah pula bertanya, mungkin dari tadi dia dah pasang telinga mendengar aku dan Farid berbual dengan keadaan berbisik.

“Tempat akak ada bangunan tinggi, ada kereta, ada sekolah. Kami semua tak pakai macam yang kamu semua pakai. Kat tempat akak, ada televisyen, ada telefon, ada internet. Tekan je kat handphone, semua maklumat dari seluruh dunia akan terpapar. Tempat akak tak pakai lampu api macam ni, kami tekan suis je dan menyala lampu. Kami tak ambil air dari telaga, pulas je paip, ada air bersih keluar,” kataku panjang lebar, seronok bercerita dengan Farid dan Azimah sebab mereka seperti makin percaya dengan aku.

“Apa benda semua tu kak? Kami tak pernah dengar pun semua tu,” kata Farid.

“Entahlah, akak nak terangkan pun tak tahu macammana. Akak pun tak tahu bahawa tempat macam ni masih wujud. Akak selalu baca cerita keadaan di sini hanya dalam buku sejarah. Tak sangka masih ada tempat macam ni,” kataku.

“Macam pelik je tempat akak tu,” kata Azimah pula sambil kerutkan dahi.

“Sama la macam akak pelik tengok tempat kamu ni. Tapi takpe, kamu memang rasa pelik sebab kamu tak nampak. Kalau kamu nampak, kamu mesti seronok. Budak-budak remaja sebaya kamu, bermain kat padang, lelaki perempuan boleh menimba ilmu sampai ke peringkat paling tinggi,” kataku lagi.

Farid dan Azimah berpandangan sesama sendiri, masih mengerutkan dahi.

“Takpe, nanti bila akak dah balik ke tempat akak semula, akak bawa kamu berdua jalan-jalan kat sana ye,” kataku sambil tersenyum memandang dua wajah polos itu.

“Pap! Pap! Pap!” kami bertiga berhenti berbual bila terdengar bunyi seperti seseorang sedang memukul rotan di tangannya. Muka Farid dan Azimah yang dari tadi ceria berbual dengan aku, tiba-tiba berubah pucat dan ketakutan.

“Kenapa ni?” aku tanya.

Farid gelengkan kepala. Dia terus bangun, diikuti dengan Azimah. Kedua-dua mereka berundur beberapa langkah sebelum aku nampak tubuh Farid terhentak ke dinding seperti ada seseorang yang melemparnya. Azimah pula bersujud sambil menangis, seperti memohon maaf dari seseorang. Lepas tu tubuh kecil Azimah terpelanting ke tepi. Aku bangun cuba mendapatkan Azimah tapi kaki aku seperti digam di lantai. Aku tak boleh bergerak. Bibir atas dan bibir bawah aku melekat, aku tak boleh buka mulut.

“Awak buat apa ni?” aku dengar suara ayah.

“Mereka berbicara tentang sekutu alam,” aku dengar suara mak.

“Lepaskan budak-budak tu. Bukan mereka yang perlu disakiti,” aku dengar suara ayah lagi.

“Kalau dibiar, kamu juga yang akan sakit,” aku dengar suara mak aku.

“Tak sesakit dengan apa yang dah jadi. Lepaskanlah, jangan dipaksa,” kata suara ayah.

Suasana hening seketika.

Hampir lima minit, aku dapat membuka mulutku semua. Farid dan Azimah dah tiada di hadapan aku. Aku pandang keliling, tiada sesiapa.

Aku betulkan dudukku. Aku bersandar di dinding buluh. Aku pejamkan mata. Aku baca semua surah yang aku hafal. Berkali-kali, berulang kali. Walaupun surah yang sama. Aku ingin mencari arah. Aku yakin aku berada di tempat yang salah. Tapi aku lebih yakin walau dimana aku berada, Allah tahu aku di mana. Aku selalu ingat pesanan mak aku.

“Mak tak dapat jaga kamu selalu, kamu kena jaga diri sendiri. Setelah kamu yakin kamu dah berusaha menjaga diri tapi masih berlaku keburukan, ketahuilah bahawa semua itu dari Allah. Maka hanya Allah yang mampu bantu kamu, bukan mak, bukan cikgu, bahkan bukan diri kamu sendiri. Maka mintalah dari Dia walau dengan cara apa sekalipun,” Aku rindu mak aku di dunia aku.

“Mira. Mira. Kami tahu kamu ada dekat dengan kami. Gerakkan apa yang ada berdekatan dengan kamu,” sekali lagi aku dengar suara Ustaz Alias. Aku buka mata. Aku pandang keliling aku. Masa ni bilik tu nampak kosong, tiada apa-apa. Sedangkan tadi ada juga tempat makan dan pintu. Ke mana pergi semua tu?

“Ustaz?” aku panggil perlahan.

“Mira? Aku dengar suara kau,” Masa ni aku dengan suara Zaimah.

“Zaimah?” aku panggil Zaimah.

“Ustaz, itu memang suara Amira,” aku dengar lagi suara Zaimah.

“Mira, teruskan membaca surah. Jangan henti. Kami dah hampir jumpa kamu,” aku dengar suara Ustaz Alias.

“Kamu buat apa ni?” tiba-tiba mak aku muncul, entah dari mana.

Aku diam. Aku taknak ulangi apa yang aku buat sejak sampai ke tempat ini. Iaitu segalanya aku ceritakan kepada mak aku. Aku perlu rahsiakan apa yang sedang aku lalui dari mereka. Entah kenapa aku rasakan, mak aku cuba larikan aku dari dunia sebenar aku. Dan aku tak pasti aku berada di dunia mana sekarang ni. Yang aku tahu, aku nak balik ke dunia asal aku.

“Mak tanya ni, kamu sedang buat apa? Kenapa duduk sambil pejam mata kat tepi dinding? Kamu ada dengar apa-apa ke?” mak aku tanya.

“Takde apa. Saja rehatkan diri,” sahutku, tanpa pandang wajah mak aku. Aku taknak dapat perasaan dejavu tu.

“Kamu dengar suara pelik?” mak aku tanya lagi, macam dia dapat merasakan sesuatu.

“Takdelah. Mak, boleh tak saya nak rehat di bilik?” aku tanya.

“Boleh, pergilah, Asalkan jangan keluar dari rumah je,” kata mak aku.

 Aku bangun dan berpusing mencari pintu nak ke bilik. “Zima, bawa Kak Mira ke bilik,” Mak aku macam tahu aku tak jumpa pintu ke bilik. Dan sekali lagi, entah dari mana, Azimah muncul. Dia tak cakap apa-apa, hanya pegang tangan aku dan membawa aku bersamanya,

“Jaga Kak Mira elok-elok. Dia masih belum betul-betul sembuh tu,” kata mak kepada Azimah dengan nada agak keras seakan amaran.

Sampai kat bilik, aku duduk di satu sudut. Azimah berlalu nak keluar dari bilik. “Zima, tunggulah kat sini. Kita sembang,” kataku. Azimah tak menyahut tapi terus berlalu keluar.

Aku bangun dan buka pintu, diluar hanya pintu-pintu buluh yang banyak, tak nampak ruang seperti masa aku mengikut Azimah ke bilik tadi. Aku tutup semula pintu.

“Ustaz?” aku panggil perlahan. Tiada sahutan.

Aku duduk, membaca semula surah yang aku aku tahu.

“Dum dum dum!” aku dengar bunyi dinding buluh tempat aku sedang bersandar, diketuk orang dari luar. Aku bangun dan menekup telinga di antara celahan buluh tu. Pelik sebab dinding buluh je, tapi aku tak nampak langsung kat luar, seakan ada lapisan lain selepas buluh tersebut dipasang sebagai dinding.

“Dum dum dum!” sekali lagi dinding buluh diketuk.

“Siapa?” aku bertanya.

– Bersambung –

One thought on “DENDAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s