MERTUA

Bab 10

Petang tu doktor bagi aku balik. Dari pendengaran aku la, doktor tak bagi aku balik, tapi mak dah ayah aku minta juga untuk bawa aku balik. Mereka taknak aku tinggal di hospital, tambahan pula tiada pelawat dibenarkan menemani pesakit. Mereka taknak aku ditinggalkan sendirian. Bukan sebab pendarahan sebab pendarahan aku akibat jatuh terhentak pagi tadi, dah berhenti. Ni macam ada sebab lain. Doktor ada menyebut tentang psikiatri. Tapi ayah aku kata kat doktor, ini hal keluarga.

Azhar dah sampai tengahari tadi. Dia ikut apa saja keputusan ayah. Dan aku pun kalau boleh memang nak balik taknak aku tidur di hospital tanpa Izzuddin.

Sampai kat rumah, sekali lagi nak nak maghrib. Aku pun tak pasti, samada sengaja atau kebetulan, dah tiga hari aku melahirkan, dah tiga hari juga aku masuk ke dalam rumah ketika waktu hampir maghrib.

Sebaik aku masuk, mata aku dah nampak benda pelik dah. Aku masuk je rumah, dah tentulah aku cari Izzuddin. Aku nampak Izzuddin sedang diriba jelmaan mak mertua aku. “Mak, tu siapa tu? Kenapa dia meriba Izzuddin?” aku menjerit. Mak aku pandang aku dengan dahi berkerut.

Ayah aku bagi isyarat kat mak aku, suruh bawa aku masuk ke bilik. Tapi kali ni aku dah nekad. Kalau semua orang taknak percaya aku, aku akan bertindak sendiri. Aku tepis tangan Azhar yang sedang memapah aku, lalu terus ambil sebatang kayu dari yang ayah aku selalu letak kat belakang pintu, aku terus pukul jelmaan tersebut.

Mak aku menjerit. Azhar menarik tubuh aku ke tepi. Ayah ambil kayu dari tangan aku. “Kamu ni dah kenapa Za? Kenapa kamu pukul dia? Dialah sepanjang hari ni menjaga anak kamu tu,” Ayah berkata kepada aku dengan nada yang agak tinggi.

Aku pandang semula ke arah jelmaan mak mertua aku tadi. Aku masih nampak jelmaan mak mertua aku, tersengih memandang aku, seperti mengejek sebab ahli keluarga aku memarahi aku kerana memukulnya.

“Kenapa ayah biarkan makhluk tu menyentuh anak Za?” aku jerit kat ayah aku, cuba nak mengambil Izzuddin tapi ditahan oleh Azhar.

“Dah, bawa dia ke bilik. Nanti lepas maghrib, ayah bawa Ustaz Deris ke sini, minta dia tengokkan Mirza,” aku dengar ayah cakap kat Azhar.

“Za nak Izzuddin bersama Za. Za tak izinkan orang lain menyentuh dia. Itu anak Za,” aku terus meronta.

“Za, kamu tak sihat. Pagi tadi pendarahan, jangan sampai turun darah lagi. Jangan risaukan Izzuddin, mak akan jaga dia,” kata mak aku dengan nada yang agak kuat, tapi mata mak aku merah, macam menangis.

“Kalau mak jaga dia, mak takkan biarkan makhluk tu pegang dia,” jeritku lagi.

“Za, itu kan Aisyah, adik Za. Kenapa Za panggil dia makhluk? Dia yang jaga Izzuddin masa Za kat hospital. Kenapa Za marah sangat kat dia?” Azhar pegang kuat kedua-dua bahu aku, bercakap sambil memandang tepat ke muka aku. Matanya berkaca. Aku terdiam.

Aku toleh semula ke arah Izzuddin. Jelmaan mak mertua aku dah tiada di situ. Mak aku sedang dukung Izzuddin. Aisyah dan Amir berdiri di belakang mak aku sambil pandang aku.

“Dah, pergi bawa dia masuk. Aisyah jaga Izzuddin. Mah, awak siapkan Mirza. Kalau perlu mandikan dengan air panas, buatlah. Ranting bidara tu letak bawah bantal dia. Nanti lepas maghrib saya bawa Ustaz Deris. Kalau Ustaz Deris kata memang benda tu, esok awak panggil Kak Limah datang, buatlah apa yang patut. Azhar, jangan tinggalkan dia sendirian. Kalau nak keluar sekejap sekalipun, minta Amir temankan Mirza.” Ayah aku beri arahan kat semua orang. Dah macam banduan pula aku dikawal.

“Mirza, kamu ingat Allah selalu. Kamu tu kena fikir baik-baik. Bacalah Al Fatihah, zikir. 4 Qul. Baca jangan henti. Selagi kamu macam ni, selagi itu kamu takkan dapat jumpa Izzuddin,” kata ayah aku. Ayah aku bebel kat aku pula. Dah kenapa aku pula yang tak boleh jumpa Izzuddin? Itu anak aku kot.

“Izzuddin anak Za. Takde siapa boleh larang Za dari pegang atau jumpa dia. Ayah pun tak boleh,” dalam tak sedar aku jerit kat ayah aku.

“Yang, itu ayah awak. Kenapa awak tengking ayah awak?” Azhar tegur aku.

“Biarkan dia Azhar. Dia tak sedar tu. Bawa dia ke bilik. Maghrib dah nak masuk ni. Ayah ke masjid,” kata ayah aku.

Azhar bawa aku masuk ke bilik, aku menoleh ke arah mak yang masih mendukung Izzuddin. Kali ni aku nampak mak dan Aisyah menangis.

“Abang, kenapa semua orang pandang Za macam Za ni penjahat? Iye, semalam Za ada lepaskan Izzuddin kat tingkap, tapi tadi ayah kata, Za tak buat macam tu pun. Dan Za tengok, Izzuddin ok je,” aku cakap kat Azhar bila kami dah masuk ke bilik.

“Kenapa Za rasa Za dah campak Izzuddin ke luar tingkap?” Azhar tanya aku, menduga.

“Iye, memang Za campak dia ikut tingkap, sebab jelmaan mak abang tu yang suruh. Pagi tadi, di dalam bilik air, jelmaan mak abang ada di sana, Za terkejut, sebab tu Za jatuh. Jelmaan mak abang ada di mana-mana. Tadi masa masuk ke dalam rumah, Za nampak jelmaan mak abang yang sedang meriba Izzuddin, sebab tu Za pukul dia dengan kayu. Dah semua orang tak nampak, biarlah Za je yang bertindak,” kataku dengan harapan Azhar sebagai suami aku, akan mempercayai aku.

“Za, itu semua mainan perasaan Za je. Abang takde pengalaman tentang hal macam ni, tapi abang akan bantu Za. Tapi Za kenalah bantu diri sendiri juga. Kawal perasaan tu, jangan biar otak fikirkan benda yang tak elok,” kata Azhar.

“Apa yang tak elok? Mak abang yang ada saka, bukan Za. Tapi sekarang Izzuddin pula yang terkena bebannya,” kataku melawan.

“Betul, mak abang ada saka. Tapi Za dah tinggalkan semua tu kan. Za dah balik rumah mak ayah Za. Benda tu tak ikut Za pun. Dia dah terkurung kat rumah mak abang. Dia tak boleh keluar dari sana sebab dah terkurung. Jadi, apa yang ikut Za sebenarnya? Cuba fikir,” kata Azhar.

“Tapi Za nampak benda tu. Mak ayah Za pun nampak,” kataku makin tinggi.

“Tu la yang abang cakap tadi. Mak dan ayah Za nampak jelmaan tu masa kat rumah abang je. Tapi lepas balik sini, mereka tak nampak dah. Sebab benda tu takde kat sini, benda tu tinggal kat sana. Itulah tujuan Pak Anjang dan ayah suruh Za balik sini. Supaya benda tu tak kacau Za dan Izzuddin.” Azhar masih pujuk aku.

Aku diam. Buat aku aku bercakap lagi, kalau tiada yang mempercayai. Aku sedih, mak ayah, adik beradik tak percaya aku. Sekarang, suami pun tak percayakan aku. Serius aku sedih. Dada aku rasa nak pecah. Aku nangis.

Pintu bilik diketuk. Mak aku menjenguk.

“Za, mak bawa air panas ni. Za rendam kaki dalam besen air panas ni. Azhar, tolong lapkan badan dia dengan tuala ni, celup air panas. Bagi badan dia selesa sikit.” Mak aku hulurkan dua besen berisi air panas. Aku diam je, tak pandang mak pun. Aku jauh hati dengan semua orang.

“Mak solat maghrib dulu. Nanti Amir datang tengokkan Mirza, Azhar pula solat.” Kata mak aku.

“Baik mak,” sahut Azhar.

“Za?” mak aku panggil aku. Aku tak menoleh. Aku benci.

“Za, kan mak panggil tu?” Azhar panggil aku. Aku tak menoleh pun.

“Takpe takpe. Biar dia dulu. Buat apa yang mak suruh tu ye.” Kata mak aku. Azhar angguk kepala je. Mak berlalu pergi.

Azhar letak satu besen kat tepi katil. Tepi kaki aku. Lalu memegang kaki aku dan memasukkan ke dalam besen air suam tu. Satu lagi besen diletakkannya di atas meja kecil kat tepi katil, lalu dibasahkan tuala kecil dan mengelap tangan dan muka aku. Beberapa kali aku tepis, tapi Azhar tarik semula tangan aku.

Azan maghrib berkumandang. Aku rasa kaki dan muka aku panas. Mungkin sebab berendam dengan air panas. Aku tarik tangan aku dari pegangan Azhar. Aku angkat kaki aku dari besen. Azhar betulkan balik kaki aku. Aku naik geram, aku sepak besen tu. Dan tolak besen yang berada di atas meja. Habis basah lantai bilik tu.

“Za! Kenapa macam budak-budak ni?” Azhar menegur aku, suaranya tinggi sedikit.

“Panas!” aku jerit.

“Tadi elok je,” kata Azhar. Aku tutup telinga, badan aku makin panas. Makin aku dengar laungan azan, makin jantung aku berdegup kencang dan aku berpeluh panas. Perut aku berpusing-pusing sama sakitnya seperti masa aku kontraksi nak lahirkan Izzuddin haritu.

“Krak!” aku dengar bunyi sesuatu dipijak di atas siling rumah. Aku berhenti menjerit dan memandang ke kayu alang siling rumah. Aku nampak jelmaan mak mertua aku sedang merangkak di atas salah satu kayu alang rumah. Mundar mandir di atas sana sambil pandang aku dan lidahnya terjelir panjang dengan air liur menitis ke lantai bilik.

Aku bangun dan ambil botol kaca di atas meja solek. Aku baling ke arah jelmaan itu. Azhar yang tadi mengelap lantai yang basah, bangun lalu menahan aku. “Za, kenapa ni? Za baring rehat,” Azhar memujuk.

“Tu, mak abang ada kat atas siling,” kataku sambil menunjukkan ke arah makhluk yang berada di atas siling. Azhar mendongak melihat ke tempat yang aku tunjuk.

“Mana ada sesiapa kat situ,” Azhar menyahut. Sedang aku masih melihat jelmaan mak mertua aku masih di sana, tersengih-sengih memandang aku.

Pintu bilik ditolak kuat dari luar. Amir menjenguk masuk. “Kenapa Abang Lang? Dengar Kak Lang menjerit dan bunyi benda pecah,” kata Amir.

“Kak Lang baling botol tu ke siling. Tu yang jatuh pecah,” sahut Azhar terus memegang aku dari bangun.

“Ya Allah, Kak Lang. Kenapa makin teruk ni.” Kata Amir sambil mengutip kaca yang pecah di lantai yang basah.

“Acu, cuba kau tengok kat atas tu, makhluk tu ada kat sana kan?” kataku. Amir mendongak melihat ke tempat yang aku tunjuk. Lepas tu dia menoleh memandang ke arah Azhar.

“Takde apa pun kat situ Kak Lang,” kata Amir.

“Kau pun sama dengan diorang semua. Semua nak kata aku gila kan?” aku menjerit.

“Ya Allah, Za, kenapa menjerit-jerit maghrib ni. Tak elok dengar dek orang. Tak elok untuk kamu yang dalam pantang ni,” tiba-tiba mak menjenguk ke dalam bilik.

“Amir, kamu dah solat ke?” mak tanya Amir.

“Dah, tengah solat tadi dengar Kak Lang menjerit dan bunyi kaca pecah. Tu yang solat kelam kabut, terus datang sini.” Kata Amir yang baru selesai mengutip kaca pecah.

“Kenapa ni Za?” Mak aku tanya lembut. Aku tak pandang mak aku.

“Kak Lang kata, ada benda kat atas siling,” kata Amir.

“Benda apa?” Mak aku tanya Amir.

“Jelmaan mak saya katanya,” sahut Azhar pula, masih peluk aku dalam dakapannya.

Mak pejamkan mata, tarik nafas panjang. Mak mendongak lihat ke atas siling.

“Iyelah, memang jelmaan tu ada kat situ. Tapi kan Za, dia tak berani turun, percayalah cakap mak. Dia takut,” kata mak sambil usap kepala aku. Masa ni aku menoleh kat mak.

“Mak nampak?” aku tanya. Rasa lega bila ada orang lain nampak apa yang aku nampak.

“Iya Za, mak nampak. Dia ada kat atas kayu tu, sambil pandang kita kan?” Mak aku tanya. Dan aku anggukkan kepala laju. Mak aku tarik tangan aku dari dakapan Azhar. Lalu mak aku peluk aku.

Mak aku usap kepala aku, lalu terus ke muka aku. “Dah, jangan tengok dia. Lagi kita tengok, lagi dia seronok.” Kata mak aku. Aku pejamkan mata. Itu sudah cukup buat aku, mak nampak apa yang aku nampak.

– Bersambung –

One thought on “MERTUA

Leave a comment