HANTAR AKU BALIK

Bab 10 (AKHIR)

Aku tersedar bila terdengar bunyi azan subuh berkumandang di dalam surau. Aku celik mata. Aku nampak Azizi sedang melaungkan azan. Aku lihat keliling, ramai lagi yang tergolek tak sedar diri kat situ. Aku tepuk Zikri, Adli, Wan, Izam, Faris dan beberapa kawan lagi.

“Bangun weh. Kang Ustaz Ismail nampak kita bergelimpangan kat surau macam ni, mengamuk dia nanti,” kataku.

“Ustaz Salleh yang suruh kita tidur kat sini, bukannya kita yang nak tidur kat sini,” akta Izzat yang masih berbaring.

“Memanglah Ustaz Salleh yang suruh tidur kat surau. Tapi mereka pun nak bagi tunjuk ajar macammana adab untuk tidur kat dalam surau. Rumah Allah kot,” kataku lagi. Tiada yang menjawab dah. Masing-masing bangun menggeliat dengan mata merah akibat tak cukup tidur.

Aku bangun dan terus ambil wudhu lalu mengambil tempat di saf untuk solat berjemaah. Beberapa kawan lain menurut di belakang aku. Seketika kemudian aku nampak Ustaz Salleh, Ustaz Khairi dan Ustaz Ismail masuk ke dalam surau melalui pintu utama. Muka masing-masing serius tapi nak dilihat tenang.

Ustaz Ismail mengambil tempat sebagai imam. Beberapa murid dari dorm dan blok lain juga menyertai kami. Entah kenapa solat subuh hari ini terasa syahdu sangat. Rasa sebak di dada. Mungkin kerana Ustaz Ismail yang mengimamkan kami. Selalunya murid yang jadi imam manakala ustaz semua jadi makmum. Punyalah laju kalau imamnya murid juga. Semput dada mengejarnya. Habis solat, kena panggil dengan Ustaz Ismail. “Kamu imamkan orang laju-laju ni, kamu nak lari ke mana ha?” Ustaz Ismail mesti akan tanya macam tu sambil menarik sideburn si imam muda tadi. Terjengket-jengket la tok imam kami. Kihkihkih…

Tapi hari ini kami solat dengan tenang. Tiada gangguan. Nafas pun takdelah macam berlari 100m kat padang. Itulah bezanya antara murid dengan ustaz jadi imam.

Selesai solat, kami semua bergerak menuju ke dewan makan untuk bersarapan tapi aku ditahan oleh tiga orang ustaz tu.

“Kamu dah jumpa cincin tu  Aiman?” Ustaz Khairi bertanya.

“Dah.” Jawabku sambil mengeluarkan cincin tu dari poket baju sejuk aku lalu menyerahkan kepada Ustaz Khairi.

“Entah cincin siapa la yang terjatuh kat situ, yang jadi penyebab je benda tu muncul balik lepas tujuh tahun. Lain kali beringatlah, jangan sesekali berjanji dengan syaitan. Kita yang lupa, mereka takkan lupa,” kata Ustaz Khairi lagi. Ustaz Ismail dan Ustaz Salleh yang berada di situ menganggukkan kepala menyetujui apa yang Ustaz Khairi katakan itu.

“Kamu pergi sarapan dulu. Lepas tu ajak kawan-kawan naik ke dorm, kemas dorm yang berselerak tu. Lepas waktu zohor, saya akan naik ke dorm. Kalau tak kemas, petang ni lari padang 20 pusingan.” Kata Ustaz Ismail. 20 pusingan??? Aku dengar pun dah pitam.

Aku melangkah laju ke dewan makan. Aku lapar. Rasa macam dah berhari-hari tak makan. Mungkin sebab asyik terkejut dan main aci kejar dengan hantu perempuan tu, membuatkan makanan yang masuk ke dalam perut aku tercerna dengan cepat. Membuatkan aku cepat lapar. Agaknyalah.

Sampai kat dewan makan, aku tengok menu nasi lemak hari ini.

“Kenapa mata kamu bengkak Aiman? Kamu tak tidur ke semalam? Buat apa?” tanya Makcik Suhana masa aku ambil pinggan.

“Saya kejar hantu, makcik,” sahutku selamba sambil mengambil telur mata dan letakkan di atas nasi lemak aku.

“Iyelah tu. Kamu kejar hantu ke hantu yang kejar kamu?” Makcik Suhana balas aku balik.

“Mana-mana pun sama, makcik,” jawabku sambil melangkah meninggalkan Makcik Suhana yang masih memandang aku sambil ketawa perlahan. Aku lapar, aku mengantuk, aku penat, aku malas nak layan Makcik Suhana tu lagi. Kalau dilayan nanti, aku tak sempat makan. Tapi Makcik Suhana tu baik. Kalau ada lebihan makanan, dia selalu masukkan dalam bekas dan suruh kami bawa ke dorm. Katanya nanti lapar boleh makan. Dan disebabkan Makcik Suhana tu jugalah kami jadi gemuk kat sekolah ni.

Makcik Suhana tu memang selalu mengusik murid-murid di situ. Dia selalu kata bahawa dia akan teringatkan anaknya yang belajar di luar negara setiap kali memandang kami. Dia rindukan anaknya.

“Cepat makan weh. Lepas ni naik dorm. Kemas Dorm 3A dan 3B. Lepas Zohor Ustaz Ismail nak datang check. Kalau dia tak puas hati, lepas asar kita kena lari kat padang 20 pusingan. Jangan kata aku tak bagitahu pulak nanti,” kataku sambil mengambil tempat di sebelah Wan.

“20 pusingan? Gila ke? Luas kot padang tu,” kata Izzat.

“Kalau taknak gila, kemaslah dorm tu nanti,” kata aku lagi.

“Dah la dua dorm tu dah selerak habis semalam sebab hantu perempuan tu.” kata Faris pula. Aku tak menyahut.

Aku duduk. Aku pandang Wan. “Kaki kau ok dah ke Wan?” tanyaku sambil menyuapkan nasi lemak ke mulut.

“Sakit. Dah bengkak pun. Cikgu Rohiman kata lepas sarapan ni dia bawa aku ke klinik,” kata Wan. Memang nampak dia sakit. Nasi lemak dalam pinggannya pun tak berusik sangat. Dia banyak minum  je.

“Oklah tu, nanti dapat ubat, oklah kot. Kau minta MC, boleh balik,” kataku sambil tunduk ke bawah meja melihat kaki Wan yang berbalut dengan kain putih. Memang nampak ibujari kakinya membengkak. Sian dia. Siapa kata hantu tak boleh cederakan orang? Tapi bukan hantu yang cederakan kaki Wan, loker jatuh yang cederakan kaki dia. Tapi sebab hantu tu juga kan. Ahh, apa-apalah. Aku menikmati nasi lemak dengan teh suam buatan Makcik Suhana. Memang sedap.

Lepas sarapan, kami semua naik ke tingkat 3. Dorm 3A dan 3B dah macam baru lepas perang. Macam baru dilanda rebut taufan. Dengan loker yang dah jatuh ke lantai. Pakaian berselerakan. Bantal dan tilam dah jatuh dari katil. Sedangkan semalam takde pun sampai macam ni. Siapa pula yang sepahkan bilik kami ni?

“Kenapa bersepah sangat ni? Semalam setahu aku loker kat dorm 3A je yang jatuh. Ni apasal semua loker kat dorm 3B pun terbalik ni? Tilam bantal semua bersepah macam ni. Ni siapa punya kerja ni?” kata Izzat dengan nada agak tinggi.

“Hantu semalam kot,” kata Zikri.

“Merepeklah. Hantu boleh buat sepah macam ni?” tanya Izzat lagi tak puas hati dengan jawapan Zikri. Dia terasa seperti ada orang dah sabotaj kami.

Aku diam je. Aku pandang di setiap kawasan yang aku nampak makhluk-makhluk pelik semalam. Tiada siapa di sana. Tapi aku terasa seperti ada yang memandang aku dengan tajam. Seperti memendam dendam yang membara. Aku pandang semua kawan aku, masing-masing sibuk mengemas dorm.

Aku mendongak ke atas siling. Tiada apa juga. Perasaan aku je kot.

Tiba-tiba Izam menjerit. Dia menggelupur seperti menahan sakit yang amat sangat. Faris terus berlari ke luar dorm lalu menjerit memanggil ustaz. Izam cuba nak berlari keluar dari dorm tapi kami berusaha memegangnya. Tenaganya sangat kuat.

Masa ni aku nampak perempuan tu sedang berdiri di tingkap dorm 3A sambil memandang aku. Entah kenapa pandangannya di siang hari lebih menakutkan dari pandangannya di malam hari. Aku taknak bersuara. Aku taknak kawan-kawan aku takut.

Aku nampak perempuan tu bergerak perlahan-lahan masuk ke dorm melalui pintu, melewati belakang beberapa kawan aku sambil meleretkan kukunya yang panjang di leher mereka. Dan aku nampak dia pergi kepada Izam dan dia seolah meresap masuk ke dalam badan Izam yang sedang menggelupur.

Tak lama kemudian, Ustaz Khairi sampai ke dorm. Aku sempat membisikkan ke telinga Usayz Khairi tentang apa yang aku nampak tadi. “Astaghfirullah al-azim. Kalau dasar syaitan, memang tak boleh diberi peluang,” ucap Ustaz Khairi.

Ustaz Khairi berdiri tegak sambil berpeluk tubuh dan memejamkan matanya. Mulutnya terkumat kamit membacakan surah-surah Al Quran. Selepas seketika, Ustaz Khairi tunduk dan menepuk tangannya ke lantai. Izam menjerit. Matanya jadi putih.

Ustaz mengulangi perbuatannya tadi, membacakan surah dan menepuk kuat tangannya ke lantai, sebanyak tiga kali. Kali ketiga, Ustaz Khairi membiarkan tangannya di atas lantai dan menekannya dengan kuat ke lantai membuatkan Izam menjerit dengan lebih kuat seolah kesakitan yang amat sangat.

Yang membuatkan bulu roma kami meremang ialah, bukan suara Izam yang keluar dari mulut Izam, tapi suara garau seorang perempuan. Tenaganya sangat kuat. 10 orang kot yang pegang dia, tapi masih terpelanting. Dan kami terpaksa bertukar orang setiap dua tiga minit sebab tak dapat menahan kekuatan tenaganya.

“Keluar dari tubuh anak ini dan balik ke tempat kamu dengan cara baik. Aku dah beri terlalu banyak peluang kepada kamu tapi kamu dah melampau. Tolong balik dengan cara yang baik sebelum aku hantar kau balik dengan cara yang keras,” kata Ustaz Khairi sambil menjegilkan matanya kepada Izam.

Izam melawan renungan Ustaz Khairi sambil merengus kasar. Bunyinya seperti lembu yang baru disembelih. Pandangannya seperti sangat marah.

“Aku tuntut janji kamu. Kamu berikan aku korban,” kata Izam.

“Janji kami ialah kami beri korban jika kamu dapat membawa kepada kami cincin perak itu. Sekarang di mana cincin perak tu?” tanya Ustaz Khairi. Izam terus berpaling memandang aku yang sedang memegang tangan kanannya.

“Budak ini yang menyimpannya. Dia yang lepaskan aku dari ikatan kamu.” Kata Izam.

“Cincin itu tiada bersama budak ini.” Kata Ustaz Khairi.

Izam pandang aku dengan rupa yang amat menyeramkan. Aku rasa lepas ni aku tak berani berpandangan mata dengan Izam lagi.

Ustaz Ismail dan Ustaz Salleh sampai ke dorm, memerhatikan apa yang sedang terjadi.

“Hantar dia balik. Jangan berunding lagi,” kata Ustaz Ismail dengan nada tegas.

Ustaz Salleh melangkah ke arah belakang Izam dan terus meletakkan tangan kanannya di atas kepala Izam. Dia mengarahkan kami melepaskan pegangan kami dan menyuruh kami keluar dari dorm. Mula-mula kami ragu-ragu untuk lepaskan Izam sebab kami takut dia akan terus berlari dan kami tak mampu nak tangkap dia semula. Tapi Ustaz Salleh meyakinkan kami bahawa Izam takkan dapat lari. Ustaz Salleh kata dia kat kunci pergerakan Izam.

Dan kami lepaskan Izam perlahan-lahan. Betullah, Izam tak lari. Tapi kami yang cepat-cepat lari.

Ustaz Salleh dalam kedudukan berdiri sambil memegang kepala Izam manakala Ustaz Khairi masih dalam kedudukan tahiyyat awal sambil tangannya menekup ke lantai, manakala Ustaz Ismail berdiri memerhati sambil ditangannya memegang sebuah botol kaca sebesar telapak tangan.

Kami mengintai dari luar dorm, memerhati segala perlakuan mereka berempat di dalam dorm. Kami nampak Ustaz Khairi beberapa kali menepuk ke lantai dengan kuat dan tiap kali itu jugalah Izam menjerit dengan suara garau perempuan. Ustaz Salleh pula tetap meletakkan tangannya di atas kepala Izam yang duduk tegak. Nampaknya seperti Izam dah terperangkap.

Lama juga keadaan seperti itu. Lebih kurang setengah jam, aku nampak Izam terkulai baring dilantai. Ustaz Ismail pula kelihatan seperti cepat-cepat menutup botol kaca di dalam peganganya. Aku nampak ada asap hitam dalam botol kaca itu. Lepas tu aku nampak Ustaz Ismail membalut botol itu dengan kain hitam dan membawanya keluar dari dorm.

Ustaz Salleh membaringkan Izam di atas tilam.

“Kamu semua boleh masuk. Tengokkan Izam ni. Kejap lagi dia sedar, bagi dia minum air masak. Suruh dia selawat tiga kali,” kata Ustaz Salleh dan kami hanya anggukkan kepala.

“Dah selesai ke ustaz?” Adli bertanya.

“In Shaa Allah. Ada urusan yang kami kena selesaikan. Tapi buat masa ni, dia dah tiada di sini. Kemaskan bilik ni dan sebelah,” kata Ustaz Salleh.

“Cincin perak tu kat mana ustaz?” aku tanya.

“Ada di surau. Jangan usik,” kata Ustaz Salleh dan aku diam.

Tiada yang nak bertanya lagi. Kami takut semakin kami tanya, keadaan makin rumit. Dan buat masa ni, kami cuma takut kalau Izam sedar nanti, dia jadi macam tadi balik. Dengan mata putih, suara garau macam perempuan dan tenaganya mengalahkan Incredible Hulk.

“Jangan risau, Izam dah ok.” Kata Ustaz Salleh seperti memahami apa yang terdetik di dalam hati kami.

Ustaz Salleh, Ustaz Ismail dan Ustaz Khairi berlalu pergi meninggalkan dorm kami yang berselerak semula selepas kami kemaskan sedikit tadi. Ni semua Izam punya pasal.

Lepas solat Asar, Ustaz Ismail memandang kami semua.

“Dalam dunia ni, Allah yang paling berkuasa. Jangan sesekali percaya pada kuasa selain dari Allah. Tiada untung pun kalau kamu bermain benda yang bukan-bukan macam spirit of the coin tu. Itu semua tipu daya syaitan. Jadikan apa yang dah terjadi ni sebagai pengajaran. Habis satu sekolah kecoh. Sampai orang diluar pun dah mula bercakap pasal sekolah kita.” Kata Usatz Ismail perlahan dan lembut.

“Dan yang paling penting dan perlu diingat, jangan sesekali bercakap takabur. Alam ghaib itu wujud, bahkan kita wajib percaya alam ghaib,” sambung Ustaz Ismail sambil memandang aku.

“Hantu tu dah takde ke ustaz?” tanya Azizi.

“Kami dah hantar dia balik ke tempat yang sepatutnya. Kita akan adakan bacaan yassin selama tiga malam berturut-turut. Lepas tu sekolah akan kembali seperti biasa,” kata Ustaz Salleh yang duduk di sebelah Ustaz Ismail.

Kami semua diam. Terasa macam ada satu beban di dada terlepas sudah.

Tapi tidak buat aku. Sebab aku masih terbayang-bayangkan rupa makhluk lain yang aku nampak di dorm aku. Yang duduk di katil, yang berada di atas loker. Aku akan ingat semua tu lepas ni.

“Aiman, kamu ok?” tanya Ustaz Khairi sambil menepuk belakang aku.

“Hantu yang lain tu pun dah dihantar balik juga ke ustaz?” tanyaku.

“Hantu lain?” serentak kawan-kawan aku bertanya sambil pandang aku dengan wajah sangsi.

“Makhluk lain yang kamu nampak tu, memang ada di mana-mana. Cuma kita tak nampak.” Kata Ustaz Khairi.

“Maknanya saya masih akan nampak mereka?” tanyaku membuatkan Ustaz Ismail, Ustaz Salleh dan Ustaz Khairi termasuk kawan-kawan aku yang tak tahu apa-apa tu, berpandangan sesama sendiri.

Ustaz Ismail memberi isyarat kepada kawan-kawan aku yang lain agar keluar dari surau dan kembali ke dorm masing-masing. Kesemua mereka keluar dan tinggal aku bersama tiga ustaz tu.

“Mungkin asbab dari kejadian ini, kamu beroleh satu anugerah. Anugerah melihat alam ghaib. Mula-mula kamu tak biasa tapi bila dah lama-lama nanti kamu akan ok. Tak perlu pedulikan mereka, mereka hanya berdiam diri di sana sementara menanti penghujung dunia,” kata Ustaz Salleh.

“Tapi kamu jangan buat macam yang kamu buat kat pengetua haritu. Kalau nampak apa-apapun, kamu diam je. Buat tak tahu je,” kata Ustaz Salleh lagi.

“Tapi saya tak berani Ustaz. Rupa mereka tak sama macam kita,” kataku.

“Rupa mereka tak sama dan kamu takut melihat mereka. Kucing tu rupanya sama macam kita ke? Tak takut pun kamu tengok,” kata Ustaz Salleh.

“Jangan risau Aiman, segalanya akan makin hilang bila kamu tak fikirkannya sangat. Ingat, kamu belajar sains kan. Segala naluri kita adalah bacaan dari minda kita. Kalau minda kita positif, positiflah ia. Begitu juga sebaliknya.” Kata Ustaz Khairi sambil menepuk belakang tengkuk aku sebanyak tiga kali. Dan lepas tu aku rasa mengantuk.

Aku tersentak bila Adli memanggil aku sambil menepuk-nepuk pipi aku. “Aiman, kenapa kau tidur kat sini? Dah lepas asar ni, jom main bola,” kata Adli. Aku buka mata, pandang keliling. Hanya aku dan Adli di situ.

“Mana ustaz semua? Tadi mereka ada kat sini,” tanyaku.

“Semua dah ke balik rumah mereka dah. Jom cepat. Cikgu Rohiman tunggu kat padang, dia ajak kita lawan bola,” kata Adli sambil menarik tangan aku untuk bangun. Aku akur walaupun masih terpinga-pinga.

Sejak hari itu, tiada lagi kejadian pelik kat sekolah tu. Aku pun tak nampak lagi makhluk pelbagai rupa kat dalam kawasan sekolah tu. Tapi tiap kali aku masuk dorm, aku masih terbayangkan makhluk-makhluk yang bertenggek kat katil dan loker kami. Aku tahu makhluk tu masih ada di sana cuma aku tak nampak.

Tapi itu adalah lebih baik dari aku nampak mereka. Aku nak ambil SPM tahun ni. Aku taknak ada cikgu atau murid tambahan kat sekolah atau dorm aku. Cukuplah yang ada ni.

Namun, walau bagaimana aku minda aku cuba menolak, tapi hati aku tetap kata mereka ada di tepi aku, tepi katil aku, di atas loker aku, memerhatikan aku. Sebab aku pernah nampak mereka.

– T A M A T –

3 thoughts on “HANTAR AKU BALIK

Leave a comment